Adab berpolitik mesti dipelihara
Dalam konteks masyarakat Melayu beragama Islam, misalnya ajaran al-Quran, sunah Rasulullah SAW mengajar penganutnya bahawa mengumpat, mencaci, mengata orang, memfitnah merupakan satu dosa besar malah dosa memfitnah sebagai misalannya lebih besar dari kesalahan membunuh.
Peristiwa Rasulullah SAW dimikrajkan sehingga ke Sidratul Muntaha, juga jelas diperlihatkan untuk tatapan baginda bagaimana sekumpulan manusia memotong lidah mereka sendiri gara-gara perbuatan menista dan mengumpat. Umum juga mengetahui di antara alatan modal bagi seseorang ahli berpolitik ialah ucapan, syarahan, mahupun pidato.
Bersyarah, berpidato untuk menjelaskan matlamat perjuangan, hala tuju perancangan dan dasar yang bakal untuk dilaksanakan bagi kebaikan rakyat tidaklah salah. Isunya apabila ucapan berapi-rapi disulami dengan kata nista, fitnah berterusan dan usaha menegakkan benang yang basah serta mengelirukan pemikiran rakyat.
Inilah yang seringkali terjadi dalam setiap kali kempen pilihan raya mahupun tatacara utama bagi setiap ahli politik seluruh dunia demi mendapatkan sokongan dan pengaruh. Seakan dalam dunia moden ini yang pegangan agama makin pudar, yang salah dianggap betul dan yang betul seringkali dikatakan salah.
Masyarakat pengundi juga seakan seronok dihidangkan dengan ucapan sensasi, kontroversi, berbaur fitnah dan mengata orang apatah lagi jika ucapan-ucapan kempen mampu meruntun emosi mereka meskipun pada hakikatnya golongan ini sedar bahawa ucapan sedemikian tidak lebih bersifat retorik dan janji politik.
Demikianlah adab kita berpolitik, sehingga tidak ada titik temu antara pegangan agama dan amalan dalam kehidupan siasah. Berpolitik seharusnya mensejahterakan umat manusia, memajukan pencapaian sosio-ekonomi rakyat dan mencipta keamanan berpanjangan.
Kempen berpolitik tidak wajar menjadi medan menanam rasa amarah, benci, dendam, mencipta permusuhan sesama umat. Kempen politik juga tidak seharusnya mewujudkan keadaan tegang, konfrantasi dan pergaduhan berpanjangan, hanya kerana mahukan kuasa.
Kempen politik, ucapan, sebarang propaganda sepatutnya memperihalkan agenda masa depan, kemampuan menangani isu dan masalah masa kini serta mampu menyediakan jaminan untuk kelangsungan hidup bagi kesejahteraan rakyat.
Insan dan ahli politik sebagai ikon yang berpengaruh mempunyai pilihan sebenarnya sama ada mahu merangsangkan terus api permusuhan di kalangan pengikut melalui kaedah ucapan, pidato atau kempen yang menjurus ke arah kemusnahan.
Ataupun mengajak manusia dan pengundi ke arah perdamaian. Amat benarlah kata bidalan 'kerana pulut santan, binasa kerana mulut badan binasa". Apa yang penting hakikatnya di dalam ajaran Islam kita ditekankan agar jangan bercakap bohong, berdosa mengata, mengumpat, menista dan memfitnah orang lain. Kebenaran kata-kata mendapat nilaian yang tinggi
Justeru itulah Rasulullah SAW digelar Al-Amin sebelum pun kerasulan baginda hanya kerana prinsip baginda yang sentiasa bercakap benar.
Hakikat ini jugalah yang menyebabkan sahabat setia baginda Abu Bakar Al-Sidiq mengiyakan apa jua kata-kata baginda termasuk penceritaan Israk Mikraj sungguhpun ada di kalangan sahabat meraguinya kerana tidak terdaya difikirkan secara akal lojik.
Namun hasil keimanan dan kebenaran kata-kata Rasulullah SAW yang telah menyebabkan Abu Bakar kukuh yakin pegangannya sehingga digelar Al-Sidiq.