Aqilah Fauzi sasar miliki 50,000 subscriber

 

Siapa sangka dengan hanya bermula sebagai hobi bermain permainan video bertemakan battle royale terkenal, PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile, nama si cantik manis, Nurul Aqilah Mohd Fauzi, 23, kini semakin dikenali di dalam dunia maya.

Menggunakan nama Aqilah Fauzi di alam maya, dia yang merupakan pemilik laman penstriman secara langsung itu berjaya meraih perhatian peminat PUBG dan memiliki lebih 10,000 subscribes hanya dalam tempoh enam bulan.

Aqilah yang tinggal di Bukit Jambul, Pulau Pinang berkata, dia mencipta laman penstriman secara langsung sendiri kerana melihat potensi besar dalam bidang permainan video secara dalam talian.

Dia yang bekerja sebagai pegawai jualan di sebuah syarikat swasta mengambil pendekatan bijak mengatur masa dengan hanya bermain PUBG bersama pengikut laman Aqilah Fauzi pada waktu malam iaitu sekitar 8.30 malam hingga 11 malam selepas tamat bekerja.

“Saya juga menyambung pe­ngajian di peringkat ijazah di sebuah kolej di Pulau Pinang secara sambilan, jadi masa yang ada perlu saya gunakan sebaiknya.

“Saya perlu bahagikan masa dengan sebaiknya sebagai seorang pekerja, pelajar dan juga pemain PUBG agar jadual saya tidak terganggu.

“Walaupun sibuk, namun saya tidak merasa tertekan kerana segalanya bergantung kepada bagaimana kita mengatur masa sendiri,” katanya baru-baru ini.

Menurut Aqilah, pada peringkat awal dia hanya menyasarkan 10,000 subscribes sehingga hujung tahun ini, namun jumlah tersebut sudah berjaya dicapai pada masa ini.

“Jadi, saya mahu sasarkan laman saya akan menarik sekurang-kurangnya 50,000 ­subscribes lagi menjelang hujung tahun nanti.

“Bagi saya, permainan video secara langsung mampu membentuk saya untuk lebih berani berdepan dengan orang ramai dan belajar untuk berkomunikasi dengan khalayak awam yang mempunyai hobi sama,” kata­nya.

Aqilah berkata, bermain PUBG juga membantu dirinya menambah pendapatan sendiri menerusi penyertaan kejohanan dan juga pendapatan hasil penstriman video dalam talian.

“Saya sendiri tidak sangka boleh memperoleh wang sendiri hasil bermain PUBG dan juga penstriman video dalam talian.

“Sepanjang bergiat aktif, jumlah pendapatan yang diperoleh adalah sekitar empat angka dan wang itu digunakan sebaik mungkin untuk dana pengajian saya di kolej,” katanya.

Aqilah berkata, potensi bidang permainan video di negara ini sudah mula mendapat per­hatian banyak pihak dan mampu menjana pendapatan kepada golongan muda.

“‘Dahulu ramai yang memandang serong apabila kita bermain permainan video sebagai membuang masa.

“Namun, kini ramai mula sedar bidang ini mampu memberi masa depan yang cerah,” katanya.

Aqilah menambah, dia sendiri tidak mahu menoleh ke belakang lagi dalam bidang berkenaan bagi mencapai impian sebagai pemain profesional e-Sukan.

“Saya akan terus berlatih dan memahirkan diri dalam bidang ini agar mampu menjadi seorang profesional dalam bidang e-Sukan.

“Sebagai pemain permainan video saya mengidamkan kerjaya seperti atlet e-Sukan popular negara iaitu Soloz yang mencipta nama di dalam dan luar negara,” katanya.

Sumber : Kosmo!

 

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url