‘Bunyi dari langit’ cuma ujian tekanan dandang
Penemuan awal itu diperoleh hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Ngauman Langit yang diwujudkan di bawah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof, berkata kilang berkenaan menjalankan ujian tekanan dandang secara automatik, yang mengakibatkan pelepasan wap akibat lebihan tekanan dandang secara berkala dan ia disahkan Penolong Pengurusnya, Yusmizan Desa.
“Proses berkenaan menghasilkan bunyi yang didakwa sebagai ‘ngauman langit’ oleh penduduk setempat. Pelepasan tekanan dandang adalah bagi tujuan mengekalkan tekanan pada nilai yang ditetapkan semasa aktiviti pemprosesan kelapa sawit.
“Corong lepasan wap juga didapati menghala ke arah kampung yang mana saksi mendengar bunyi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Demonstrasi semula penghasilan bunyi pelepasan wap dandang oleh pihak kilang disaksikan sendiri jawatankuasa siasatan dan saksi berkaitan, yang berpuas hati berhubung persamaan bunyi proses terbabit dengan rakaman ngauman seperti dilaporkan sebelum ini.
Fadillah bagaimanapun berkata, analisis saintifik dan pencirian frekuensi yang sedang dilakukan pakar tempatan masih diteruskan bagi pengesahan secara saintifik.
Sebelum ini, antara andaian mengaitkan bunyi itu dengan kejadian gempa bumi di Sumatera dan High Frequancy Active Auroral Research Programme (HAARP) yang dijalankan kerajaan Amerika Syarikat, namun siasatan mendapati kedua-dua andaian tiada asas dan kaitan langsung dengan bunyi berkenaan.
“Jawatankuasa Siasatan menggunakan beberapa metodologi seperti menemubual saksi kejadian, mengenal pasti sumber potensi punca bunyi dan siasatan berkaitan, mendapatkan khidmat pakar tempatan untuk menganalisis audio bunyi berkenaan dan analisis maklum balas yang diterima daripada orang ramai,” katanya.
- BERITA HARIAN