UIAM perkenal jubah konvokesyen yang baru
Saban tahun para graduan UIAM daripada pelbagai bangsa, agama dan suku kaum bergaya segak di hari konvo dengan jubah dan songkok bagi lelaki, serta bertudung bagi wanita untuk tampil menerima skrol yang tersimpan segulung ijazah sebagai bukti kejayaan akademik.
UIAM satu-satunya institusi pengajian tinggi di negara ini yang memilih songkok sebagai ‘uniform’ bagi graduan di hari konvokesyen.
Namun selepas 25 tahun beroperasi dan ‘melahirkan’ lebih 10,000 graduan yang datang dari seluruh dunia, budaya bersongkok pada hari konvokesyen itu akan ditamatkan tahun ini.
Ini bermakna mulai Hari Konvokesyen pada 23 Ogos depan, para graduan UIAM tidak lagi bersongkok sebagaimana biasa tetapi akan memakai topi keras konvokesyen yang standard dengan jubah berwarna hijau muda bercorak baru.
Timbalan Rektor Bahagian Akademik dan Penyelidikan UIAM, Prof. Datuk Dr. Md Tahir Azhar ketika memperkenalkan seragam konvokesyen baru kepada media memberitahu, penukaran tersebut tidak mempunyai apa-apa agenda.
“Ia lebih untuk meningkatkan imej UIAM serta menyelaraskan bentuk seragam hari konvokesyen secara yang lebih standard sebagaimana universiti-universiti yang ada sekarang.
“Jika graduan UIAM terus bersongkok sedangkan lain-lain universiti semua bertopi khas yang selaras tidak nampaklah keseragaman dan standard hari konvokesyen,” jelasnya.
Selain bertukar kepada imej topi keras bertali yang standard, jubah para graduan juga turut berimej baru dengan menampilkan warna dan corak baru yang lebih eksklusif.
Malah pemakaian jubah konvokesyen konsep baru dengan warna yang serupa (hijau muda), kecuali jubah Ketua Perlembagaan, itu meliputi seluruh ahli warga UIAM bermula dari Presiden, rektor, ahli majlis, ahli senat dan ahli akademik mengikut kedudukan masing-masing.
Untuk para graduan, bilangan lilitan bercorak pada lengah jubah akan membezakan tahap lulusan di mana graduan diploma tanpa lilitan corak di lengan manakala ijazah pertama dengan satu lilitan dan lulusan sarjana dua tanda lilitan bercorak di lengan jubah masing-masing.
Lulusan doktor falsafah (Ph.D) pula mempunyai seragam dengan tiga tanda lilitan bercorak di lengan diikuti corak bunga bersulam yang menyeluruh pada kedua tepi jubah serta bertopi hitam lembut.
Menurut Dr. Md Tahir, cadangan menukar corak seragam konvokesyen itu dibuat lebih setahun lalu.
“Kajian perlaksaannya mengambil masa setahun manakala kos yang diperuntukan bagi menyediakan seragam baru untuk seluruh warga konvokesyen UIAM ini menelan belanja tidak kurang RM2.1 juta,” jelasnya.
Malah kata beliau, seragam baru yang akan mulai dipakai pada hari konvokesyen ke-25 tahun UIAM Ogos ini turut melambangkan kematangan serta keterampilan sebenar tahap profesionalisme warga universiti berkenaan.
Pada hari konvokesyen UIAM yang ke-25 mulai 23 hingga 25 Ogos ini, seramai 4,112 graduan akan menerima penganugerahan masing-masing di mana 42 daripadanya adalah penerima Ph.D, 425 (sarjana), 3,416 (ijazah pertama) dan selebihnya adalah diploma.