Padah di sebalik 'kenikmatan sementara' merokok


Seorang kawan pergi membuat pemeriksaan biasa di sebuah klinik di ibu negara minggu lalu dan diberitahu oleh doktor: "Jika anda terus merokok, anda mempunyai 10 peratus peluang menghidap serangan jantung dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Tetapi jika anda berhenti merokok, anda boleh mengurangkan risiko serangan jantung itu kepada tujuh peratus," kata doktor itu.

Sebenarnya, ramai daripada kita kelihatan sihat tetapi tidak tahu bahawa kita sudah meracuni sistem dalam badan kita sejak bertahun-tahun, kerana merokok. Kita hanya mengetahui sesuatu yang tidak betul berlaku, apabila kita jatuh sakit dengan teruk.

Sebab itu, pemeriksaan perubatan dari masa ke masa boleh membantu. Tetapi berapa ramai daripada kita semua berbuat demikian?

Bajet 2009 yang dibentangkan Jumaat lalu, antara lain menyaksikan cukai sekotak rokok 20 batang meningkat 60 sen. Apakah ia mampu mengurangkan tabiat merokok?

"Saya sudah mula menghisap rokok, ketika sekotak 20 batang cuma berharga RM1.20. Itu 20 tahun lalu, sekarang harganya dah RM8.80," kata seorang lagi rakan yang mengakui sukar berhenti merokok walau berapa banyak kenaikan cukai dikenakan.

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa 99 peratus perokok tahu merokok berbahaya kepada kesihatan dan membuang duit. Tetapi kenapa mereka terus merokok? Ini mungkin ada kaitan dengan tahap nikotin dalam rokok sehingga menyebabkan seseorang ketagih dan sukar berhenti jika keinginan tidak kuat untuk berbuat demikian.

Itulah sebabnya, jika ada yang kata bulan puasa adalah masa terbaik untuk berhenti merokok, sukar diterima perokok tegar. Bagi golongan ini, selepas saja berbuka, sambung menyambung rokoknya seolah-olah sebagai gantian kerana tidak merokok pada siang hari.

Tokoh kewartawanan negara, Tan Sri Abdul Samad Ismail yang kini dirawat di Pusat Perubatan Pantai di ibu negara, memang dikenali kuat merokok.

Tetapi menurut anaknya, Nuraina, Pak Samad, 84, masih lagi merokok sehingga kira-kira sebulan lalu. Apabila Datuk Seri Najib Razak melawat Pak Samad kelmarin, kata Nuraina, Timbalan Perdana Menteri itu antara lain berkata: "Beliau masih merokok?" sambil menggelengkan kepala.

"Saya percaya jika bapak mendengar perbualan itu, dia mungkin..... ya, dia orang tua yang degil," kata Nuraina dalam blognya.

Malah, ada yang kata isu rokok ini agak sensitif dan sebarang langkah secara agresif untuk membendungnya, boleh menyebabkan perokok marah.

Bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor pernah menegur Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali, kini Ahli Parlimen Titiwangsa, kerana menghentam ahli Pas yang menghisap rokok dalam ceramahnya. Ini menyebabkan ada orang Pas meninggalkan majlis kerana tidak bersetuju dengan Dr Lo' Lo'.

"Dalam muktamar sebelum ini pun memang saya bangkitkan hal merokok di kalangan orang Pas. Bagi saya, orang Pas tidak sepatutnya merokok, malah kalau seseorang itu memakai kopiah putih dan menghisap rokok, ia tidak selari dengan apa yang diperjuangkan parti.

"Ustaz Fadzil bisik pada saya, 'jangan keras sangat mengenai hisap rokok'. Saya ingat lagi beliau berkata, orang Pas ini sanggup tinggal Pas daripada tinggal rokok," kata Dr Lo' Lo' dalam keluaran terbaru Harakah.

Menurut Nuraina pula, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut melawat Pak Samad, juga menekankan soal rokok, kerana bekas Perdana Menteri itu tidak pernah menghisap rokok.

Dr Mahathir ketika masih lagi menyandang jawatan Perdana Menteri pernah menegur seorang juru kamera sebuah stesen televisyen tempatan yang sedang memasang mikrofon pada bajunya sebelum sidang akhbar dimulakan.

Apabila terhidu bau rokok, Dr Mahathir terus bertanya: 'awak hisap rokok ye?', menyebabkan krew itu tersipu-sipu.

Dr Mahathir memang tidak menghisap rokok dan beliau pernah memberitahu satu majlis dialog dengan pelajar Malaysia ketika lawatan ke Seoul, Korea Selatan beberapa tahun lalu bahawa beliau cuma pernah sekali cuba hisap rokok 'dan tak sedap pun'.

Jawapan itu adalah sebagai menjawab pertanyaan seorang pelajar mengenai rahsia beliau kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenar.

"Saya tahu ramai orang ingin tahu pil apa yang saya makan. Saya makan pil vitamin jika itulah orang nak tahu. Tetapi lebih daripada itu ialah cara hidup yang sihat. Saya tak hisap rokok.

"Saya tidak pernah suka rokok walaupun pada zaman muda saya dulu orang asyik hisap (jenama) 'Craven A' dan 'Rough Rider'. Merokok bukan saja tidak sihat malah boleh menyebabkan paru-paru rosak, tetapi ramai juga hisap rokok tanpa menghiraukan kesannya.

"Dalam Kabinet saya, ada yang suka hisap rokok. Mereka ini mengambil masa lama dalam tandas ketika pertengahan mesyuarat Kabinet kerana menghisap rokok dan mereka fikir saya tidak tahu," katanya menyebabkan hadirin tak kering gusi.

Perunding Psikiatrik Ketagihan, Universiti Malaya, Prof Hussain Habil pernah dipetik sebagai berkata bahawa beliau tidak terkejut sekiranya perokok menyatakan gagal atau sukar menghentikan tabiat berkenaan kerana itulah tujuan rokok dihasilkan. Kononnya bermula sebagai `pleasure' akhirnya perokok mendapati mereka perlu berterusan bergantung kepada rokok.

Katanya, cukup menyedihkan sepanjang pengalamannya sebagai perunding, bukan saja ada pesakit yang pernah melalui serangan strok tetapi masih meneruskan tabiat merokok sebaliknya ada pesakit yang gagal, mengambil keputusan membunuh diri, hasil kesan sampingan berhenti merokok yang menyebabkan pesakit berasakan dirinya 'sakit'.

"Individu yang ingin berhenti merokok, bukan tidak mahu bertindak sedemikian, tetapi kerap kali mereka tidak mampu berdepan kesan sampingan berhenti merokok. Mereka dapati apabila berhenti, kehidupan menjadi teruk, motivasi mereka hancur dan rasa sakit seluruh tubuh," katanya mengulas mengenai aspek psikologi perokok yang gagal berhenti.

Maklumat terkini menunjukkan negara mempunyai kira-kira 2.73 juta perokok dengan bilangan perokok Melayu paling tinggi iaitu 1.66 juta atau 60.9 peratus berbanding paling sedikit di kalangan masyarakat India dengan jumlah 150,000 perokok atau 13.7 peratus saja.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan penggunaan tembakau mungkin menyebabkan lebih satu bilion kematian sepanjang abad ini, dengan China dan India masing-masing menganggarkan hampir satu juta rakyat mereka maut akibat tembakau setiap tahun. Abad ke-20 mencatatkan 100 juta kematian akibat tembakau dan dijangka meningkat 10 kali ganda abad jika tindakan berkesan tidak diambil dengan segera.


Kadir Dikoh
Pengarang Rencana & Laporan Khas, Berita Harian
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url