Pulau 'neraka dunia'

Ketika waktu tengah malam semakin tiba, Neehah Maalha bersama isterinya duduk berhampiran unggun api sambil menghirup teh panas yang dicampur susu kambing peliharaan mereka.

Mereka berbual dengan menggunakan bahasa Socotra yang hanya dipertuturkan penduduk Pulau Socotra. Intipati perbualan berkisar tentang masa hadapan mereka.

Ironinya, Pulau Socotra terletak 354 kilometer dari Yemen.

Socotra dalam bahasa kuno Sanskrit bermaksud 'pulau kebahagiaan'.

Namun, ada beberapa pihak yang menggelarnya sebagai 'neraka dunia' kerana kepelikan dan ciri-ciri eksotik yang terdapat di pulau tersebut.

Sarat dengan khazanah flora dan fauna, Socotra mula dikunjungi para saintis dari seluruh dunia sejak beberapa tahun yang lalu untuk melakukan penyelidikan saintifik.

Ratu Balqis yang pernah mempunyai kerajaan di tanah Arab dan hidup pada zaman Nabi Sulaiman pernah meneroka pulau tersebut.

Penjelajah terkenal, Iskandar Zulkarnain dan pengembara termasyhur, Marco Polo juga pernah meneroka pulau yang dihuni hanya seramai 40,000 orang itu.

Namun, ramai penduduk tempatan mendakwa pernah melihat kelibat ular gergasi di dalam gua tetapi tiada gambar atau rakaman video yang mengesahkan kewujudan haiwan tersebut.

Socotra terletak berdekatan Pulau Abd Al Kuri, Pulau Samhah dan Pulau Darsa.

Sebenarnya, tumpuan para saintis dan pelancong yang melawat pulau itu adalah kerana terdapat ratusan pokok yang dikenali sebagai pokok Darah Naga.

Pokok itu berbentuk seperti payung atau persis cendawan. Namun, saiznya cukup besar untuk memayungi beberapa orang yang mahu berlindung daripada cahaya panas terik matahari.

Ia dikenali sebagai pokok Darah Naga kerana getahnya berwarna merah.

Segelintir penduduk tempatan percaya getah pokok itu mampu menyembuhkan penyakit berkaitan kulit selain dijadikan pewarna semula jadi.

Pada zaman pertengahan, pokok itu digunakan dalam amalan ritual sihir penduduk pulau tersebut.

Selain itu, pokok Delima Socotra atau nama saintifiknya Punica Protopunica boleh ditemui di pulau itu.

Ia dipercayai benih asal pokok delima sebelum tumbuhan tersebut berevolusi dan ditanam di merata tempat di dunia.

Pokok Delima Socotra mempunyai bunga yang berwarna merah. Bunga pokok delima biasa berwarna merah jambu selain saiznya yang lebih kecil.

Pokok timun raksasa yang dikenali dengan nama saintifiknya, Dendrosicyos Socotranus tidak mengeluarkan timun.

Spesies haiwan

Batangnya besar dengan sedikit cabang halus pada bahagian pucuk. Ketiga-tiga tumbuhan itu hanya boleh ditemui di Pulau Socotra.

Selain tumbuhan, beberapa spesies haiwan seperti ketam, mengkarung atau lipan boleh ditemui dengan saiz yang lebih besar daripada kebiasaan.

Saiz yang besar itu menyebabkan manusia kelihatan takut untuk mendekati haiwan-haiwan tersebut.

Iklim tropika Pulau Socotra juga unik kerana ia boleh mencecah 40 darjah Celsius.

Ekoran keanehannya itu, Socotra mendapat jolokan sebagai permata biodiversiti di Semenanjung Arab.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh para penyelidik Taman Botani Diraja Edinburgh, United Kingdom, terdapat 307 daripada 825 spesies tumbuhan di situ tidak ditemui di tempat lain di bumi.

Angka tersebut merangkumi satu pertiga daripada jumlah keseluruhan tumbuhan di pulau itu.

Malah, beberapa spesies tersebut dianggarkan berusia lebih 20 juta tahun.

Pulau seluas 3,796 kilometer persegi ini telah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Julai 2008.

Menariknya, tiada hotel, restoran atau bangunan besar didirikan sebagai usaha untuk memulihara sifat semula jadi pulau tersebut.

Hanya sebatang jalan raya yang dibina pada tahun 2006 dengan tujuan untuk memudahkan pergerakan penduduk.

Seorang pengembara dan ahli botani amatur, Harry Jans hanya mengetahui mengenai Socotra selepas melihat pokok Darah Naga semasa menggunakan enjin carian internet Google.

Penemuan tersebut terus menarik minatnya untuk mengunjungi pulau itu.

Sepanjang berada di pulau itu, dia menemui pelbagai tumbuhan unik seperti Desert Rose dan ikan bersaiz besar yang menakutkannya.

"Mungkin Desert Rose merupakan bunga ros paling buruk di dunia untuk dihadiahkan kepada wanita," katanya sambil ketawa.

Namun, dia khuatir kerana terdapat pokok Darah Naga yang dibawa balik untuk dijadikan kenangan walaupun ketika itu ia masih belum matang.

"Ia akan menyebabkan implikasi ke atas kuantiti pokok itu. Selain itu terdapat para pedagang yang mengambilnya pada skala besar kerana khasiatnya dalam bidang perubatan," katanya.

Terdapat mitos yang mengatakan dajal dikurung di sebuah gua di Socotra.

Namun, ia hanya sekadar mitos tanpa bukti sahih.

- KOSMO!



http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0616&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm





Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url