Top Ad 728x90

,

Proses penamaan calon PRK Kajang

Proses penamaan calon PRK Kajang

Bangi: Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang semalam, yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara Barisan Nasional (BN) dan PKR berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Dianggarkan lebih 5,000 penyokong kedua-dua parti hadir memberi sokongan dalam keadaan cuaca panas terik, memenuhi kawasan sekitar pusat penamaan calon di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) seawal jam 7 pagi.

Bagi mengelak kejadian tidak diingini, pihak berkuasa memasang kawat berduri di sekitar padang dan pintu masuk tambahan ke kompleks berkenaan yang turut diawasi lebih 500 anggota polis dan Pasukan Tempur Ringan (LSF).

Kesesakan lalu lintas lebih dua kilometer dilaporkan di susur masuk Plaza Tol Bangi dari kedua-dua arah Lebuh Raya Utara-Selatan berikutan penutupan jalan di sekitar kompleks sukan berkenaan. Keadaan sama juga berlaku di beberapa laluan keluar masuk ke bandar Kajang dari Bandar Baru Bangi.

Di kem penyokong BN, slogan ‘Hidup BN’ dilaungkan berterusan dan semakin lantang sebaik Datin Paduka Chew Mei Fun kelihatan menghampiri pusat penamaan kira-kira jam 8.50 pagi. Ketibaan calon BN itu disambut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa pemimpin komponen lain.

Calon PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula diiringi suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Mei Fun menyerahkan borang pencalonannya kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Kajang, Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman, jam 9.07 pagi, disusuli Dr Wan Azizah tiga minit kemudian. Tepat jam 10.15 pagi, Hasan mengumumkan dua calon berkenaan disahkan bertanding PRK terbabit.

Selesai proses itu, kedua-dua calon bersama pemimpin dan penyokong parti masing-masing tanpa membuang masa terus bergegas memulakan agenda pertama kempen, melancarkan secara rasmi jentera pilihan raya mereka dan bertemu masyarakat untuk menagih undi pada 23 Mac nanti.

- BERITA HARIAN



0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90