Top Ad 728x90

Keutamaan mengerjakan solat sunat

Di dalam hadis-hadis Rasulullah SAW solat sunat dikenali sebagai Sholat al-Tathawwu'. Al-Tathawwu' secara bahasa bermaksud melakukan ketaatan. Dari segi syariat pula ia bermaksud ketaatan yang tidak wajib berupa solat, sedekah, puasa, haji jihad dan sebagainya.Oleh itu setiap jenis solat yang disyariatkan dalam Islam sebagai tambahan di atas solat fardu yang lima waktu ia termasuk dalam kumpulan solat-solat sunat. Mengerjakan solat-solat sunat memiliki banyak keutamaan. Di antaranya adalah seperti berikut:

Ia Merupakan Amalan Yang terbaik

Mengerjakan solat merupakan amalan yang terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: "Istiqamahlah kamu semua, janganlah kamu menghitung-hitungnya, dan ketahuilah bahawa sebaik-baik amal-amalmu adalah solat". (riwayat Imam Ibnu Majah di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah wa Sunanuha, hadis no: 273).

Menutup Kekurangan Solat FarduAdalah menjadi lumrah bagi manusia apabila mengerjakan solat fardu akan terjadi perbuatan yang dapat mengurangkan kesempurnaan solat tersebut seperti tidak khusyuk, bacaan ayat-ayat al-Quran yang kurang kemas dan lain-lain kesilapan lagi.

Solat sunat dapat menutupi segala kekurangan yang mungkin wujud ketika mengerjakan solat fardu ini. Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya amalan manusia yang mula-mula dihisab pada hari kiamat ialah solat mereka. Tuhan kita berfirman kepada para malaikat-Nya padahal Dia lebih mengetahui: Periksalah solat hamba-Ku! Sempurnakah atau kurang? Jika solatnya sempurna catatkanlah sebagai sempurna, dan jika terdapat sesuatu kekurangan Tuhan berfirman pula: Periksalah adakah hamba-Ku mempunyai amalan solat sunat? Jika dia mempunyai amalan solat sunat lalu Tuhan berfirman: Sempurnakanlah solat fardu hamba-Ku dengan solat sunatnya. Kemudian diperhitungkan amalan-amalan itu dengan cara demikian". (riwayat Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, hadis no: 733).

Menjadi Ahli Syurga

Mengerjakan solat sunat dapat menyebabkan seseorang menjadi ahli syurga. Daripada Rabi'ah bin Malik al-Aslami, dia berkata: Aku pernah bermalam di rumah Rasulullah SAW. Ketika baginda bangun, aku mengambil air wuduk untuk baginda dan melayani apa yang baginda perlukan. Selanjutnya baginda bersabda kepadaku: Mintalah! Aku menjawab: Aku meminta agar sekiranya aku dapat menemani engkau di syurga kelak. Baginda bertanya: Adakah permintaan selain dari itu? Aku menjawab: Cukup itu sahaja.

Baginda lalu bersabda: Bantulah aku bagi mencapai permintaanmu itu dengan memperbanyakkan sujud (solat sunat). (riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Sholaah, hadis no: 489).

Meninggikan Darjat SeseorangAmalan solat sunat juga dapat meninggikan darjat seseorang serta menghapuskan dosa-dosanya yang lalu.

Daripada Mi'dan bin Abi Thalhah al-Ya'mari, dia bercerita: Aku pernah bertemu Tsauban, pembantu Rasulullah, lalu ku katakan: Beritahukan kepada ku suatu amalan yang dengan mengerjakannya Allah akan memasukkanku ke dalam syurga. (Atau dia menceritakan: Ku katakan dengan amal yang paling disukai Allah).

Kemudian Tsauban diam. Maka aku tanyakan lagi kepadanya. Dia tetap diam. Selanjutnya aku bertanya untuk yang ketiga kalinya, dia pun berkata: Aku pernah bertanyakan hal tersebut kepada Rasulullah SAW lalu baginda menjawab: Hendaklah engkau memperbanyakkan sujud (solat sunat) kepada Allah kerana sesungguhnya tidaklah engkau bersujud kepada Allah sekali sahaja, melainkan dengannya Dia meninggikanmu satu darjat serta menghapuskan darimu satu kesalahan. (riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Sholaah, hadis no: 488).

Dicintai Oleh Allah S.W.T.Allah mencintai mereka yang mengerjakan amalan-amalan sunat (nawafil) termasuk solat-solat sunat. Daripada Abu Hurairah r.a, dia berkata Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah berfirman: Barang siapa yang memusuhi wali-Ku, sungguh Aku telah mengizinkan agar dia diperangi. Tidak ada amal yang paling Aku senangi yang dipergunakan oleh hamba-Ku untuk mendekatkan diri kepada-Ku selain ibadah yang telah Aku fardukan kepadanya. Hamba-Ku yang senantiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan ibadah sunat (nawafil), pasti Aku mencintainya. Jika Aku sudah mencintainya, maka Aku menjadi pendengarannya yang dengannya dia mendengar; Aku menjadi penglihatannya yang dengannya dia melihat; Aku menjadi tangannya yang dengannya dia membuat (sesuatu); Aku menjadi kakinya yang dengannya dia berjalan; jika dia memohon kepada-Ku pasti akan Ku beri; jika dia memohon perlindungan daripada Ku pasti akan Ku lindungi dia. Aku tidak pernah bimbang dalam melakukan sesuatu sebagaimana kebimbangan Ku ketika hendak mencabut nyawa seorang mukmin yang tidak menyukai sakitnya sakaratul maut, sementara Aku pun tidak ingin menyakitinya. (riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Riqaaq, no: 6502).

Mendatangkan Keberkatan Terhadap Rumah

Mengerjakan solat-solat sunat di rumah akan mendatangkan keberkatan. Berbeza dengan solat fardu, solat-solat sunat lebih afdal sekiranya dikerjakan di rumah masing-masing kecuali solat-solat sunat yang sememangnya disyaratkan untuk dikerjakan secara berjemaah di masjid, musolla (tanah lapang) mahupun tempat-tempat tertentu.

Daripada Zaid bin Tsabit r.a yang menyebutkan bahawa Rasulullah bersabda: Wahai sekelian manusia, kerjakanlah solat (sunat) di rumah kalian, sebab solat yang paling utama adalah solat seseorang yang dikerjakan di rumahnya, kecuali solat fardu. (riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Azaan, no: 731).

Demikianlah keutamaan-keutamaan mengerjakan solat-solat sunat secara umum yang diharapkan dengan mengetahuinya dapat meningkatkan kita semua untuk mengerjakannya sesuai dengan sunah Nabi SAW.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90