Pesakit muda alami sakit jantung membimbangkan
Semakin ramai individu berusia antara 20-an dan 30-an dikesan mengalami serangan jantung berikutan ketagihan tembakau.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim, berkata keadaan itu bertentangan dengan persepsi orang ramai penyakit jantung hanya menyerang individu berusia.
Katanya, pengalaman rawatan pesakit di IJN sendiri menunjukkan pesakit muda jantung hingga ia semakin membimbangkan.
"Kita tidak mempunyai peratusan berapa ramai (pesakit) tetapi lelaki lebih ramai merokok, sementara wanita pula cenderung menggunakan vape berikutan golongan hawa itu tertarik kepada vape kerana ia didakwa boleh melangsingkan badan.
"Selain itu, faktor peningkatan penyakit jantung kalangan golongan muda mungkindisebabkan sekarang, orang ramai lebih peka dan datang membuat mendapatkan rawatan awal, sekali gus membolehkan penyakit dikesan awal.
"Namun, ia semakin membimbangkan apabila meningkatnya perokok tembakau dan vape kalangan usia muda yang menggunakannya serentak, sekali gus akan membuatkan lebih cepat serangan jantung kerana kesannya dialami mereka dua kali ganda," katanya.
Beliau berkata pada sidang media selepas merasmikan Hari Tanpa Tembakau Sedunia dengan tema Melindungi Kanak-kanak dari Pengaruh Industri Tembakau di Lobi Utama IJN di sini, hari ini.
Dr Aizai Azan berkata, peralihan perokok kepada penggunaan vape kerana bentuk peranti itu lebih kecil, mudah dibawa atau disembunyikan, selain tiada bau atau mempunyai bau-bauan seperti buah-buahan berbanding asap tembakau.
"Justeru, kita mengadakan program hari tanpa tembakau sebagai usaha menumpukan pendidikan, pencegahan serta sokongan kepada pelajar sekolah menengah supaya mereka pilihan sihat,memahami bahaya tembakau dan tidak mula merokok.
"Matlamat kami melindungi kanak-kanak dan remaja daripada gangguan industri tembakau yang sekian lama menggunakan taktik mengelirukan untuk menyasarkan golongan muda untuk menyebabkan ketagihan tembakau pada usia awal serta beralih daripada tembakau kepada vape," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr Aizai Azan berkata, berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 dan Tinjauan Kesihatan Remaja 2022, menyaksikan sedikit peningkatan bilangan perokok dalam kalangan remaja di negara ini membabitkan tahun 2012 hingga 2017.
Selain itu, terdapat peningkatan trend dalam penggunaan e-rokok atau penggunaan vape dengan kira-kira 42.2 peratus remaja mengguna atau mencuba e-rokok atau vape sebelum usia 14 tahun dan kebanyakannya adalah remaja lelaki.
Menerusi laporan sama, terdapat penurunan dalam penggunaan rokok dalam kalangan remaja iaitu 6.2 peratus berbanding 13.8 peratus dalam NHMS 2017.
Bagaimanapun, terdapat peningkatan ketara bagi pengguna vape atau e-rokok dari tahun sama iaitu daripada 9.8 peratus kepada 14.9 peratus.
Sumber : Berita Harian