Arteri koronari pembunuh senyap
Suka ambil mudah, selain tidak peka tahap kesihatan dan membiarkan sesuatu penyakit berlanjutan boleh mengundang bahaya sehingga berisiko membawa maut.
Bagi penghidap kardiovaskular seperti penyakit arteri koronari, umpamanya jika bersikap 'tidak apa', 'nanti-nantilah', 'angin je' dan 'tak tahu', risiko bahaya menanti mereka.
Penyakit jantung dianggap sebagai pembunuh senyap tanpa mengira latar belakang dan usia.
Pakar Perunding Kardiologi dan Perubatan Am, Pantai Hospital Kuala Lumpur, Dr Muhammad Imran Abdul Hafidz, berkata terdapat banyak penyakit kardiovaskular, namun pembunuh nombor satu adalah penyakit arteri koronari atau Coronary Artery Disease.
Katanya, penyakit berkaitan kardiovaskular 'membunuh' jauh lebih tinggi berbanding kanser sehingga menjadi penyumbang antara 15 atau 16 peratus kematian di Malaysia.
Penyakit itu boleh berlaku apabila saluran darah menjadi sempit berpunca daripada pembentukan plak aterosklerosis atau plak kolesterol, jika keadaan dibiarkan akan mengakibatkan pengurangan pengaliran darah ke otot jantung.
"Ini mengakibatkan sakit dada dan lebih serius individu boleh mendapat serangan jantung jika bekalan darah berkurangan ke tahap kritikal.
"Ramai meremehkan hal ini, padahal mereka sedar dan tahu ada simptom itu. Ada kes, rasa macam ada angin tak lepas di dada dan ada yang mengalaminya beberapa hari, selepas membuat pemeriksaan keadaan teruk sangat," katanya.
Simptom penyakit
Dr Muhammad Imran berkata, simptom mendapat penyakit itu seperti individu sakit dada atau sesak nafas sama ada dalam mod tidak lakukan apa-apa atau sedang melakukan aktiviti, selain kadang-kadang kesakitan rasa sehingga ke bahagian bahu, lengan atau belakang badan.
"Kalau nak gambarkan rasa sebenarnya adalah umpama seekor gajah tengah duduk atas dada...macam nak tarik nafas tak sampai ke hujung. Tetapi ada sesetengah orang cakap rasa seperti diikat tali pinggang
dekat dada sehingga tidak boleh kembang habis dada.
"Ada individu rasa leher seperti tercekik. Sebenarnya istilah Angina Pectoris atau penyakit jantung koronari berasal dari Bahasa Latin. Angina itu bermaksud cekik dalam Bahasa Latin," katanya.
Faktor usia bukan penghalang
Mereka yang menghidap penyakit arteri koronari, perlu
waspada terutama perokok, mempunyai paras kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi, diabetes, obesiti, kurang aktiviti fizikal dan faktor genetik.
Dr Muhammad Imran berkata, ada pesakit berumur 19 tahun tetapi disebabkan kuat merokok dan faktor genetik mendapat penyakit itu dan ini membuktikan usia muda bukan jaminan bebas penyakit itu.
"Lelaki berumur 30-an dan 40-an ada yang menghidap penyakit arteri koronari manakala yang berusia 50 hingga 70 tahun pula lebih berisiko.
"Wanita juga tidak terkecuali dan rata-rata adalah pada usia yang sama. Bagi wanita yang belum putus haid, penyakit arteri koronari lebih jarang kerana hormon ketika kitaran haid mempunyai kelebihan melindungi daripada pembentukan aterosklerosis, " katanya.