Zabidi Raja Pecut 100m SUKMA 2008
Atlet tuan rumah, Mohd. Zabidi Ghazali dan Siti Fatima Mohamad dari Johor merampas gelaran raja dan ratu pecut 100 meter akhir Sukan Malaysia XII, semalam.
Mohd. Zabidi dan Siti Fatima yang merupakan atlet kebangsaan mencatat kepantasan 10.57s saat dan 11.82s.
Dalam pada itu, Terengganu mula menunjukkan taring apabila menduduki tempat teratas pungutan pingat emas dengan memintas Sarawak pada hari keenam temasya.
Majoriti emas Terengganu disumbangkan oleh pasukan kanu yang beraksi di Taman Rekreasi Tasik Putri, Bukit Besi, Dungun selepas menyapu bersih enam emas.
Malah, atlet lontar peluru tuan rumah, Adi Alifuddin Hussein juga berjaya memadamkan rekod lama kejohanan yang dilakukannya sendiri selepas berjaya melakukan lontaran sejauh 15.87 meter untuk menggondol emas.
Sementara itu, kepantasan larian 11.82s Siti Fatima, semalam memadam rekod kejohanan milik sendiri yang dicatatnya dalam saringan separuh akhir, kelmarin.
Pingat perak pula dimenangi pelari Pulau Pinang, Nor Jannah Jamaluddin manakala gangsa, Siti Nurhayati Zulkifli dari Wialayah Persekutuan.
Mohd. Zabidi pula mencatat masa terbaik peribadi untuk memenangi emas dengan menewaskan juara bertahan, Mohd. Latif Nyat (10.64s) dari Johor, manakala Daniel Azwan Amar dari Perlis ketiga (10.82s).
Sementara itu, atlet Selangor, Lee Hup Wei memadamkan rekod 14 tahun lompat tinggi kejohanan dengan melakukan lompatan 2.20m, mengatasi catatan yang di buat Loh Kum Zee 2.15m di Sukma 1994 Perak.
Acara renang sekali lagi menyaksikan Foo Jian Beng memecahkan rekod kebangsaan melalui kategori 50 meter renang gaya bebas dengan catatan 23.45 saat, memadam rekod lama kejohanan milik Allan Ong pada Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur.
Ini merupakan kali kedua Jian Beng memadamkan rekod kebangsaan milik Allan selepas berjaya kali pertama melalui 100m gaya bebas.
Secara keseluruhan, tuan rumah masih selesa di tangga teratas ekoran acara renang dan wushu yang didominasi peserta Sarawak sudah berakhir.
Apa pun, hari ini tumpuan pasti terarah ke acara olahraga di mana kategori 400m lari berpagar lelaki dan wanita, 1,500m lelaki dan wanita, 4X100m lelaki dan wanita akan diadakan dan kemungkinan lebih banyak rekod yang bakal dipecahkan.