Portal Berita Tidak Akan Dilesenkan - PM
Beliau bagaimanapun berkata, bagi memelihara keharmonian nasional, kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang sedia ada bagi memastikan bahawa mana-mana pihak yang cuba menanam kebencian menggunakan elemen kaum, agama dan bangsa.
“Atau pun memperkecilkan institusi raja dan berperlembagaan, mahu pun cuba ‘subvert’ (menjatuhkan) sistem demokrasi berparlimen boleh diambil tindakan undang-undang yang sedia ada,” katanya pada Malam Kewartawanan Malaysia 2013, di sini malam Rabu.
Baru-baru ini, Singapura menerusi Lesen Pembangunan Media di negara itu mengumumkan peraturan pelesenan bagi laman web berita seperti dikenakan terhadap media tradisional.
Najib berkata, landskap media dan organisasi berita di negara ini mengalami perubahan yang amat pesat, di mana media cetak dan elektronik dilengkapi dengan kehadiran media dalam talian.
Katanya, kepelbagaian dan perbezaan pendapat yang wujud di negara ini sebenarnya harus berakar kepada identiti dan jati diri Malaysia.
“Kebebasan bersuara Malaysia yang membesar daripada akar tradisi jati akan memiliki kebijaksanaan untuk menghakis ketidakpercayaan dan perasaan syak wasangka yang melampau,” katanya.
Beliau menambah, tidak salah untuk berlainan pendapat namun adakah perbezaan pendapat itu membuak-buak sehingga wujudnya ketidakpercayaan dan syak wasangka melampau yang sebenarnya asing daripada budaya Malaysia.
“Untuk demokrasi benar-benar berfungsi seperti yang sepatutnya, rakyat dan pengamal media semestinya berpegang kepada pendirian mulia supaya tiada di antara kita yang menyimpang mahu pun menyalahgunakan kuasa,” katanya.
Dalam pada itu, Najib berkata, bagi menangani ‘cabaran kematangan’ sebagai sebuah negara bangsa yang semakin dewasa, perjalanan media sosial tidak terus disalahgunakan dan rakyat seharusnya berpegang kepada prinsip dan nilai tanggungjawab terhadap apa jua maklumat yang disiarkan.
"Untuk itu saya ingin lontarkan kepada rakyat dan kalangan pengguna media sosial untuk mencadangkan apakah bentuk kawalan positif yang perlu dilaksanakan bagi memastikan nilai kebertanggungjawaban itu, dan maklumat yang disampaikan tidak melanggar undang-undang.
“Cadangan yang dikemukakan itu biarlah tidak bercanggah dengan Akta Komunikasi dan Multimedia serta Rang Jaminan MSC Malaysia yang menegaskan tiada tapisan terhadap internet," katanya.
Malam Kewartawanan Malaysia menyaksikan 264 bahan penyertaan dari 26 organisasi media cetak dan elektronik yang diadili oleh barisan panel hakim, dan 13 pemenang pelbagai kategori disenaraikan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2012.
Wartawan Berita Harian, Sophia Ahmad dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Kajai HKM menerima hadiah berupa wang tunai RM30,000 serta sekeping syiling emas seberat 100 gram bernilai RM16,000.
Wartawan The Star, Isabelle Lai turut merupakan antara penerima anugerah menerusi kategori Kewartawan Alam Sekitar Cemerlang-Petronas, yang menerima hadiah wang tunai RM15,000.
- mSTAR