Pelayar web Google saingi IE Microsoft

GOOGLE Inc melancarkan pelayar webnya sendiri, langkah yang disasarkan untuk memecah penguasaan Internet Explorer yang dibangunkan Microsoft Corp serta memastikan akses lebih mudah kepada enjin cariannya.

Syarikat berpangkalan di California itu mengambil langkah luar biasa dengan mengumumkan produk barunya itu pada cuti Hari Buruh selepas ia melancarkan buku komik bagi menandakan kedatangan pelayar baru itu.

Pelayar percuma itu, yang dipanggil ‘Chrome’ sepatutnya boleh dimuat turun semalam di kira-kira 100 negara untuk komputer yang menggunakan sistem operasi Microsoft Windows.

Google berkata, ia masih mengusahakan versi yang sesuai dengan komputer Mac keluaran Apple Inc dan sistem operasi Linux.

Pelayar Google itu dijangka menjengah pasaran seminggu selepas Microsoft memperkenalkan versi ujian kemas kini pelayar terkininya, Internet Explorer 8.

Walaupun Google menggunakan pendekatan karikatur untuk mempromosikan Chrome, pelayar baru itu menunjukkan persaingan Google dengan Microsoft dengan Internet Explorer digunakan kira-kira 75 peratus pelayar Web.

Google menerajui pasaran carian internet dengan enjin cariannya memproses hampir dua pertiga daripada permintaan dalam Web.

Sejak beberapa tahun lalu, Google mencuba mengambil kesempatan daripada populariti enjin cariannya untuk melonggarkan kekuatan Microsoft dalam cara pengguna berinteraksi dengan komputer peribadi mereka.

Google sudah mencuba menjadikan alternatifnya lebih menarik dan diterima dengan menjadikannya percuma berbanding cara Microsoft yang memerlukan penggunanya membayar yuran pelesenan untuk memasang perisian itu ke dalam komputer mereka.

Bagaimanapun, Microsoft cuba menghalang Google dengan melabur berbilion dolar untuk membangunkan enjin cariannya sendiri dan membuat cubaan yang tidak berjaya untuk membeli Yahoo Inc bernilai AS$47.5 bilion.

Ketegangan antara Microsoft dan Google kelihatan berpanjangan dengan kemasukan Google ke dalam perniagaan pelayaran Web.

Buat masa ini, ia sedang cuba untuk menjejaskan Internet Explorer dengan menyokong Firefox, pelayar Web yang dibangunkan oleh Mozilla Foundation.

Disokong kerjasama pengiklanan dengan enjin carian Google, Firefox kini menjadi pelayar web kedua paling popular dengan penguasaan pasaran kira-kira 10 peratus.

Baru-baru ini, Google melanjutkan pakatan pengiklanannya dengan Firefox sehingga 2011.

- AP
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url