Peranan Perunding Hartanah
Perunding atau ejen hartanah adalah individu penting dalam setiap transaksi hartanah membabitkan pembeli atau penjual.
Malah perunding hartanah (REN) dan ejen hartanah (REA) ialah dua golongan profesional berkelayakan yang bekerja dalam industri hartanah dengan akreditasi tertentu.
Namun tahukah anda apa perbezaan antara perunding dan ejen hartanah?
Menurut Ketua Estet Agensi, Nilai Harta Consultant Sdn Bhd Cawangan Shah Alam, Ahmad Firdaus Mahmod, perunding hartanah adalah individu yang dilantik atau bekerja untuk ejen hartanah.
Kata Ahmad Firdaus, untuk melayakkan seseorang menjadi perunding hartanah, mereka perlu menghadiri Kursus Pensijilan Perunding Hartanah (NCC) yang dianjurkan Malaysia Institute of Estate Agent (MIEA) .
Katanya, dalam kursus itu, peserta akan diajar untuk memahami perkara yang berkaitan hartanah, undang-undang, akta dan piawai Industri.
"Selepas mendapat sijil NCC, barulah mereka boleh memohon untuk menyertai agensi hartanah yang berdaftar dengan Lembaga Penilai Pentafsir dan Ejen Hartanah (LPPEH).
"Agensi hartanah itu akan mengeluarkan surat lantikan dan mendaftarkan nama seseorang itu sebagai perunding hartanah di LPPEH.
"Selepas itu, tag pengenalan akan diberikan dan secara rasmi individu berkenaan boleh mewakili penjual, pemilik hartanah, pembeli hartanah dan penyewa untuk menguruskan sebarang transaksi hartanah," katanya kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut, Ahmad Firdaus berkata, ejen hartanah pula adalah individu yang memperoleh lesen daripada LPPEH, iaitu kebenaran untuk menjalankan dan menguruskan proses jual beli, sewaan dan pajakan hartanah.
Apa yang menariknya kata Ahmad Firdaus, seseorang ejen hartanah boleh melantik sehingga 50 perunding hartanah untuk membantu dalam pelbagai aktiviti hartanah yang dinyatakan.
"Untuk menjadi ejen hartanah bagaimanapun bukan mudah kerana seseorang itu perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan berkaitan kelayakan akademik dan pengalaman selain indeks petunjuk prestasi (KPI) dan kemahiran yang ditetapkan LPPEH," katanya.
Ahmad Firdaus berkata, sebagai perunding hartanah, seseorang itu terikat di bawah kod tingkah laku dan undang-undang menerusi Akta Penilai Pentafsiran dan Ejen Harta Tanah 1981 (Akta 242).
Kata Ahmad Firdaus lagi, setiap perunding hartanah yang melanggar undang-undang boleh diambil tindakan oleh LPPEH seperti penggantungan, pembatalan pendaftaran dan denda.
Bagaimanapun, perunding hartanah boleh dilantik oleh pemilik atau pembeli hartanah untuk menguruskan proses jual, beli, sewa dan pajakan hartanah.
"Biasanya perunding hartanah akan membantu pemilik untuk menguruskan proses jual beli, sewa dan pajakan hartanah.
"Mereka juga akan melakukan pemasaran untuk mencari pelanggan yang berminat dengan hartanah yang sedang diuruskan.
"Oleh kerana perunding hartanah mempunyai hubungan baik dengan jurunilai, bank dan peguam, biasanya mereka juga akan menjadi penasihat kepada penjual serta pembeli berkaitan harta pasaran selain membantu pembeli mendapatkan pinjaman dan memperkenalkan peguam yang bertauliah untuk menguruskan proses jual beli," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Firdaus turut menasihatkan mana-mana individu yang mahu menjadi perunding hartanah supaya mencari agensi yang berdaftar dengan LPPEH dan agensi yang mengendalikan kursus secara komprehensif.
"Ia penting bagi memastikan seseorang itu mampu berjaya sebagai perunding hartanah," katanya.
Sementara itu, ada juga yang tertanya-tanya berapakah caj yang dikenakan ke atas perkhidmatan diberikan pihak terbabit dalam transaksi hartanah di negara ini.
Menurut Ahmad Firdaus, caj maksimum yang boleh diambil adalah tiga peratus daripada nilai jual beli hartanah dan perkara itu boleh dirujuk di Jadual Ketujuh (Peraturan 48).
Katanya, yuran itu juga mesti dipersetujui oleh ejen hartanah dan pelanggan.
"Untuk sewaan sehingga tiga tahun misalnya adalah pada kadar 1.25 bulan sewa kasar. Manakala tiga hingga empat tahun sewa pula adalah pada kadar 1.5 bulan sewa kasar.
"Bagi sewaan hartanah antara empat hingga lima dan lebih lima tahun pula kadarnya adalah pada 1.75 bulan sewa kasar.
"Jika sewaan lebih lima tahun dengan opsyen pembaharuan, kadar caj perkhidmatan adalah 1.75 bulan sewa kasar tambah 0.25 bulan sewa untuk setiap tahun tambahan," katanya.
Sumber : MyMetro