Top Ad 728x90

,

Membeli Belah Baju Raya di Zalora


NAMA Zalora mungkin menjentik perasaan ingin tahu ketika anda melayari internet. Lazimnya, ia terpampang di laman-laman web yang dilawati. Boleh dikatakan, Zalora berada pada hampir setiap laman web.

Bagi mereka yang kurang mesra dengan Zalora, sebenarnya ia adalah laman web beli-belah yang menawarkan seleksi pakaian dan aksesori menarik. Pada asalnya Zalora dibuka oleh sebilangan pelabur Jerman namun kini perniagaan itu mula mengembangkan sayapnya ke beberapa buah negara termasuk Malaysia. Zalora Malaysia dilancarkan secara rasmi pada April 2011 bertongkatkan tiga kakitangan sahaja namun hari ini bilangan itu bertambah kepada 250 pekerja. Penerimaan rakyat tempatan terhadap urusan beli-belah dalam talian dilihat sungguh menakjubkan.

Menurut pengarah urusan dan pengasas bersama Zalora Malaysia, Johan Surani, laman web mereka sudah merekodkan kunjungan trafik melebihi jangkaan. Ia secara tidak langsung menjadi batu asas kepada bukti kesediaan masyarakat kita membeli-belah menerusi internet. Biarpun masih bertatih, ia tidak menyekat usaha Zalora Malaysia memperkenalkan promosi sempena Syawal yang bakal diraikan umat Islam negara ini. Seramai 15 pereka tempatan dan satu jenama antarabangsa terlibat untuk koleksi raya tahun ini.

"Keanggunan wanita bakal terserlah dengan persalinan lebaran rekaan pereka-pereka dan label ternama seperti Jovian Mandagie, Poya, ZAZA dan ramai lagi. Daripada baju kurung moden sehingga baju kaftan mampu dimiliki, semuanya hanya di hujung jari. "Selain busana wanita, kami turut menyediakan pakaian lelaki di bawah label BMO, Luth Ali dan Wildan Waleeda. Baju Melayu beserta kain songket dan kain pelikat hasil kerja pereka-pereka tersebut mampu melengkapkan gaya lebaran si jejaka.

"Aksesori seperti hijab, selendang (scarf), turban, butang baju Melayu dan kerongsang juga dijual sebagai padanan ideal dengan apa jua pakaian," tutur Johan yang menyatakan barangan harga rendah boleh ditemui pada kategori promosi (sale).

Kerjasama pereka

Strategi pemasaran sistematik dan kepantasan Zalora Malaysia menjual barangan menjadi pemangkin jenama ZAZA bersetuju untuk berkolaborasi bagi menjayakan koleksi Aidilfitri kali ini. Biarpun gandingan Zalora Malaysia dan ZAZA bermula sejak laman web beli-belah itu diwujudkan tahun lalu, ini merupakan projek pertama mereka bersama sempena hari raya. Ketua Pegawai Eksekutif dan pereka ZAZA Apparels Manufacturer Sdn. Bhd., Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah menyatakan kegembiraan beliau dengan sambutan luar biasa yang diterima selepas rekaan Aidilfitrinya diletakkan pada laman web Zalora Malaysia.

Tambah beliau, kelebihan beli-belah dalam talian dari aspek penjimatan masa telah memudahkan urusan pelanggan yang hanya perlu pilih dan klik. Jenama yang ditawarkan juga pelbagai. Keuntungan pada pereka pula terletak pada kos pembukaan butik yang tidak mampu ditanggung sesetengah individu.

Koleksi Aidilfitri

Bagi pereka Nisa Mazbar, 27, kemudahan berurusan dengan pelanggan dan kekemasan laman web Zalora Malaysia membuka pintu hatinya untuk meletakkan hasil kerjanya pada laman web tersebut. "Rekaan-rekaan saya memang dijual melalui Zalora Malaysia sejak ia mula diperkenalkan. Sambutan hebat dari segi pemasaran meyakinkan saya untuk menjayakan koleksi raya bersama mereka," ujar Nisa.

Menyentuh koleksi Syawal, Raja Noora Ashikin memilih konsep moden kontemporari untuk label ZAZA. Wanita berumur 20 tahun sehingga mereka berusia 60 tahun menjadi sasaran ZAZA. "Gabungan palet warna lembut dan ceria dipilih bagi memberi imej bersahaja namun moden, versatil, elegan dan cergas yang menyerlahkan kejelitaan wanita tanpa dibatasi usia. "Sifon menjadi fabrik utama kerana ia mampu menonjolkan kelembutan wanita yang difokuskan kepada potongan, perincian dan jahitan. Likra turut digunakan dan kali ini kami meminimumkan perincian manik," katanya yang memberitahu, pilihan eksklusif ZAZA dijual pada harga lebih tinggi tetapi dihasilkan berdasarkan tempahan khas sahaja.

Melihatkan populariti warna-warna pastel melonjak naik tahun ini, Nisa memilih palet tersebut untuk koleksi raya beliau. Bagi memberi keseimbangan, rekaan rona gelap turut disediakan. "Saya memilih Raya Empat Musim sebagai tema tahun ini. Ia bertepatan dengan material yang dipakai seperti sifon sutera dan satin sutera. Pemilihan fabrik tidak hanya berdasarkan kesesuaian cuaca di tanah air malah mengambil kira cuaca di negara empat musim. "Siluet rekaan raya saya kali ini pula berdasarkan trend dan stail semasa. Kebanyakannya menekankan stail peplum dan potongan puteri (princess cut)," tutur Nisa yang menyasarkan wanita berusia 20 hingga 40 tahun untuk koleksi Syawal tersebut.

- KOSMO!

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90