Tragedi Sungai Korok: 6 beranak ditemui di bahagian kiri kereta

 



 

Semua enam mangsa dalam kereta Proton Iswara yang tenggelam di Sungai Korok, hari ini ditemui di bahagian belakang kereta sebelah kiri dipercayai cuba keluar menyelamatkan diri.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim, berkata berikutan itu anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) terpaksa memecahkan cermin belakang dan memotong bumbung kereta untuk mengeluarkan mangsa.

Beliau berkata, pihak bomba turut berdepan cabaran untuk mengeluarkan mangsa melalui pintu belakang disebabkan berada dalam air.

Katanya, mangsa membabitkan seorang lelaki dan wanita dewasa, tiga kanak-kanak serta seorang bayi lelaki.

"Hasil pemeriksaan juga mendapati terdapat kesan brek tayar yang jaraknya kira-kira satu meter dari tebing.

"Anggota bomba mengeluarkan semua mangsa dalam kereta terbabit dan mereka disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi.

"Kesemua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.

Media sebelum ini melaporkan enam sekeluarga yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ditemukan dalam kereta Proton Saga Iswara yang tenggelam di Sungai Korok, hari ini.

Operasi mengangkat mayat keenam-enam sekeluarga itu dilakukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra.

Enam mangsa terbabit adalah pasangan suami isteri dan empat anak mereka yang berusia enam bulan hingga 9 tahun yang dilaporkan hilang selepas pulang bermalam di rumah ahli keluarga mereka, awal pagi Sabtu lalu.

Sumber  Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url