Top Ad 728x90

Kad Kredit Islamik Berlandaskan Syariah

Kad Kredit Islamik Berlandaskan Syariah



Oleh: Lokman Mohd Hashim,  Penerbit Mutiara Islam

Sebagai pengguna adakah kita sedar sekarang sudah ada kad kredit berlandaskan syariah? Tidak keterlaluan boleh dikatakan ada juga pengguna yang memang tidak tahu langsung wujud kad kredit seumpama ini di pasaran.

Buat masa ini walaupun bilangan institusi kewangan yang menawarkan kad kredit berlandaskan syariah tidak sebanyak diharapkan, amat merugikan jika kita tidak meneliti faedah, keistimewaan dan kemudahan dalam memilih kad kredit berlandaskan syariah.

Satu keistimewaan yang ditawarkan institusi kewangan kepada pengguna kad kredit ini ialah perlindungan takaful (insurans Islam) jika berlaku kematian atau musibah mengakibatkan kecacatan kekal terhadap pengguna kad kredit.

Justeru, syarikat takaful akan menjelaskan keseluruhan jumlah baki diguna pelanggan, tidak kira sama ada pelanggan Islam atau bukan Islam.

Apa yang lebih menarik, keluarga pelanggan juga akan mendapat wang ihsan (khairat kematian) untuk perbelanjaan pengebumian pelanggan daripada takaful. Selain pakej dan kadar keuntungan bank yang kompetitif, kad kredit ini juga membantu membina masyarakat penyayang dan bermoral.

Kajian yang dijalankan mendapati hampir 66 peratus pengguna perbankan Islam kini ialah bukan Islam. Sehubungan itu, kad kredit berlandaskan syariah ini juga berkembang selari dengan perkembangan ini.

Kemudahan kad kredit ini berlandaskan kontrak syariah yang diluluskan Majlis Penasihat Syariah Kebangsaan, Bank Negara Malaysia.

Operasi kad kredit ini berlandaskan Garis Panduan Kad Kredit-i yang dikuatkuasakan Bank Negara Malaysia pada 1 Ogos 2004.

Mengikut data Bank Negara Malaysia pada 31 Oktober lalu, jumlah pembiayaan kad kredit berlandaskan syariah mencecah RM665 juta.

Buat masa ini enam institusi kewangan yang menawarkan kad kredit berlandaskan syariah iaitu al-Tafsil oleh AmIslamic Bank (M) Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad (kad Bank Islam), Bank Simpanan Nasional (Al-Aiman), Bank Rakyat (kad kredit Bank Rakyat), Maybank Islamic Berhad (al-Ikhwan) dan CIMB Islamic (kad kredit Master CIMB).

Kad kredit berlandaskan syariah adalah kemudahan kredit yang terbuka kepada semua pelanggan Islam dan bukan Islam.

Kontrak yang diguna pakai ialah bai’ inah atau lebih dikenali sebagai kontrak jual beli. Apabila pelanggan berhajat mendapatkan kemudahan kad kredit, institusi kewangan akan menjual sesuatu aset milik institusi kewangan kepada pelanggan dengan harga tangguh.

Seterusnya pihak institusi kewangan akan membeli balik aset itu daripada pelanggan secara tunai. Pihak institusi kewangan kemudian mengkreditkan jumlah tunai itu ke dalam akaun khas atas nama pelanggan dan memberikan kad kredit kepada pelanggan.

Pelanggan berhak untuk menggunakan jumlah tunai dalam akaun melalui penggunaan kad kredit ini.

Transaksi jual beli di atas berbeza dengan kad kredit biasa yang beroperasi atas dasar pinjaman. Institusi kewangan memberikan had jumlah pinjaman dan mengenakan faedah atau riba ke atas jumlah yang digunakan jika pelanggan tidak membayar keseluruhan jumlah itu dalam satu jangka waktu yang ditetapkan. Kontrak pinjaman sebegini jelas bertentangan dengan syariah.

Inisiatif institusi kewangan menawarkan kad kredit berlandaskan syariah perlu dipuji kerana berjaya memberikan alternatif kepada pelanggan Islam untuk mendapatkan produk yang patuh syariah dan memastikan umat Islam tidak terjebak dengan transaksi membabitkan faedah atau riba.

Diharap masyarakat turut serta dalam menggunakan kad kredit berlandaskan syariat Islam ini demi menyemarakkan lagi pelaksanaan sistem perbankan Islam secara menyeluruh di negara ini.


http://mutiaraislam.wordpress.com/wijet-sudut-niaga/ramai-bukan-islam-mmanfaat-kad-kredit-berlandaskan-syariah/





0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90