Boost tawar pembiayaan mikro RM20,000 kepada PMKS

 

Boost, jenama e-dompet tempatan menawarkan sokongan pembiayaan kos rendah menerusi kemudahan pembiayaan 'Aspirasi Capital for Boost' kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bersempena Ramadan.

Pembiayaan yang PMKS dapati dari kemudahan ini boleh diguna sebagai modal kerja bagi menanggung kos jualan Ramadan tahun ini.

Menerusi 'Aspirasi Capital for Boost', setiap PMKS layak mendapat pembiayaan mikro kos rendah sebanyak RM20,000 untuk tempoh 18 bulan, tanpa faedah dan tanpa pembayaran ansuran untuk enam bulan yang pertama.

Apabila pembayaran ansuran bermula pada bulan ke-7 dan seterusnya, PMKS boleh menikmati kadar faedah serendah 0.5 peratus sebulan.

 

Menurut Boost, kemudahan pembiayaan itu juga selari dengan usaha kerajaan baru-baru ini bagi merangsangkan semula perniagaan tempatan susulan pembukaan semula ekonomi negara.

"Sokongan pembiayaan ini dapat membantu meringankan persediaan Ramadan peniaga seperti kos sewaan tapak bazar dan kos bahan masakan.

"Kemudahan pembiayaan ini juga boleh membolehkan PMKS mendigitalkan perniagaan mereka dengan kaedah pembayaran tanpa kontak, selain dapat meningkatkan aktiviti pemasaran melalui media sosial," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menerusi 'Aspirasi Capital for Boost', proses permohonan boleh dilakukan hanya dengan menggunakan telefon pintar dan akan mengambil masa selama tiga minit sahaja.

Jika didapati layak, peniaga akan menerima kelulusan di mana pembiayaan akan disalurkan ke dalam akaun bank dalam tempoh 48 jam.

Selain daripada pembiayaan mikro, peniaga boleh memanfaatkan pelan insurans mikro 'SME OwnerProtect', bagi lindungan daripada gangguan pendapatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Mohd Khairil Abdullah, berkata, walaupun ekonomi telah dibuka semula, hakikatnya PMKS masih berdepan dengan masalah kewangan akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Jualan peniaga semakin menurun dan makin kurang pelanggan yang membeli. Banyak perniagaan mikro menghadapi kesukaran untuk mendapat akses kepada sistem kewangan tradisional.

"Oleh itu, sejak tahun lalu, Boost menawarkan perkhidmatan kewangan digital di atas perkhidmatan pembayaran digital untuk mengatasi masalah ini.

"'Aspirasi Capital for Boost' adalah sebahagian daripada penyelesaian baru dalam perkhidmatan kewangan digital yang kami menawarkan untuk peniaga," katanya.

Mohd Khairil berkata, menerusi kemudahan baharu itu, PMKS mendapat akses kepada pembiayaan yang cekap dan mampu milik, memandangkan Ramadan adalah bulan yang paling aktif bagi kebanyakan perniagaan, sekali gus membolehkan pembiayaan mikro itu membantu meringankan kos overhed dan operasi.

"Kami berharap 'Aspirasi Capital for Boost' dapat meringankan beban kewangan peniaga untuk mengukuhkan semula perniagaan dan boleh memberi ketenangan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan lebih ceria pada tahun ini," katanya.

Selain daripada pembiayaan mikro, Boost sedang membina ekosistem digital yang mantap untuk PMKS dengan pelbagai penyelesaian yang berinovasi, berfaedah serta ganjaran menerusi platform e-dompet.

Inisiatif untuk PMKS telah dimulakan sejak awal penularan pandemik dan ia selaras dengan pengumuman Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) oleh kerajaan baru-baru ini.

PMKS boleh memohon 'Aspirasi Capital for Boost' menerusi https://aspirasi.co/pasar/capital-boost, atau sebagai alternatif peniaga boleh menghubungi wakil Boost.

Kemudahan pembiayaan itu disediakan di bawah Program Bantuan COVID-19 'Aspirasi Assist' oleh Kumpulan Axiata yang dilancarkan pada Mac tahun lalu.

Share this:

ADMIN

Blogger Infokerjaya

0 Comments:

Catat Komen

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.