Tips Sebelum Membeli Insurans Hayat

Membeli insurans hayat merupakan satu perkara yang penting sebagai jaminan kewangan untuk keluarga anda pada masa hadapan. Oleh itu, anda perlu memastikan bahawa insurans hayat yang ingin dibeli itu ditawarkan oleh syarikat insurans berlesen yang tertakluk di bawah Akta Insurans 1996. Anda boleh menyemak senarai nama syarikat insurans berlesen di laman web Bank Negara Malaysia atau menghubungi Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM). Pastikan juga bahawa ejen insurans anda ialah ejen yang berdaftar dengan LIAM.

Buat perbandingan kadar premium

Anda juga perlu meneliti dan membuat perbandingan dari segi kadar premium dan manfaat insurans yang ditawarkan oleh lebih daripada satu syarikat insurans. Tetapi pastikan juga bahawa perbandingan yang anda buat itu setara kerana tidak semua polisi insurans mempunyai manfaat yang sama.

Fahami skop perlindungan yang ditawarkan, terma dan syarat polisi berkenaan

Perlu diingatkan bahawa polisi insurans merupakan kontrak perundangan antara anda dengan syarikat insurans. Sebagaimana kontrak-kontrak yang lain, anda perlu memahami semua peruntukan yang terkandung dalam polisi itu. Dapatkan penjelasan daripada syarikat insurans jika perlu.

Beberapa peruntukan yang terdapat dalam sesuatu polisi adalah seperti yang berikut:




Terma dan syarat akan menjelaskan secara terperinci hak dan tanggungjawab anda, begitu juga syarikat insurans.


Pengecualian ialah risiko-risiko yang tidak dilindungi oleh polisi.



Bagi polisi hayat sertaan, pastikan anda memahami peruntukan mengenai bonus atau dividen yang dijelaskan dalam ilustrasi jualan. Skala bonus atau dividen ialah manfaat yang tidak dijamin dan ia bergantung pada prestasi kumpulan wang insurans yang premium anda telah dilaburkan. Anda harus berhati-hati jika dimaklumkan bahawa bonus dijamin.


Elakkan sebarang perlindungan yang tidak diperlukan

Beli apa yang anda perlukan sahaja. Jangan mudah rasa tertekan untuk membeli produk secara pakej yang mungkin mengandungi perlindungan tetap yang anda tidak perlukan. Anda boleh membuat pilihan bagi mendapatkan perlindungan tambahan atau rider dengan premium tambahan yang memberi nilai pulangan yang lebih baik. Perlindungan tambahan yang biasanya boleh diperoleh ialah perlindungan kematian akibat kemalangan dan tambahan insurans bertempoh.

Pastikan insurans hayat yang dicadangkan itu sesuai untuk anda.

Semak polisi yang dicadangkan itu dengan teliti bagi memastikan ia menepati keperluan peribadi anda. Pada kebiasaannya, ejen insurans akan menunjukkan ilustrasi polisi yang ditawarkan yang menjelaskan bagaimana polisi tersebut menyediakan perlindungan. Pastikan klasifikasi yang ditunjukkan itu betul, sebagai contoh: perokok atau bukan perokok, lelaki atau wanita dan umur.

Kaji dengan teliti cadangan-cadangan yang diberikan oleh ejen insurans anda dan dapatkan penjelasan secara satu persatu.


Pastikan anda memeriksa tarikh polisi itu berkuat kuasa
Tarikh perlindungan insurans yang berkuat kuasa mungkin berbeza daripada tarikh syarikat insurans berkenaan mengeluarkan polisi. Sekiranya anda memutuskan untuk membeli polisi insurans tersebut, sentiasa pastikan dengan tepat bila perlindungan insurans itu berkuat kuasa.


Isi borang permohonan anda dengan cermat
Jangan menandatangani borang cadangan atau borang permohonan yang kosong (atau borang yang tidak diisi). Pastikan semua maklumat dalam borang cadangan tersebut lengkap dan betul. Ini kerana sebarang maklumat yang salah, tidak lengkap atau palsu akan menyebabkan kelewatan atau penolakan tuntutan anda. Menjadi satu kesalahan sekiranya anda memberi maklumat palsu dalam borang permohonan insurans atau ketika membuat tuntutan insurans.

·Pastikan anda membayar premium kepada syarikat insurans

Apabila anda membeli polisi, pastikan anda membuat pembayaran dalam bentuk cek atau kiriman wang kepada syarikat insurans berkenaan, dan bukannya kepada ejen insurans. Pastikan anda mendapat resit dengan segera sebagai bukti bahawa pembayaran telah dibuat.


Baca polisi anda sebaik menerimanya

Bagi polisi hayat, anda diberi masa selama 15 hari untuk meneliti kandungan polisi dan dalam tempoh tersebut, anda boleh membuat pembatalan dan mendapatkan semula keseluruhan premium yang telah dibayar. Oleh itu, gunakan peluang ini untuk memastikan polisi yang anda terima bertepatan dengan kehendak anda.

Penukaran polisi berlaku apabila pemegang polisi yang memiliki polisi yang mempunyai nilai tunai, dipujuk untuk menukar perlindungan yang sedia ada kepada polisi lain melalui cara-cara yang berikut:


Menghentikan polisi asal dengan tujuan untuk membeli polisi lain.

Meluputkan polisi sedia ada dan menggunakan premium yang sepatutnya dibayar kepada polisi tersebut dengan membeli polisi baru.


Menukar polisi asal kepada polisi insurans berbayar yang mempunyai jumlah diinsuranskan yang lebih rendah dan anda tidak perlu lagi membayar premium pada masa akan datang kerana pembayaran dibuat melalui nilai tunai yang didapati daripada polisi asal. Apabila anda tidak perlu lagi membayar premium, anda kemudiannya akan dipujuk untuk membeli polisi baru dengan wang tunai yang ada pada anda.

Menukar polisi asal kepada insurans bertempoh yang dipanjangkan tempohnya. Tempoh tambahan akan mengurangkan bayaran premium bagi polisi asal anda. Oleh itu anda mungkin mempunyai sedikit wang tunai untuk membeli polisi lain.

Berikut adalah beberapa kerugian yang akan anda alami dengan menukar polisi anda:




Penukaran akan melibatkan kos yang lebih tinggi memandangkan kadar premium yang perlu dibayar adalah lebih tinggi apabila umur meningkat dan anda perlu mengumpul semula nilai tunai anda.

Polisi baru memerlukan tempoh menunggu yang baru dan tempoh boleh tanding selama dua tahun akan bermula sekali lagi.

Anda mungkin kehilangan beberapa ciri tertentu dalam polisi baru anda disebabkan faktor perubahan status kesihatan dan umur.

Apabila anda membatalkan polisi, nilai tunai yang akan anda peroleh adalah lebih rendah berbanding dengan keseluruhan premium yang telah anda bayar.



Sekiranya anda memiliki polisi insurans yang mempunyai nilai tunai, berhati-hati apabila dipujuk untuk membatalkan atau menukar polisi. Ini kerana ejen insurans akan dibayar komisen daripada wang premium yang anda bayar dan jumlah komisen terbesar dibayar daripada premium tahun pertama, manakala bagi tahun-tahun berikutnya jumlah komisen adalah lebih rendah. Keadaan ini akan mendorong ejen yang tidak profesional untuk menukar polisi anda yang sedia ada kepada polisi baru.

Ejen yang profesional akan sentiasa memberi keutamaan atas kepentingan anda sebagai pengguna berbanding dengan habuan komisen yang akan mereka peroleh dengan memberi nasihat berdasarkan keperluan anda. Bagaimanapun, jika anda merasakan yang anda akan mendapat manfaat dengan menukar polisi anda, dan bagi memastikan anda tidak mengalami kerugian ekoran penukaran polisi tersebut, anda boleh menulis surat kepada syarikat insurans bagi mendapatkan pengesahan secara bertulis bahawa penukaran polisi itu tidak akan merugikan anda.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url