Temuramah Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara


Laporan polis kini tidak lagi diperlukan bagi memohon gantian kepada MyKad dan pasport yang hilang.

Pelaksanaan yang berkuatkuasa secara efektif pada 1 Mac lalu diumumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam, baru-baru ini.

Mahmood berkata, laporan polis hanya diperlukan sekiranya kehilangan berkaitan dengan kes jenayah seperti ragut dan rompakan di mana pemohon adalah mangsa.

Namun difahamkan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tetap menggantikan MyKad kepada mangsa terbabit yang membuat permohonan tanpa bukti laporan polis.

Difahamkan, jika dahulu orang ramai akan dikenakan denda kerana kehilangan kad pengenalan dan kemudian pendekatan mewajibkan pemohon untuk membuat laporan polis.

Kini gantian MyKad tidak memerlukan laporan polis namun dikenakan denda atas faktor kehilangan dan budi bicara JPN sama ada bayaran penuh, pengurangan atau pengecualian.

Cakap-cakap mengatakan MyKad yang hilang sepatutnya memerlukan laporan polis kerana ia adalah pengenalan diri untuk semua warganegara Malaysia yang berumur 12 tahun dan ke atas berbanding pasport yang berfungsi untuk tujuan ke luar negara.

Walaupun tidak ke luar negara sehingga akhir hayat sekali pun, rakyat Malaysia itu tetapi menjadi warganegara maka MyKad adalah diwajibkan ke atas mereka.

Mingguan mStar mendapatkan penjelasan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim berhubung pelaksanaan baru itu.

>Objektif pelaksanaan: 1. Beri kemudahan kepada rakyat. 2. Nilai tambah kepada aktiviti utama JPN. 3. Mahu mengurangkan kadar kehilangan MyKad.

>Jumlah: Berdasarkan statistik dari tahun 2008 sehingga Februari 2011, JPN merekodkan sebanyak 970,246 permohonan gantian kerana kehilangan MyKad.

>Faktor: Kecuaian, kecurian, ragut, rompakan, bencana alam dan kemalangan.

>Trend: Menurun. 359,477 MyKad pada tahun 2008, 356,605 (2009), 298,102 (2010) dan 59,059 (bagi tempoh tiga bulan pertama tahun 2011).

>Cuai: JPN memandang serius terhadap kehilangan MyKad kerana ia merupakan dokumen penting melibatkan keselamatan dan maklumat peribadi warganegara.

>Kos: Setiap kehilangan sudah tentu melibatkan kos dan kadar denda berdasarkan kepada bilangan dan jenis kehilangan serta rayuan pemohon dan budi bicara JPN.

>Denda: Kehilangan pertama (RM100), kehilangan kedua (RM200) dan kehilangan ketiga dan seterusnya(RM300) serta masing-masing dikenakan bayaran permohonan RM10.

>Kutipan denda: RM22.71 juta kutipan denda disebabkan kehilangan MyKad bagi tahun 2010. Dari Januari sehingga Mac 2011 sahaja kutipan denda bernilai RM6.35 juta.

>Pengecualian denda: Kecurian, bencana alam dan kemalangan.

>MyKad yang hilang dijumpai semula: Akan dilupuskan berserta dengan mana-mana MyKad yang tidak dituntut oleh pemohon.

Ganti MyKad hilang tanpa laporan polis - Temubual dengan Ketua Pengarah JPN

Sejauh mana relevan pelaksanaan baru kepada JPN?

Berdasarkan Peraturan 13(1) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 menyatakan “Apabila sesuatu kad pengenalan hilang, rosak atau musnah, orang yang kepadanya kad itu dimaksudkan hendaklah dengan segera melaporkan hal itu kepada pejabat pendaftaran terdekat dan memohon kad pengenalan gantian.” Ini bermakna laporan polis tidak diwajibkan bagi mendapatkan gantian MyKad yang hilang.

Kenapa masih ada yang buat laporan polis?

Tiada halangan sekiranya pemohon mahu membuat laporan polis namun tidak mewajibkan mereka untuk berbuat demikian. Laporan polis itu kebiasaannya turut melibatkan dokumen penting lain serta kes jenayah seperti ragut dan rompak untuk tujuan keselamatan identiti.

Bagaimana hendak mengenal pasti ketulenan kes kehilangan MyKad?

Ia berdasarkan kepercayaan dan diharapkan agar pemohon dapat memberikan maklumat yang benar. Walaupun sebelum ini laporan polis diperlukan namun wujud kes pemohon tidak menyatakan keadaan sebenar kerana mahu mendapatkan pengecualian denda. Disebabkan itu kita mengeluarkan borang akuan sebagai satu format yang tetap bagi mereka yang memohon untuk mendapatkan gantian MyKad.

Percaya sahaja?

Pada masa ini, ia masih berdasarkan kepercayaan tetapi JPN akan menilai pelaksanaannya berhubung trend kehilangan MyKad. Penipuan ini dalam apa-apa cara pun boleh berlaku meskipun laporan polis sudah dibuat.

Setuju kemungkinan MyKad disalah guna?

Mungkin ada. Bagaimanapun perkara ini boleh dikenakan tindakan di bawah peraturan dan siasatan boleh dilakukan. Ini termasuk menyenarai hitam mereka yang didapati bersalah kerana memberikan maklumat palsu.

Tidak curiga pada kes kehilangan banyak kali?

Kes kehilangan sehingga lima kali akan dimasukkan ke bahagian siasatan. MyKad pemohon tetap digantikan. Keadaan sedemikian diakui membimbangkan dan JPN akan mengenal pasti sekiranya mempunyai kaitan dengan salah guna.

Jika ada pihak lain yang salah guna MyKad yang hilang?

MyKad yang hilang sama ada dijumpai semula atau tidak tetap tidak sah digunakan dan secara automatik fungsinya tidak aktif sekiranya pemiliknya membuat permohonan untuk mendapatkan gantian.

Cadangan agar sebuah panel diwujudkan untuk memantau JPN?

Tidak perlu kerana JPN sebagai jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri, turut terlibat dalam mesyuarat pengurusan tertinggi pada setiap minggu. Terdapat forum dan jawatankuasa sebagai pemantau pelaksanaan program dan aktiviti jabatan.

Isu pemalsuan MyKad?

Penambahbaikan ciri-ciri keselamatan MyKad tidak memudahkan pihak tertentu untuk membuat pemalsuan atau pindaan ke atas kad berkenaan. Itulah sasaran kami.

JPN ada buat penguatkuasaan?

Berdasarkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan, JPN melaksanakan sebanyak 259 operasi pada tahun 2010 dan pada tahun ini sehingga Mac adalah 87 operasi.

Kebanyakannya merupakan operasi bersepadu yang dilakukan bersama agensi penguatkuasa lain seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Tangkapan dan pendakwaan?

Jumlah tangkapan dan pendakwaan adalah sebanyak 255 orang pada 2010 dan 77 orang pada 2011 setakat ini. Kebanyakan kes pendakwaan adalah kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu dan menggunakan dokumen orang lain.

Stigma MyKad kurang penting?

MyKad perlu dimiliki semua warga Malaysia berumur 12 tahun dan ke atas. Ia bukan hanya digunakan sebagai dokumen pengenalan diri tetapi juga diperlukan ketika berurusan dengan agensi lain.

Nasihat kepada rakyat Malaysia.

Orang ramai perlu menjaga MyKad dengan cermat kerana ia merupakan aset terpenting yang bukan sekadar berfungsi sebagai kad pengenalan diri.

- MSTAR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url