PADU kini sudah masuk fasa dua

 


Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) kini sudah memasuki fasa dua yang membabitkan proses penentuan golongan sasar serta pembentukan perincian 'use case' dan mekanisme pemberian subsidi bersasar.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pelaksanaan PADU juga tidak hanya tertumpu kepada penyasaran semula subsidi serta bantuan, tetapi turut bertujuan mengenal pasti tahap sosioekonomi rakyat dan penentuan penyaluran bantuan.

"Data yang terdapat dalam PADU boleh membantu menghasilkan 'algoritma use-case' yang terpilih berdasarkan keperluan dan dasar semasa kerajaan.

"Kementerian Ekonomi akan memanfaatkan data PADU bagi pelaksanaan program di bawah kementerian seperti program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), yang mana proses validasi dan verifikasi permohonan IPR akan menggunakan data PADU," katanya dalam jawapan lisan di Parlimen.

Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) meminta menyatakan status terkini dan hala tuju PADU selepas berakhirnya fasa mendaftar dan mengemas kini maklumatnya.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, PADU juga dapat membantu kerajaan menyediakan pengukuran kedudukan sosioekonomi rakyat yang lebih tepat dengan menggunakan kaedah pendapatan boleh guna bersih.

Katanya, kaedah ini akan mengambil kira jumlah tanggungan dan bilangan isi rumah, kos sara hidup mengikut lokasi, jarak ke tempat kerja serta pemilikan aset seperti rumah, kenderaan dan tanah.

"Selain dapat mengurangkan keciciran dan kesilapan data dalaman dan luaran, kaedah ini akan turut membolehkan kerajaan beralih daripada pengenalpastian kumpulan sasar berdasarkan konsep B40, M40 dan T20 kepada pendekatan berdasarkan kewajaran pemberian bantuan mengikut kriteria yang ditetapkan," katanya.

Sehingga 31 Mac lalu, seramai 11,554,134 juta individu sudah mengemas kini maklumat dalam sistem PADU.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url