'Sonic boom' mungkin punca bunyi dentuman di Ipoh
Kejadian gegaran dan dentuman kuat yang dirasai di beberapa kawasan sekitar Ipoh, hari ini berkemungkinan berpunca daripada ledakan sonik, kata penganalisis pertahanan, Zaki Salleh.
Menjelaskan kebarangkalian itu, beliau berkata, ledakan sonik adalah bunyi kuat berpunca dari gelombang kejutan yang dicipta sebarang objek sedang bergerak melalui udara dan mencapai kelajuan lebih pantas berbanding kelajuan bunyi.
"Ledakan sonik ini menghasilkan tenaga bunyi yang sangat tinggi kerana pesawat terbang pada kelajuan supersonik.
"Bunyi dentuman sonik ini tidak menyebabkan apa-apa kesan kepada pesawat, malah tiada berlaku letupan pun di udara.
"Kebiasaannya, protokol ketenteraan mengehadkan penerbangan supersonik kepada operasi di atas air untuk meminimumkan kesan ke atas kawasan berpenduduk," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Bagaimanapun, Zaki menegaskan, hanya pihak berkuasa penerbangan atau tentera boleh mengesahkan punca sebenar bunyi dentuman terbabit.
Terdahulu, media melaporkan penduduk Ipoh cemas akibat merasai gegaran selama beberapa saat disusuli bunyi kuat seakan dentuman di bahagian atas bangunan sekitar jam 11.06 pagi tadi.
Tinjauan di media sosial mendapati pengguna mendakwa gegaran terbabit dirasai di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Chemor, Stadium Perak, Meru Raya, Falim dan Gugusan Manjoi.
Selain itu, kejadian sama dirasai penduduk di Tanjung Rambutan, Klebang, Jelapang, Tambun, Silibin serta pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Terowong Menora.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris sebelum ini menafikan kejadian terbabit berpunca daripada aktiviti letupan kuari, latihan pasukan keselamatan atau aktiviti seismik seperti didakwa pengguna media sosial.
Menurut Azizi, pihaknya sedang menyiasat mengenai insiden itu dan menasihati orang ramai dinasihati supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi.
Sumber : Berita Harian
Dentuman dari langit pernah dilaporkan di sini : https://myadha.blogspot.com/2012/02/bunyi-dari-langit-cuma-ujian-tekanan.html