Malware ancaman terbesar Malaysia
"Pada separuh kedua 2009, walaupun kadar jangkitan 'Malware' agak rendah berbanding purata dunia, namun terdapat peningkatan berbanding separuh pertama 2009," kata Microsoft dalam satu kenyataan di sini hari ini.
SIRv8 menyebut, jenayah siber terus meningkat, dengan penjenayah meneruskan operasi ke atas proses perniagaan konvensional.
"Penjenayah terus meningkatkan kapasiti untuk melakukan serangan, termasuk 'menawarkan produk' dan menambah ciri-ciri kepada 'Malware' untuk sasaran pengguna tertentu," katanya.
(Malware merupakan perisian yang direka bentuk untuk memasuki ke dalam sistem komputer dan menyebabkan risiko kepada sistem) Ketua Privasi dan Keselamatan Serantau Asia Pasifik Microsoft, Jacqueline Peterson-Jarvis berkata, SIRv8 menyebut bukti-bukti bahawa jenayah siber semakin canggih dan mengancam penggunaan dalam talian dan terus mengeksploitasi kit yang dijual kepada pihak lain untuk digunakan.
"Pembangun 'Malware' terus meningkatkan produk mereka dengan menggantikannya dengan yang baharu," katanya.
Beliau berkata, SLRv8 menggunakan data yang dikumpul daripada kira-kira 500 juta komputer di seluruh dunia bagi menyediakan risikan ke atas ancaman dalam talian global yang dialami sepanjang separuh kedua 2009.
Peterson-Jarvis berkata, laporan itu juga mendapati rangkaian perusahaan terus terdedah kepada 'cacing' manakala pengguna kediaman lebih terdedah kepada malware dan ancaman sosial.
Beliau berkata penipuan '419' semakin meningkat dalam e-mel, dengan perisian keselamatan palsu yang bertindak sebagai aplikasi keselamatan yang sah, menipu pengguna, masih terus menjadi isu kepada pelanggan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Kol (B) Husin Jazri, berkata, tahap kesedaran di kalangan pengguna Internet Malaysia ke atas keselamatan dalam ruang siber perlu ditingkatkan.
"Ini perlu, berdasarkan bilangan penduduk yang semakin meningkat. Ibu bapa perlu memain peranan penting dalam memastikan masa yang dihabiskan oleh anak-anak masing-masing dalam talian adalah selamat dan terjamin," katanya.
- BERNAMA