Graduan jangan abai tanggungjawab

kemeriahan konvokesyen masih terasa. Silih berganti universiti tempatan mengadakan majlis bagi meraikan putera puteri akademik mereka yang telah berjaya.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada para graduan universiti tempatan yang telah menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing pada tahun ini.

Sewajarnya mereka diraikan dalam istiadat konvokesyen yang gilang-gemilang setelah penat lelah mentelaah dan bertungkus lumus mengerah keringat dan yang lebih memeritkan memerah minda agar tercapainya cita-cita yang diidam-idamkan.

Pastinya tiada yang lebih menggembirakan apabila ibu bapa melihat anaknya menaiki pentas yang dibarisi oleh tetamu kehormat universiti, menerima segulung ijazah tanda tamatnya era pengajian anaknya selama ini.

Turunnya pentas konvokesyen bermakna bermulalah zaman baru bagi para graduan, iaitu era pasca konvokesyen atau zaman pekerjaan.

Di sinilah bermulanya alam yang baru. Dari satu perspektif, ada yang menganggap ia sebagai satu dimensi yang menggembirakan kerana istilah emolumen dan elaun akan mula diperkenalkan dalam kamus diri mereka buat pertama kalinya.

Namun ada juga yang gusar dan takut untuk berhadapan dengan situasi hidup baru yang bakal menyajikan segala bentuk cabaran dan ujian.

Sesungguhnya alam pekerjaan adalah alam untuk anda menterjemahkan apa yang telah dibaca, dihafal, dipraktik, disimulasi dan akhirnya diijazahkan sepanjang pengajian di universiti.

Teorinya telah ada, segala manual dan kaedahnya telah tersemat di dada.

Apabila berdepan dengan tugas dan kerja yang baru, tepuklah dada maka akan keluarlah segala teorinya.

Nah, kini hanya anda yang akan menentukan tanda aras yang bakal diletakkan pada diri anda.

Bukan itu sahaja, setiap tutur kata, pergerakan, tulisan serta amalan merupakan simbol kepada apa yang telah anda pelajari di bangku universiti dahulu. Di dahi kita tercop mohor nama universiti tempat kita dididik.

Pangkulah dan junjunglah nama universiti anda agar ia menjadi sebutan sebagai suatu institusi yang telah melahirkan manusia yang berjaya dan berpotensi emas seperti anda.

Jika tersesat jalan, guru telah mengajar agar kembalilah ke pangkalnya. Tiada rugi pada bertanya dan tiada mudarat pada mengikut contoh mereka yang telah berjaya.

Walau ada kalanya kita perlu menuntut ilmu daripada pengalaman mereka yang dari segi jawatannya lebih rendah daripada kita, merekalah guru kita pada waktu tersebut.

Pangkat dan jawatan hanya gelaran dalam sistem manusia berorganisasi, mereka yang berilmu dan berpengalamanlah yang lebih arif terutama dari aspek teknikal dan praktikal dalam keadaan-keadaan tertentu.

Tidak hilang bisa pada ular yang menyusur akar, bahkan ialah yang lebih licik daripada segi taktikalnya.

Ingatan juga harus diberikan kepada mereka yang telah banyak berjasa kepada kita.

Ibu bapa, guru dan pensyarah serta masyarakat secara amnya telah menyumbang walau banyak atau tidak kepada kejayaan kita.

Ijazah bukannya tiket kebongkakan dan kesombongan.

Pulangkanlah sebanyak mungkin sumbangan yang telah mereka berikan baik dari segi material, ilmu pengetahuan, doa amal bakti, khidmat masyarakat dan sebagainya agar kita tidak menjadi sebutir kacang yang terlupa kepada kulit kita sendiri, walaupun kulit itulah yang telah melindungi kita sepanjang hayat kita sebelum ini.

Mengumpul gaji dan elaun yang saban bulan kian berkepuk telah tersirat disertai dengan amanah dan tanggungjawab.

Jangan lupa untuk mengeluarkan cukai pendapatan, membayar wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara, melunaskan perjanjian dengan Jabatan Perkhidmatan Awam, mengeluarkan zakat harta dan pendapatan serta memberi sedikit sedekah kepada mereka yang perlu kerana pada harta yang dikumpul ada hak-hak orang lain yang telah ditentukan.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url