3 abad Kesultanan Terengganu

Terengganu terkenal dengan Batu Bersurat yang menandakan kehadiran agama dan masyarakat Islam di negeri itu seawal kurun ke-14. Pada Batu Bersurat itu terpahat tarikh Hijrah 702. Tarikh itu bersamaan 1303M berdasarkan perkiraan Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Daripada segi bukti sejarah, ini menandakan Terengganu mempunyai masyarakat Islam lebih awal daripada tempat lain di Semenanjung Tanah Melayu, bahkan lebih awal daripada Kerajaan Melayu Melaka, yang bermula pada awal abad ke-15!

Belum pun lipatan sejarah Batu Bersurat Terengganu itu dapat dihuraikan sepenuhnya, sejarah negeri ini ditandai oleh satu lagi mercu tanda pada awal abad ke-18. Kali ini ditemui pula kupang emas yang terpahat tarikh Hijrah 1120H. Tarikh itu diperkirakan bersamaan 1708M.

Pada kupang emas itu ditulis dalam huruf Jawi beberapa kalimah lain selain tarikh tersebut. Pada muka depan duit itu dicatatkan nama 'Sultan Zainal Abidin Shah'. Di bahagian belakang duit itu ditulis perkataan Khalifatul'l-Mu'minin 1120, dalam tulisan Jawi juga. Kupang emas itu dikeluarkan sempena pertabalan Sultan Zainal Abidin Shah sebagai Sultan Terengganu yang pertama.

Tulisan itu dengan jelas menunjukkan kehadiran Sultan Zainal Abidin Shah sebagai sultan yang membuka negeri di Tanjung Baru, di Kuala Berang, Hulu Terengganu. Maka itu pengkaji menetapkan bahawa Kesultanan Terengganu adalah bermula dengan Sultan Zainal Abidin Shah selewat-lewatnya pada 1708 Masehi dan memerintah Negeri Terengganu dari 1708 hingga 1733.

Susur galur dan perkembangan Kesultanan Terengganu ini didokumentasikan dalam sebuah buku besar berjudul Dirgahayu Tuanku - Sejarah Kesultanan Terengganu 1708-2008, terbitan sulung Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) bersempena 300 tahun Kesultanan Terengganu.

Buku ini ditulis oleh dua orang sarjana Universiti Kebangsaan Malaysia - Prof. Dr. Nik Anuar Nik Mahmud dari Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi dan Dr. Mohamed Anwar Omar Din dari Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, sebagai satu projek penting YDSM.

Buku ini diserikan dengan Perutusan Tuanku Mizan Zainal Abidin selaku Pengerusi YDSM. Baginda menitahkan buku ini diterbitkan supaya ia dapat mengilhamkan penyelidik lain untuk menggali lebih banyak sejarah dan warisan Terengganu khususnya dan Malaysia umumnya sebagai sumbangan kepada khazanah ilmu pengetahuan untuk tatapan masyarakat, lebih-lebih lagi generasi baru.

Selain itu, buku ini diberi Kata Pengantar oleh ahli sejarah terkenal antarabangsa, Profesor Sejarah Asia Tenggara dari Universiti Hawaii, Honolulu, Amerika Syarikat, Prof. Leonard Andaya yang mengalu- alukan penerbitan buku ini sebagai usaha memberikan keterangan terperinci mengenai negeri-negeri Melayu lain seperti Terengganu yang sering terlepas pandang dalam pensejarahan umum yang didominasikan oleh satu atau dua buah kerajaan utama sahaja.

Penyelidikan oleh kedua-dua sarjana dari UKM merumuskan bahawa Kesultanan Terengganu yang pada masa ini diterajui oleh Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al- Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah ditubuhkan oleh Sultan Zainal Abidin Shah I. Setelah membuka negeri di Tanjung Baru, Kuala Berang, baginda kemudiannya berpindah ke Langgar, seterusnya menghilir lagi ke Pulau Manis, berpindah pula ke Balik Bukit dan akhirnya mendirikan pusat pemerintahan di Kota Lama, di kaki Bukit Keledang, dalam Bandaraya Kuala Terengganu sekarang ini.

Tuanku Sultan Mizan adalah sultan keenam belas dalam jurai Kesultanan Terengganu yang diasaskan oleh Sultan Zainal Abidin Shah I.

Oleh itu tahun 2008 adalah satu tahun yang bersejarah lagi signifikan bagi Terengganu. Pada tahun ini genaplah tiga abad Kesultanan Terengganu. Sambutan ini menjadi lebih bererti kerana pada masa ini juga Sultan Mizan adalah Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang XIII.

Bagi menandakan kegemilangan tiga abad Kesultanan Terengganu ini akan dilangsungkan sambutan yang gilang gemilang dan acara keilmuan. Acara ini akan bermula pada 13 Oktober 2008 (hari ini) apabila Majlis Pelancaran Sambutan Tiga Abad Kesultanan Terengganu berserta Majlis Santapan Diraja akan berlangsung di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

Dalam majlis sambutan ini, tiga acara akan dilancarkan. Pertama, pelancaran buku Dirgahayu Tuanku - Sejarah Kesultanan Terengganu 1708-2008.

Selain itu akan dirasmikan pelancaran Pameran Tiga Abad Kesultanan Terengganu. Pameran yang diselenggarakan oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu akan berlangsung sehingga 31 Disember 2008.

Acara ketiga yang turut dilancarkan ialah Persidangan Antarabangsa Tiga Abad Kesultanan Terengganu yang dianjurkan secara bersama oleh Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) dan YDSM. Persidangan ini akan dilangsungkan pada 17-19 Oktober di Kampus KUSZA, UDM.

Persidangan itu akan membentangkan antara lain susur galur Kesultanan Terengganu, perkembangan sosio-ekonomi negeri Terengganu, sastera dan persuratan serta lain-lain. Persidangan ini akan membariskan 17 sarjana dalam dan luar negeri, khasnya sarjana anak negeri Terengganu.

Ketiga-tiga Majlis Sambutan Tiga Abad Kesultanan Terengganu merupakan program besar penyelidikan, penerbitan dan khidmat masyarakat Yayasan DiRaja Sultan Mizan. Semuanya akan menyumbang kepada kedaulatan dan kebesaran institusi Kesultanan Terengganu untuk menghadapi cabaran abad baru.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url