KKM cadang rentas negeri sambut Aidilfitri ditangguh

 

Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan pergerakan merentas negeri bagi sambutan Aidilfitri tahun ini, ditangguhkan susulan situasi penularan COVID-19 masih membimbangkan ketika ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata ia berikutan rungutan dan rayuan pelbagai pihak supaya kerajaan menangguhkan kebenaran pergerakan berkenaan.

"Seperti yang kita sedia maklum, kebanyakan negeri ketika ini masih bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hingga 28 April ini.

"Memandangkan kes harian masih meningkat dan belum stabil, maka pergerakan ini perlu ditangguhkan.

"Program vaksinasi (Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan) pun masih dijalankan," katanya pada sidang media selepas melancarkan buku 'Malaysia Health Sector Response to COVID-19: Perspectives From The Field', di pejabatnya, hari ini.

Malaysia mencatat 1,889 jangkitan baharu COVID-19, semalam, meningkat berbanding 1,767 kes, kelmarin.

Ditanya kemungkinan mereka yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19 dibenarkan untuk merentas negeri pula, Dr Adham berkata, pihaknya masih menunggu dapatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit yang berpangkalan di Amerika Syarikat, sebelum keputusan berkaitan dibuat.

"Kita masih menunggu dapatan itu untuk mendapatkan keputusan sama ada perkara ini boleh dibenarkan," katanya.

Sementara itu, Dr Adham memaklumkan, pihaknya menerima aduan berhubung kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dikesan di beberapa lokasi bazar Ramadan seluruh negara.

Beliau menegaskan, kerajaan memandang serius perkara itu dan tidak menolak kemungkinan bazar Ramadan akan ditutup jika wujud kluster baharu yang dipercayai daripada aktiviti bazar.

"Kalau kluster bazar wujud, kita (KKM) akan melakukan siasatan melalui rekod aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan punca yang tepat. Mudah bagi kita mengesan punca atau tempat bermula jangkitan.

"Jika penganjur didapati tidak bertanggungjawab, kita tidak akan teragak-agak mengenakan kompaun," katanya.

Mengenai kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenakan kompaun terhadap individu yang gagal mematuhi SOP, beliau berkata, lantikan bawah Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) itu bertujuan memastikan tahap pematuhan SOP di bazar Ramadan adalah tinggi.

Berkuat kuasa semalam, KKM menurunkan kuasa kepada Datuk Bandar, Yang Dipertua PBT dan pegawai penguat kuasa PBT Gred 19 ke atas, untuk mengkompaun kesalahan bawah Akta 342, termasuk sebarang ketidakpatuhan SOP di bazar Ramadan. 

Sumber : BERNAMA

 

 

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url