Beca di Kuala Terengganu


Satu ketika dulu perkhidmatan beca di bandar raya Kuala Terengganu (KT) ini amat popular sebagai kenderaan mengangkut barang dan penumpang terutama peniaga dan pelanggan wanita di Pasar Besar Kedai Payang.

Namun, seiring dengan masa, fungsi beca semakin berkurangan tambahan pula kebanyakan daripada peniaga dan pengunjung pasar berkenaan kini mempunyai kenderaan sendiri.

Menyedari hilangnya identiti beca sebagai sebuah kenderaan awam yang penting satu ketika dahulu, kerajaan negeri cuba memberi nafas baru kepada kenderaan tradisional beca itu sebagai satu transformasi dengan menukar bentuknya menjadi lebih menarik.

Kerajaan Terengganu bersama Sekretariat Tahun Melawat Terengganu 2008 kini mempromosikan beca sebagai kenderaan pelancongan iaitu mengangkut penumpang ke destinasi menarik di sekitar bandar raya.

Melalui usaha itu, pelancong yang datang ke Terengganu tidak perlu lagi pening kepala memikirkan bagaimana untuk ke tempat-tempat menarik dan bersejarah di sekitar bandar raya ini kerana kini terdapat perkhidmatan beca disediakan bagi memudahkan perjalanan mereka.

Beca yang telah diubah suai dengan menggunakan enjin motor dan dihias dengan kain warna warni sedia membawa pelancong mengelilingi bandar raya ini sambil pak cik pengayuh beca menjadi pemandu pelancong tidak rasmi apabila berkongsi cerita dengan pelancong.

Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, langkah ini adalah selaras dengan seruan dasar baru pelancongan yang menitikberatkan penglibatan rakyat di peringkat akar umbi dalam membangunkan industri pelancongan negara.

''Sepanjang perjalanan, pak cik pengayuh beca akan bercerita mengenai keindahan yang terdapat di sekitar bandar raya ini," katanya

Dengan adanya perkhidmatan ini, para pelancong akan lebih mudah untuk mengunjungi tempat-tempat menarik di sekitar bandar raya ini tanpa perlu menggunakan kenderaan sendiri.

Menurutnya, melalui program tersebut sebanyak 21 buah beca yang dihias cantik akan membawa pelancong mengelilingi bandar raya ini dengan pakej yang menarik.

Antara laluan yang disediakan adalah Jalan Sultan Zainal Abidin yang bersebelahan Dataran Shahbandar yang menghadap Laut China Selatan.

Para pelancong juga akan melalui perhentian-perhentian yang mempunyai sejarah dan sebagai contoh, mereka akan dibawa melawat ke Pasar Besar Kedai Payang sebelum singgah ke Istana Maziah yang terletak berhampiran.

Seterusnya para pelancong akan dibawa menikmati makanan tradisional Terengganu yang terletak di Jalan Sultan Zainal Abidin sebelum menuju Pantai Peranginan Batu Burok yang mempunyai pemandangan yang indah dan mengasyikkan.

Bagi para pengunjung yang ingin mengembalikan peristiwa bersejarah, semestinya sejarah batu bersurat tidak dilupakan dan inilah peluang untuk mereka melihat replika Batu Bersurat yang terletak di bulatan Jalan Sultan Sulaiman.

Justeru bersama hembusan angin sepoi-sepoi bahasa, semestinya para pelancong tidak akan melupakan saat-saat indah berada di Kuala Terengganu dengan menaiki beca yang dihias cantik dengan kreativiti masing-masing.

Bagi yang kali pertama mengunjungi Kuala Terengganu, inilah peluang yang harus diambil untuk menyaksikan keindahan unik sebuah bandar raya pesisir pantai yang pasti terpahat dalam ingatan.
Next Post Previous Post
1 Comments
  • sHabiE
    sHabiE Khamis, 19 Jun 2008 pada 11:14:00 PG SGT

    Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

Add Comment
comment url