Hilal Asyraf - Menulis novel sambil berdakwah
Penulis muda, Muhammad Hilal Asyraf Abd. Razak, 24, atau lebih dikenali sebagai Hilal Asyraf semakin mencipta nama dalam arena penulisan tanah air dan mendapat tempat di hati masyarakat.
Walaupun baru berusia 24 tahun, namun Hilal Asyraf sudah berjaya mengumpulkan kelompok peminat tersendiri melalui karya-karya yang lebih menjurus kepada motivasi dakwah.
Gaya penulisannya yang santai tetapi penuh berhikmah menjadikan dia salah seorang penulis kegemaran bagi golongan muda masa kini.
Antara karya popularnya yang mendapat sambutan menggalakkan termasuklah Langit Ilahi: Tuhan Tidak Lupakan Kita, VT-Volleyball Team (2009), Sebelum Aku Bernikah (2012) dan Buat Semua Pendosa: Harapan Masih Ada (2013).
Dilahirkan pada 16 Januari 1989, Hilal Asyraf mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor dan Maahad At-Tarbiyah Al-Islamiyyah, Perlis. Dia kemudian menyambung pengajian dalam bidang Usuluddin di Universiti Yarmouk, Jordan pada tahun 2008.
Menurut Hilal Asyraf, dia mula menulis secara suka-suka selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ketika itu dia menjadi guru sambilan.
“Saya menulis cerita-cerita ringkas mengenai ukhwah dalam Islam dan berkongsi penulisan tersebut dengan kawan-kawan melalui e-mel. Sewaktu saya mencetaknya, ayah ternampak lantas memberikan karya itu kepada rakannya yang juga penulis novel di Johor, Maskiah Masrom.
“Tanpa diduga, beliau memuji karya saya dan mengatakan bahawa ada potensi untuk menjadi penulis. Bermula dari situ, saya bersemangat untuk melibatkan diri dalam dunia penulisan.
“Jadi, saya memilih untuk menghasilkan blog langitillahi.blogspot.com sebagai medium memaparkan karya penulisan pada pertengahan 2007,” terang Hilal Asyraf dalam satu pertemuan dengan Kosmo! baru-baru ini.
Tambahnya, blog tersebut kini telah dinaik taraf menjadi laman web iaitu langitilahi.com yang dikendalikan bersama teman rapat.
Anak sulung daripada empat beradik itu memberitahu, kebanyakan bukunya diterbitkan oleh syarikat penerbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. (16), PTS Millenia Sdn. Bhd. (4), Warisan Johor (1) dan Telaga Biru (1). Selain itu, Hilal Asyraf juga pernah menerbitkan bukunya sendiri yang bertajuk Simfoni Cinta.
Berubah ke arah kebaikan
Sebagai penulis, setiap hari Hilal Asyraf sentiasa mendisiplinkan diri menulis selepas Subuh dan sebelum tidur.
“Biasanya saya tidak mencari idea apabila berada di hadapan komputer, sebaliknya ilham untuk menulis diperoleh dalam menjalani kehidupan sehari-hari,” ungkap bapa kepada seorang cahaya mata itu.
Ditanya mengenai penulis yang diminati, Hilal Asyraf berkata, dia begitu menggemari karya-karya penulisan Ramlee Awang Murshid dan Dr. Faisal Tehrani selain Amru Khalid serta Dr. Majdi Al-Hilali dari Mesir.
“Mereka merupakan antara penulis yang banyak memberi inspirasi kepada saya pada peringkat awal menceburkan diri dalam bidang ini,” ujar suami kepada Tengku Masyitah Tengku Paris itu.
Mengulas tentang cabaran yang dihadapi sebagai penulis, anak kelahiran Skudai, Johor berkenaan mengakui, menulis itu senang, tetapi cabaran dalam menjaga hati supaya tidak riak amat besar untuk diatasi.
“Saya cuma berdoa moga Allah menetapkan hati saya untuk terus berdakwah dalam penulisan dan matlamat perjuangan itu tidak tersasar sehingga ke akhirnya.
“Saya teringat pesanan ustaz Dahlan Mohd. Zain, mudir (guru besar) saya di maahad dahulu yang mengatakan bahawa ‘tarbiah mestilah melahirkan pemimpin, dakwah mesti membawa perubahan’.
“Harapan saya agar semua pembaca buku saya dapat membuat perubahan ke arah kebaikan. Jika ia dapat dicapai, itulah kepuasan bagi saya sebagai penulis,” ungkapnya penuh makna.
- KOSMO!