Calon politik perlu kuasai elemen komunikasi retorik

 

 

Calon parti-parti politik yang nekad bertanding dalam mana-mana Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) mahupun Pilihan Raya Kecil (PRK) sewajarnya menguasai elemen komunikasi retorik.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Muhammad Anwar Fahmi Hari Das Abdullah berkata, tindakan berkempen melalui kenyataan yang boleh ditafsirkan amat tidak bertanggungjawab mampu menggugat imej, reputasi dan identiti calon di kerusi yang sedang ditandingi.

Menurutnya, disebalik aura kepimpinan mahupun karisma untuk menjadi bakal pemimpin yang diperlukan, mereka sepatutnya mempelajari dan menguasai teknik komunikasi tersebut agar tidak menjadi liabiliti kepada parti ketika menghadapi pilihan raya.

“Ini masalah calon apabila mereka ghairah dalam agenda berkempen, mereka lupa sensitiviti agensi dan pengorbanan pihak lain, jika anda bijak jangan sesekali sentuh isu yang membabitkan peranan pihak berkuasa mahupun jentera kerajaan.

“Kuasailah kaedah Lagos, Pathos dan Ethos dalam komunikasi retorik yang diperkasakan oleh Aristotle, bercakap, berhujah dan dalil melalui fakta, peratusan dan data serta bijak mengalunkan nada suara serta intonasi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, satu klip video tular di laman sosial memaparkan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi yang juga bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mempersenda pasukan keselamatan ketika berkempen sehingga mencetuskan kemarahan semua pihak.

Muhammad Anwar Fahmi yang juga penganalisis politik menambah, beliau yakin isu membabitkan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) itu bukan sahaja telah menyebabkan keyakinan pengundi dan rakyat merudum tetapi agensi keselamatan juga mungkin tidak selesa dengan kenyataan itu.

“Bagi saya peluang untuk Warisan menang adalah 60 peratus, namun jika sikap kempen sebegini diketengahkan mereka bakal tewas dan kemungkinan sokongan untuk mengekalkan kuasa mereka hanyalah tinggal 50 peratus.

“Memang video dan ucapan calon tersebut sudah terang lagi jelas dan semua pihak mampu mendengar dan meneliti setiap perkataan yang disyarahkan oleh calon berkaitan, malah kelemahan calon Warisan ini akan dijadikan modal oleh pihak lawan untuk menggugat sokongan pengundi terhadap parti itu secara keseluruhan. 

“Apatah lagi hubungan Warisan dan DAP tidak akan banyak membantu kemenangan Warisan pada PRN Sabah,” katanya.

Sumber : Utusan

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url