Persepsi politik orang muda
Namun dalam konteks politik di negara kita hari ini, politik dilihat menjadi terlalu peribadi sehingga sanggup menggunakan apa sahaja pendekatan untuk merapatkan diri dengan kuasa, atau cuba untuk menjadi jaguh dengan membela sesetengah komuniti dan bukan keseluruhan masyarakatnya.
Kekeruhan yang berlaku dalam politik negara ketika ini jika boleh dinilai banyak didorong oleh semangat segelintir ahli politik yang begitu teruja dalam perjuangan mereka. Sama ada untuk mempertahankan komuniti yang diwakili, atau dengan cita-cita yang lebih besar lagi iaitu untuk memerintah negara.
Semangat berpolitik yang berkobar-kobar itu tanpa disedari turut membara dan membakar sempadan-sempadan lain yang tidak sepatutnya disentuh apatah lagi dipersoalkan. Apa yang dibimbangi, hala tuju perjuangan yang tidak berlandaskan semangat perpaduan dan negara berdemokrasi segelintir ahli politik itu meresap ke dalam jiwa seluruh rakyat dan diangkat menjadi ideologi, prinsip, pegangan dan amalan berpolitik yang hakiki.
Sekiranya keadaan ini berlanjutan, maka nilai-nilai hormat menghormati dan toleransi di kalangan pelbagai kaum hanya ditimbulkan pada permukaan semata-mata, atau dibuat-buat untuk kepentingan tertentu dan bukannya lahir daripada jiwa setiap rakyat Malaysia. Lalu janganlah terkejut jika suatu hari nanti, perpaduan yang hanya ditunjuk-tunjukkan itu tidak lagi mampu diwajahkan dan akhirnya meledak dan menjadi mimpi ngeri dalam sejarah negara.
Seperti yang dijelaskan oleh Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian, perpaduan yang dinikmati negara selama 51 tahun hasil peninggalan pemimpin dan negarawan tanah air sewaktu berjuang mendapatkan kemerdekaan mempunyai nilai pengorbanan yang cukup tinggi.
Masing-masing walaupun memimpin parti politik berdasarkan etnik, namun pada waktu yang sama akan mempertahankan semangat satu keluarga besar selaku pemimpin nasional dengan mengetepikan unsur etnik, keturunan, agama mahupun gender.
Dalam erti kata yang lain, apabila pemimpin itu membuat sesuatu keputusan, ia bertujuan untuk memberi manfaat kepada majoriti ahli masyarakat.
Malangnya, apa yang berlaku hari ini adalah sebaliknya apabila terdapat segelintir pemimpin yang seolah-olah tidak peduli tentang batas-batas tertentu yang boleh diperjuangkan.
Menurut Sivamurugan, dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini, rakyat perlu sedar yang boleh diamalkan adalah demokrasi terpimpin dan bukan demokrasi mutlak melainkan yang diutamakan adalah untuk memenuhi agenda pihak tertentu dan membelakangkan gaya kehidupan berkualiti.
Pemimpin perlu menjadi contoh yang baik dan memahami konsep 'kepimpinan melalui teladan' dalam memastikan ahli masyarakat menghargai ideologi, nilai perjuangan dan hala tuju demi kesejahteraan dan kemakmuran negara.
Mereka juga perlu akur bahawa dalam konteks kepelbagaian etnik, ada kekangan dan batasan yang perlu dihormati.
"Mana hilangnya nilai kompromi, toleransi, menerima seadanya, sifat hormat dan saling memahami apabila menggunakan fleksibiliti keterbukaan pentadbiran untuk memenuhi agenda masing-masing.
"Jika pemimpin atasan mana-mana parti sudah hilang arah dan amalan nilai kepolitikan berhemah dan tidak bermaruah, mereka perlu sedar bahawa penyokong yang menyokong membuta tuli tanpa melihat rasional di sebalik sesuatu tindakan akan turut sama memiliki nilai moral yang rendah," katanya.
Sivamurugan menambah, arena politik wajar digunakan untuk merapatkan ahli masyarakat yang walaupun mempunyai perbezaan dari segi pegangan dan ideologi politik tetapi perlu bersatu dalam isu-isu tertentu supaya ia tidak merencat proses pembangunan dan modenisasi yang dikecapi selama ini.
Mana-mana ahli politik katanya, harus memperlihatkan kematangan berpolitik serta menghormati batasan tertentu agar penyokong akan turut bersama mereka dalam landasan yang sama.
Kematangan''Kebijaksanaan beberapa pemimpin lama perlu dinilai, disemat dan dikongsi dengan pemimpin hari ini agar dalam keseronokan berpolitik, tidak menggadai masa depan negara dan generasi akan datang kerana masyarakat negara ini masih berada di tahap kematangan politik yang rendah walaupun diakui penyertaan politik sudah meningkat," katanya.
Ketika ditanya bagaimana landskap politik hari ini mampu mempengaruhi persepsi di kalangan generasi muda, Sivamurugan menjelaskan, hari ini merupakan generasi yang mempunyai pelbagai latar belakang dan pernah melihat kedudukan negara yang stabil di bawah kepimpinan lepas.
Dalam waktu yang sama, generasi hari ini juga merupakan mereka yang pernah melihat kesan reformasi pada 1998-1999.
Dalam persekitaran politik hari ini katanya, mereka seolah-olah ketandusan pemimpin contoh, apatah lagi media alternatif memberi pelbagai informasi yang boleh melahirkan suasana kurang mesra dalam kalangan mereka yang berbeza amalan politiknya.
Generasi muda jelas beliau, kaya dengan sifat emosional dan sering bertindak segera. Justeru mereka memerlukan petunjuk terutamanya daripada ibu bapa mengenai amalan politik yang sewajarnya dalam negara yang berbilang bangsa dan berdemokrasi seperti di negara ini.
Tetapi dalam konteks hari ini, kebanyakan pembawaan politik ibu bapa adalah dengan cuba membunuh karakter pemimpin tertentu sehingga memberi gambaran kepada generasi muda seolah-olah ia merupakan nilai budaya politik baru pasca pilihan raya pada 8 Mac lalu.
''Ini berlaku kerana ada pemimpin tidak menunjukkan kewibawaan dan karisma untuk mengemudi generasi baru ini. Jika keadaan ini berterusan, ia akan menganggu gugat proses memurnikan nilai demokrasi sebenar dan budaya politik Malaysia.
Hanya pemimpin yang berintegriti mampu meredakan keadaan dan membolehkan negara terus mengecapi pembangunan dan sekali gus memulihkan keadaan sebagaimana yang pernah dikecapi oleh negara sebelum ini," katanya.
Sementara itu, pensyarah Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Mohd. Noor Yazid berkata, politik seharusnya menjadi wadah atau penggerak utama dalam menyebarluaskan semangat perpaduan di kalangan rakyat dan dalam konteks negara berbilang kaum di Malaysia, ia perlu berlandaskan kepada Perlembagaan negara.
Setiap parti politik katanya, mempunyai falsafah dan asas perjuangan parti tersendiri sebagai hala tuju yang akan menentukan positif dan negatif sesuatu perkara termasuk semangat perpaduan.
Justeru katanya, adalah penting untuk setiap parti politik berpegang kepada sejarah dan mengambil semangat perjuangan serta persetujuan negarawan silam berkenaan pembentukan Malaysia sebagai falsafah politik masing-masing.
Dalam konteks pembentukan negara ujarnya, setiap parti politik perlu menerima hakikat bahawa kaum Melayu merupakan kaum dominan manakala kaum lain diterima sebagai rakyat Malaysia berasaskan keistimewaan-keistimewaan sosial lain.
''Pembentukan sesebuah negara berlandaskan satu kumpulan dominan adalah satu asas yang penting kerana tanpa adanya sesuatu etnik yang menjadi tunggak, adalah sukar untuk mencapai kestabilan dalam negara. Di Malaysia, sudah ada garis jelas yang dipersetujui oleh pejuang kemerdekaan terdahulu bahawa kumpulan dominan merupakan kaum Melayu," katanya.
Bagaimanapun menurut Mohd. Noor, dalam menerima kaum Melayu sebagai tunggak utama etnik di Malaysia, perbincangan yang menyentuh mengenai kepentingan pelbagai kaum di negara ini tidak boleh dilakukan secara terbuka bagi mengelakkan timbulnya rasa tidak puas hati di kalangan pihak tertentu.
Apatah lagi dalam konteks generasi hari ini yang semakin menjauh daripada semangat perjuangan kemerdekaan terdahulu dan tidak memahami kandungan Perlembagaan, perbincangan mengenai kaum boleh disalah tafsir seterusnya mencetuskan kekeruhan dalam perpaduan negara.
''Sebab itu adalah sangat penting untuk setiap parti politik kembali kepada Perlembagaan Negara dalam falsafah perjuangan mereka dan tidak cuba untuk menyelitkan motif-motif tertentu semata-mata untuk menarik sokongan.
Persepsi politik di kalangan generasi muda hari ini perlu diasuh untuk memahami di manakah seharusnya sesuatu bangsa itu diletakkan dalam pembentukan Malaysia dan tidak melihat apa yang berlaku hari ini adalah satu prinsip mudah bahawa semua bangsa adalah sama semua aspek," katanya.