Keputusan Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-30



Lagu Potret ciptaan Hang Nadim dan Kamar Empayar dendangan penyanyi Akim & The Majistret membolot trofi berprestij, Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-30 yang disiarkan secara langsung dari Stadium Malawati, Shah Alam pada 24 Jan 2016 malam.

Lagu berkenaan meraih trofi dan hadiah wang tunai RM50,000. Lagu itu turut diumumkan sebagai pemenang kategori Persembahan Terbaik, sekali gus memenangi trofi dan RM12,000. AJL30 yang dipancarkan Pamoga Qu Puteh turut menyaksikan lagu Assalamualaikum ciptaan bersama Faizal Tahir, Mike Chan, Omar K, Ezra Kong dan Audi Mok yang didendangkan Faizal Tahir sendiri meraih tempat kedua, sekali gus menerima hadiah wang tunai RM35,000.

Tempat ketiga dimenangi lagu Hanya Namamu ciptaan Edry Abdul Halim yang dipersembahkan Caliph Buskers menerima hadiah wang tunai RM20,000.

Kategori Vokal Terbaik menyaksikan Dayang Nurfaizah mengulangi sejarah AJL tahun lalu yang mendendangkan lagu Tak Pernah Menyerah ciptaan Akid dan Poji Samad menjulang trofi yang menjadi idaman ramai penyanyi itu. Dayang membawa pulang trofi dan wang tunai RM12,000. AJL30 membawa tema Tiga Dekad Mencipta Fenomena dengan menterjemahkan elemen kegemilangan dan kemeriahan sepanjang sejarah tiga dekad acara itu.

Dikendalikan dua penyampai radio Hot FM iaitu Fara Fauzana dan AG, malam kemuncak AJL30 disemarakkan dengan persembahan istimewa karya yang pernah diangkat sebagai Juara Lagu. Persembahan pembukaan dimulakan penyanyi No 1 negara, Datuk Siti Nurhaliza; Datuk Jamal Abdillah dan Yasin dengan tema irama Malaysia.

Mereka mendendangkan lagu Cindai yang menjuarai AJL 1998, Ghazal Untuk Rabiah (AJL 1997) dan Mimpi Laila (AJL 2001).

Pentas AJL30 juga dihangatkan dengan persembahan Hafiz Suip dan Jaclyn Victor yang mengalunkan rangkaian karya Juara Lagu genre balada seperti Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu (AJL 1988), Gemilang (AJL 2005) dan Awan Nano (AJL 2011).

Persembahan bertemakan 'rockestra' sebelum keputusan AJL 30 diumumkan turut mendapat sambutan penonton. Rahmad Mega dan Azlan Typewriter mendendangkan lagu Takdir dan Waktu (AJL 1991), Relaku Pujuk (AJL 2004) dan Lagu Untukmu (AJL 2008). Pada edisi terbaharu AJL, Anugerah Qu Puteh Diva turut diperkenalkan bagi menghargai semua 29 lagu yang pernah memenangi trofi Juara Lagu melalui undian peminat pada laman web rasmi AJL30.

Lagu Cindai dendangan Datuk Siti Nurhaliza menewaskan empat finalis lain iaitu Jerat Percintaan, Menaruh Harapan, Isabella dan Lagu Untukmu. AJL30 terbitan TV3 boleh diakses dan ditonton melalui portal Tonton; laman web rasmi www.anugerahjuaralagu.com dan radio Hot FM.

Sumber : BH



Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url