Jabatan Integriti Polis Bukit Aman ke Sabah siasat 3 pegawai kes kematian Zara Qairina

 


Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan menjalankan siasatan tatatertib terhadap Ketua Polis Daerah, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah dan pegawai penyiasat berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata siasatan akan dijalankan mengikut prosedur tatatertib terhadap semua pegawai terbabit.

"Pasukan JIPS akan hantar pasukan ke Sabah dan kita akan buka kertas siasatan tatatertib (KST) terhadap Ketua Polis Daerah berpangkat Superintendan, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah berpangkat Asisten Superintendan serta pegawai penyiasat berpangkat Inspektor.

"JIPS akan ambil kenyataan semula semua pihak. Pasukan ini akan ke Sabah dalam satu dua hari lagi," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Makan Suap di Dewan Bahasa dan Pustaka

Mengulas lanjut, beliau menegaskan siasatan JIPS ini berkaitan aspek penyeliaan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai yang gagal menjalankan tanggungjawab terbabit.

"Task force (pasukan siasatan dari Bukit Aman) sebelum ini ke sana (Sabah) untuk siasatan kes dan JIPS pula (siasatan) daripada segi penyeliaan. Mereka (tiga pegawai terbabit) perlu bertanggungjawab.

"Tindakan tegas wajar diambil terhadap mana-mana pegawai yang gagal melaksanakan tanggungjawab untuk menyelia dan mendapatkan siasatan yang sepatutnya," katanya.

Difahamkan, tiga pegawai polis terbabit bertugas di sebuah ibu pejabat polis daerah (IPD) dan kesemua mereka masih bertugas seperti biasa.

Rabu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu, memaklumkan kegagalan pegawai penyiasat memohon bedah siasat pada peringkat awal dikenal pasti sebagai punca utama ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kes kematian Zara Qairina.

Beliau dilaporkan berkata berkata SOP jelas mewajibkan bedah siasat dilakukan sekiranya punca kematian tidak diketahui atau wujud elemen mencurigakan.

Sumber - Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url