KPM perlu sedia rancangan jangka panjang pendidikan digital
Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menyediakan rancangan jangka panjang mengenai pendidikan digital memandangkan ia akan menjadi asas kepada sistem pendidikan pada masa depan.
Pakar Pendidik, Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata stigma ibu bapa serta masyarakat perlu diubah, bahawa sistem pembelajaran dalam talian atau digital ketika ini bukan lagi bersifat sementara.
"Signal itu kena tepat. Kita harus melihat sama ada COVID-19 ada atau tidak, pendigitalan dalam pendidikan pasti akan berlaku. Jika kita lihat di negara maju, mereka sudah bergerak ke arah pendigitalan pendidikan ini sangat pesat.
"Maknanya sekarang, kita tidak boleh anggap pelaksanaan pembelajaran dalam talian, hanya semata-mata disebabkan kita berdepan COVID-19, tetapi kita kena merancang dalam jangka panjang pendidikan digital ini akan menjadi asas kepada sistem pendidikan masa depan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Bicara BH: PdPR dilaksana lagi, sudah bersediakah guru, murid? secara maya hari ini yang dihoskan Fazilah Hani Harun.
Turut diundang sebagai panel, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang.
Sejak tahun lalu, pelbagai bentuk dan kaedah pembelajaran baharu diperkenal KPM untuk memastikan PdPR berjalan lancar termasuk menambah siaran saluran TV pendidikan serta pengenalan Didik TV KPM, yang membolehkan akses PdP lebih mudah dicapai dan meluas.
Anuar berkata, sejak Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tamat dan sesi PdP bersemuka bermula Januari hingga April lalu, pendedahan kepada pendigitilan pendidikan seolah-oleh tidak lagi menjadi keutamaan termasuk oleh ibu bapa sendiri.
"Kita lupakan tentang pembelajaran dalam talian. Kita tidak bicara soal pembelajaran dalam talian. Itu satu kesilapan yang kita lakukan dengan seolah-olah tidak ada PdPR lagi.
"Ibu bapa anggap PdPR ini sementara, jadi mereka rasa tiada keperluan menyediakan keperluan wang untuk membeli peranti," katanya.
Beliau berkata, kaedah guru Malaysia melaksanakan PdPR sejak tahun lalu turut mendapat pujian universiti berprestij dunia termasuk Universiti Oxford sendiri.
Anuar berkata, tumpuan KPM dalam pelaksanaan PdPR sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini perlu mengambil kira penilaian terhadap tahap motivasi murid untuk belajar, dengan memastikan mereka kekal fokus dan bersemangat.
Katanya, perkara ini perlu diberi keutamaan bagi mengelak mutu pembelajaran mereka semakin merosot, sekali gus berdepan isu keciciran.
"Kita lihat trend pembelajaran menggunakan peranti semakin meningkat, namun ia tidak begitu berkesan untuk menarik fokus murid belajar.
"Sebaiknya ia perlu diselang seli dengan kaedah lain. Anak-anak kini berdepan motivasi untuk belajar yang semakin menurun, walaupun mereka hadir ke kelas dalam talian, tetapi ada kalanya tidak fokus dengan pembelajaran.
"Ada tugasan diberi tidak dihantar semula. Ini semua disebabkan masalah persekitaran yang dihadapi mereka sejak tahun lalu, masih tidak dapat diselesaikan seperti capaian internet yang lemah, masalah akses kepada gajet yang terhad serta komitmen ibu bapa yang tinggi terhadap kerjaya masing-masing," katanya.
Justeru, beliau berkata, KPM perlu meneliti dan menyemak setiap masa kaedah PdPR masa kini supaya ia mudah diakses dan menarik perhatian murid untuk belajar.
"Sekarang, graduan pendidikan yang menuntut di institut pengajian tinggi (IPT) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) tidak diberi pendedahan mengenai cybergogi, yang dilatih lebih kepada pembelajaran dalam kelas. Ini pun harus kita perkasakan lagi," katanya.
Sementara itu, Anuar juga mencadangkan insentif khas diberi kepada guru yang berjaya dan cemerlang dalam memperkenalkan modul PdP alaf baharu, yang mengadaptasikan penggunaan digital dalam menyampaikan pembelajaran kepada murid.
Sumber : Berita Harian