Nasihat Perkahwinan Untuk Pasangan Muda

Oleh Hisham Sharif
https://www.facebook.com/hisham.sharif

Melihat tingginya kadar perceraian dikalangan pasangan yang baru berkahwin, rasa amat gerun dan sedih. Ikatan perkahwinan seolah satu permainan, seolah nikah cerai ini benda yang boleh dibuat main-main, apatah bila bercerai atas sebab-sebab yang amat remeh.

Ketahuilah, dalam banyak keadaan, perceraian tidak akan menyelesaikan masalah, bahkan akan menambah lagi masalah, tambah-tambah jika telah mempunyai anak, kesannya bakal berlanjutan puluhan tahun, bahkan mungkin memakan generasi.

Ada lima perkara yang saya ingin kongsikan berkenaan perkahwinan, terutamanya buat pasangan muda. Bukan kerana rumahtangga saya yang terbaik, tapi atas dasar nasihat menasihati agar kita semua menjadi lebih baik.

Pertamanya, rancang kewangan dengan cermat, sebelum dan selepas perkahwinan, kerana terlalu banyak pasangan yang bercerai kerana masalah ini. Elakkan berbelanja terlalu besar untuk majlis perkahwinan. Bawa berbincang dengan ibu bapa tentang hantaran dan kenduri kendara, tambah-tambah dalam kegawatan ekonomi pada tahun ini dan tahun-tahun mendatang.

Sederhana adalah kunci bahagia.

Selepas berkahwin, hiduplah seadanya. Tidak mengapa jika masih tidak mampu berkereta atau tinggal di rumah yang tidak ada perabot yang lengkap. Mungkin pada 6 bulan pertama, terpaksa tidur hanya di atas toto dan duduk-duduk pun di atas kerusi plastik. Jangan terjebak dengan pinjaman peribadi atau menggunakan kad kredit hanya untuk memuaskan nafsu dan membeli barang-barang yang masih belum mampu dimiliki.

Insya-Allah, lama kelamaan, hidup akan lebih stabil, jika kena caranya. Cuma perlu ada kekuatan untuk hidup sederhana dan lasak pada awal-awal perkahwinan.

Kedua, terimalah pasangan seadanya. Bersabar atas kekurangannya dan sama-sama berganding bahu menambah ilmu untuk menjadi lebih baik. Suami ada kelemahan dan isteri juga ada kelemahan, jangan mengharap sempurna dari pasangan atau membanding-banding dengan suami/isteri orang lain, bahkan jangan sesekali membanding-banding suami/isteri dengan ayah/ibu sendiri. Itu pantang yang cukup besar dalam rumahtangga.

Awal-awal perkahwinan, isteri mungkin tidak berapa pandai memasak dan suami juga masih belum memahami emosi si isteri. Jadi, banyak bersabar dan memaafkan, insya-Allah, buah dari kesabaran dan kemaafan adalah rasa manis dan bahagia yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata.

Ketiga, masuklah dalam rumahtangga dengan minda untuk memberi dan berbakti, bukan untuk menerima. Jangan terlalu awal menuntut hak itu dan ini, andai kita sendiri masih belum cukup berbakti kepada suami/isteri dan anak-anak. Tidak ada salahnya suami mencemar duli melakukan kerja-kerja rumah ketika isteri penat dengan pelbagai tanggungjawab dan tidak ada salahnya juga isteri mengeluarkan wang untuk belanja asasi keperluan rumah. Jangan berkira atau ada sifat kedekut dengan pasangan dan anak-anak.

Dalam zaman di mana suami dan isteri sama-sama bekerja, perlu lebih banyak ‘give and take’, namun jangan sampai tugas-tugas asasi suami dan tugas asasi isteri ini terbalik hingga suami gagal memberi nafkah dan isteri pula tidak mengurusi keluarga dengan sebaiknya. Buruk padahnya nanti.

Keempat, jaga hubungan dengan mertua, tapi, jangan sampai terlebih-lebih pula kerana campurtangan mertua juga adalah antara punca besar keretakan rumahtangga. Elakkan dari tinggal bersama mertua kecuali jika ada sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan sangat. Banyak masalah hubungan dapat dielakkan jika tidak tinggal bersama atau terlalu dekat dengan mertua.

Suami perlu ada pendirian agar ketaatan kepada ibu ayah tidak dijadikan alasan untuk menzalimi isteri. Isteri juga perlu faham bahawa ketaatannya adalah pada suami, bukan lagi pada ayah dan ibu sendiri, namun begitu, ia bukan lesen bagi suami untuk bermudah-mudah dalam hubungannya dengan mertua sebelah isteri. Keseimbangan dan kebijaksanaan dalam berdiplomasi adalah kuncinya.

Kelima, dan yang paling penting, binalah taqwa dalam rumahtangga. Dengan adanya taqwa dan hubungan yang erat dengan Allah, rahmat Allah mudah untuk turun dalam rumahtangga. Bila turunnya rahmat dalam rumahtangga, mawaddah akan hadir menghiasi hubungan antara suami dengan isteri.

Amalkan solat (sunat) berjemaah bersama-sama di rumah, bangun tahajjud, pergi ke majlis ilmu dan tadabbur Al Quran bersama-sama. Elakkan unsur-unsur lagha di dalam rumah, jauhkan rancangan-rancangan televisyen yang merosakkan dan hiburan-hiburan yang melalaikan. Bina suasana seperti masjid di dalam rumah, insya-Allah, bahagia akan menjadi milik kita.

Next Post Previous Post
1 Comments
  • Arieon
    Arieon Isnin, 25 Januari 2016 pada 3:20:00 PTG SGT

    Pasangan muda yang baru berkahwin perlu memahami yang perkahwinan ini memerlukan komitmen kedua-dua belah pihak. Setiap masalah perlu dibincangkan dan cari penyelesaian. Sikap toleransi amat perlu dan elakkan untuk memanjangkan sesuatu perbalahan. Sebolehnya ia diselesaikan sebelum tidur.

Add Comment
comment url