Bahaya kulat mikroskopik di persekitaran kediaman

 


TAHUKAH anda kulat atau mould adalah organisma mikroskopik yang hidup hampir di mana-mana, baik di dalam rumah, pejabat, mahupun persekitaran luar?

Tanpa kita sedari, kehidupan seharian sebenarnya dikelilingi oleh organisma halus ini yang mudah membiak di tempat yang lembap dan terbiar.

-ADVERTISEMENT-

Salah satu daripadanya ialah kulat, yang digelar sebagai "Si Pendiam yang mengancam".

Kulat tumbuh di atas bahan organik mati seperti kain, kotak kadbod, kertas, kayu, atau jubin siling, terutamanya apabila bahan-bahan ini disimpan dalam persekitaran yang lembap.

Kehadiran kulat ini boleh dikenali melalui tompokan berbulu atau berwarna yang muncul pada permukaan tersebut.

Walaupun kulat ini kelihatan tidak berbahaya, hakikatnya kulat ada pelbagai spesies yang boleh menjadi patogen atau penyebab penyakit kepada manusia, terutama bagi individu yang mempunyai sistem imun lemah.

Lebih membimbangkan lagi, kulat juga boleh merosakkan struktur bangunan dengan menguraikan bahan organik tempat ia tumbuh, menyebabkan kecacatan fizikal dan kos penyelenggaraan yang tinggi.

Kulat amat mudah membiak dalam keadaan lembap dan pengudaraan yang tidak mencukupi.

Tanpa kawalan berkesan, ia boleh menjadi punca utama masalah kesihatan dan kerosakan bangunan.

Tiga unsur utama yang membolehkan kulat mudah hidup iaitu kelembapan, oksigen dan bahan organik. Apabila ketiga-tiga unsur ini wujud dalam persekitaran yang mempunyai suhu sesuai, kulat dapat hidup dan membiak dengan pantas.

Antara spesies kulat yang lazim ditemui termasuklah Aspergillus, Alternaria, Acremonium, Cladosporium, Dreschslera, Epicoccum, Penicillium, Stachybotrys, dan Trichoderma.

Setiap jenis kulat ini mampu memberi kesan kesihatan yang berbeza, bergantung kepada tahap pendedahan serta kepekaan individu yang terdedah.

Kebiasaannya, individu akan mengalami pelbagai simptom apabila terhidu atau bersentuhan dengan spora kulat, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai sistem imun lemah atau masalah pernafasan sedia ada. Pendedahan kepada spora kulat boleh menimbulkan pelbagai reaksi alergi dan simptom berkaitan sistem pernafasan.

Antara gejala yang sering dialami termasuk batuk berpanjangan, hidung tersumbat atau berair, serta mata yang gatal dan berair (conjunctivitis). Selain itu, individu yang terdedah juga mungkin mengalami lingkaran hitam di bawah mata, sakit kepala, sakit tekak, dan kulit yang kering.

Dalam kes lebih serius, simptom seperti nafas berbunyi (wheezing), sesak nafas, dan tanda-tanda menyerupai asma turut boleh berlaku.

Tidak kurang juga yang mengalami bersin berterusan, pening, dan keletihan yang berpanjangan.

Reaksi ini berbeza-beza mengikut tahap sensitiviti individu serta kekuatan sistem imun masing-masing.

Golongan yang lebih berisiko terhadap kesan buruk kulat termasuklah bayi dan kanak-kanak kecil, wanita mengandung, warga emas, penghidap asma, serta individu yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Golongan ini lebih mudah mengalami komplikasi kesihatan apabila terdedah kepada spora kulat yang terapung di udara atau tersebar melalui sentuhan permukaan tercemar.

Kelembapan punca utama masalah bangunan

Kehadiran air atau kelembapan yang tidak terkawal boleh menyebabkan kerosakan struktur serta mewujudkan persekitaran dalaman yang lembap dan tidak sihat.

Kelembapan boleh berpunca daripada beberapa sumber utama, antaranya ialah pemeluwapan (condensation), lembapan yang naik dari tanah (rising damp), lembapan tembus (penetrating damp) seperti akibat bumbung bocor, serta kebocoran paip atau sistem perpaipan.

Jika dibiarkan tanpa rawatan, kelembapan ini bukan sahaja mempercepatkan kemerosotan bahan binaan, tetapi juga mendorong pertumbuhan kulat yang boleh menjejaskan kesihatan penghuni.

Strategi pencegahan kulat di bangunan

Langkah awal boleh diambil termasuklah melakukan pemeriksaan bangunan secara berkala untuk mengesan sebarang tanda kehadiran kulat, kelembapan atau kebocoran air.

Penggunaan kipas ekzos di kawasan seperti pantri dan tandas dapat membantu meningkatkan pengudaraan dan mengurangkan kelembapan.

Selain itu, unit sistem penghawa dingin (AHU) juga perlu diperiksa bagi memastikan sistem saliran kondensasinya berfungsi dengan baik.

Kawasan yang kerap lembap seperti paip, lantai bilik air dan sekeliling sinki perlu dibersihkan secara berkala untuk mengelakkan pengumpulan air.

Langkah tambahan termasuk mengehadkan penggunaan permaidani dan tumbuhan di dalam bangunan kerana kedua-duanya boleh mengekalkan kelembapan dan menjadi tempat pembiakan kulat.

Penggunaan alat penyahlembap dan penapis udara juga digalakkan bagi membantu mengawal kelembapan dan menapis spora di udara.

Sekiranya berlaku kebocoran, kawasan yang terjejas perlu dikeringkan dalam tempoh 24 hingga 48 jam untuk mengelakkan pertumbuhan kulat.

Jika boleh, barangan yang dibersihkan juga disarankan untuk dijemur di bawah cahaya matahari bagi membunuh spora yang mungkin masih ada.

Penghuni boleh menggunakan alat mudah seperti 'Hygrometer Indoor Temperature' untuk memantau kelembapan dalam rumah. Bacaan kelembapan sepatutnya tidak melebihi 60 peratus.

Jika melebihi, kemungkinan terdapat sumber kelembapan seperti pemeluwapan, lembapan naik dari tanah, lembapan tembus akibat bumbung bocor, atau kebocoran paip yang perlu dikenal pasti dan diatasi segera.

Justeru, langkah pencegahan dan kawalan perlu diambil segera sebelum masalah menjadi lebih serius.

Bertindaklah sekarang untuk menangani kulat mikroskopik sebelum terlambat.

INFO

Bagaimana cara mengenal pasti kehadiran kulat di persekitaran anda.

-Kehadiran tompokan berwarna putih, hijau, biru atau kehitaman pada dinding, siling, atau perabot.

- Kehadiran bau hapak yang menyerupai tanah basah.

- Kawasan yang mengalami kebocoran air dari paip, bumbung, atau dinding cenderung menjadi lokasi pembiakan kulat.

- Ruang lembap seperti bilik air, pantri, serta sistem penghawa dingin (air handling unit, AHU) juga berpotensi tinggi menjadi habitat kulat.

- Almari diletakkan berhampiran dengan paip air atau dinding yang lembap terdedah risiko pertumbuhan kulat.

Sumber - Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url