Wan Ahmad Farid dilantik Ketua Hakim Negara

 


Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilantik Ketua Hakim Negara yang baharu.

Perkara itu dimaklumkan menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan yang dikeluarkan lewat malam Khamis, 17 Julai 2025.

Wan Ahmad Farid ketika ini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan.

Kata kenyataan tersebut, pelantikan itu berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Selain itu, kenyataan memaklumkan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan manakala Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak bagi menggantikan penyandang yang bakal bersara.

“Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan dan Istiadat Mengangkat dan Menandatangani Sumpah Jawatan dan Sumpah Setia di hadapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong akan diadakan pada 28 Julai 2025 di Istana Negara,” kata kenyataan itu.

Jawatan Ketua Hakim Negara sebelum ini disandang Tun Tengku Maimun Tuan Mat manakala Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang masing-masing telah bersara pada awal bulan ini.

Buat masa ini, kedudukan Ketua Hakim Negara dipangku oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohmmed Hashim manakala Presiden Mahkamah Rayuan dipangku oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd. Yusof.

Sumber UTUSAN

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url