Anak anda mengambil dadah?
Anda duduk sendirian di ruang tamu, melihat masa berlalu begitu sahaja, menunggu dengan resah di depan pintu kerana anak remaja masih tiada di rumah sedangkan jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi.
Akhirnya, selepas dua jam, barulah kelibat anak anda kelihatan, anda berasa marah dan pada masa sama berasa lega. Hati anda berdegup kencang apabila menyedari anak matanya kelihatan membesar dan percakapannya yang tidak teratur. Anda tersentak dan terperanjat apabila menyedari bahawa anak remaja mengambil najis dadah! Apa yang anda ingin lakukan?
Mungkin mimpi ngeri dalam kehidupan ibu bapa apabila mengetahui anak-anak mereka mengambil najis dadah. Pelbagai emosi timbul, sedih, menyesal, malu, tidak percaya, marah dan sengsara. Sebagai ibu bapa, adalah tanggungjawab anda untuk melindungi anak daripada sebarang masalah, tetapi masalah ketagihan dan penggunaan najis dadah sesuatu yang berat dan sukar ditangani.
Presiden Persatuan Ketagihan Ubat Malaysia (AMAM), Dr. Steven Chow menjelaskan sudah tiba masanya untuk bersikap proaktif jika terdapat tanda amaran kemungkinan anak perempuan atau lelaki anda mengambil atau mencuba dadah.
“Jika anda berhadapan dengan penggunaan najis dadah, terdapat peluang baik untuk anda membantu anak. Jangan membuang masa dengan menyembunyikan masalah ini,” tegasnya.
Ketahui Kedudukan Anda
Fikir mengenai kedudukan anda dalam penggunaan bahan yang mengkhayalkan ini. Anda mungkin pernah mengambil alkohol atau menghisap rokok dan mungkin berasa hipokrit untuk meminta anak anda supaya tidak melakukan perkara yang sama.
Tetapi perlu diingat bahawa jika seorang remaja mengambil alkohol atau dadah lebih awal, mereka lebih berkemungkinan akan menghadapi masalah ketagihan kelak. Sebagai ibu bapa, maklumkan kepada anak bahawa anda tidak mahu mereka menggunakan dadah, dan berikan alasan-alasan yang boleh diterima dan bertanggungjawab. Remaja memerlukan ibu bapa, bukannya lebih kepada seorang kawan.
Ramai ibu bapa yang khuatir anak mereka mempunyai lebih maklumat mengenai dadah berbanding mereka. Luangkan lebih masa untuk mempelajari mengenai dadah yang biasa disalahgunakan kini, kesannya terhadap kesihatan dan kehidupan penagih, serta program rawatan yang terdapat di dalam komuniti anda.
Sebenarnya, anak anda berkemungkinan dipaksa untuk mengambil dadah tanpa mengetahui fakta mengenainya dan anda perlulah bersedia untuk menjawab segala persoalan yang dikemukakan oleh mereka.
Tunjukkan anda mengambil berat
Sebagai andaian, anak remaja anda mengambil najis dadah atau alkohol, tunggu sehingga anak anda tidak mabuk dan telah sedar sepenuhnya untuk berbincang, daripada berhadapan dengannya dalam kemarahan. Pendekatan awal terhadap anak anda mestilah berasaskan rasa prihatin dan mengambil berat, bukannya membenci.
Jangan nyatakan kepada anak anda bahawa mereka tidak berguna dan memalukan. Ini hanya akan meminggirkan lagi mereka. Anda perlu memaklumkan kepada mereka mengenai perubahan kelakuan yang anda sedari dan mengapa anda berasa bimbang. Gunakanlah perkataan seperti ‘sayang’, ‘prihatin’ atau ‘bimbang’ dan tunjukkan dengan sejelas-jelasnya bahawa anda tidak akan melupakan masalah tersebut sehinggalah ia dapat ditangani.
Jika anak anda marah dan bersikap mempertahankan diri, janganlah terasa hati. Reaksi anak anda bertujuan untuk meminimakan betapa besar masalah tersebut. Jangan lindungi anak anda. Jika dia mengalami masalah, biarkan dia menghadapi kesannya.
Batasan yang jelas
Tanpa ragu-ragu lagi, beritahu anak anda bahawa anda tidak akan bertoleransi terhadap sebarang penggunaan alkohol dan dadah. Anda perlu mengehadkan keistimewaan untuk keluar pada waktu malam hujung minggu, yang kebanyakannya merupakan waktu mereka berada dalam situasi berkaitan dadah atau alkohol, seperti parti atau perjumpaan bersama rakan.
Anda juga mungkin perlu meminta mereka menggunakan masa terluang untuk menghadiri kelas pendidikan alkohol atau dadah, serta menyertai perjumpaan AA atau sesi terapi kumpulan untuk penagih dadah. Anak anda mungkin cuba menyakinkan ada bahawa dia tidak mempunyai masalah alkohol dan tidak perlu dikawal.
Inilah yang anda inginkan! Anda boleh meminta mereka membuktikan boleh bersih dan menjauhi daripada najis dadah untuk satu tempoh masa yang tertentu. Jika anak anda menghormati dan berjanji memenuhi perjanjian ini, keistimewaannya akan diberikan semula. Jika tidak, anda mungkin perlu memutuskan jenis program rawatan yang terbaik untuknya.
Jangan berhadapan dengan anak anda ketika mereka mabuk atau khayal dengan najis dadah, kerana mereka tidak mungkin memahami perbincangan secara rasional. Jika anda memberi tekanan terhadap perkara ini, anda berkemungkinan akan menyebabkan pertengkaran yang sia-sia dan menyesalinya selepas itu.
Sudah tentu anak anda berkemungkinan tidak akan menghiraukan had yang ditetapkan anda dengan sengaja. Bagaimana jika anak anda mengatakan anda tidak boleh mengawal dan mengarahkannya?
Jika anak anda menolak untuk dikurung atau mematuhi peraturan yang ditetapkan, jangan hiraukan ugutannya. Mungkin bantahannya hanyalah kata-kata dan hanya untuk menunjukkan kemarahan terhadap anda, dan mungkin di dalam hati tetap menghormati kuasa anda.
Tetapi jika anak anda terus melakukan aktiviti haram tersebut sehingga mengakibatkan mereka berani mencuba dan mencabar anda, anda perlu menunjukkan bahawa anda serius dengan terus ke peringkat atau tindakan yang lebih keras .
Pantau dan teliti perlakuan
Jika anda cuba untuk membantu anak supaya menjauhi dadah, anda perlu memerhati dengan teliti aktiviti-aktiviti mereka. Ini bermakna anda perlu membuat beberapa pengorbanan.
Sebagai permulaan, tetapkan perintah berkurung. Pastikan anda berjaga apabila mereka berada di rumah dan periksa mereka sebelum mereka tidur. Anda akan dapat memerhati sama ada mereka bersih dan tidak khayal. Mungkin mereka tidak suka, tetapi lama-kelamaan mereka akan biasa dengan keadaan ini.
Cuba periksa dengan ibu bapa kepada rakan anak anda untuk mengetahui apa yang mereka ketahui. Tanya bagaimana kelakuan anak mereka di rumah. Jika ibu bapa ini bimbang mengenai kelakuan kawan anak anda, berkumpullah dan buatlah rancangan untuk mengehadkan bagaimana dan di mana anak remaja anda sepatutnya menghabiskan masa mereka.
Yang terakhir, periksa secara rawak untuk mengetahui di mana mereka pada satu-satu masa dan adakah seperti yang mereka maklumkan kepada anda. Ini bermakna memeriksa kereta mereka sama ada ia berada di rumah rakan mereka atau singgah di panggung wayang mahupun restoran bagi memastikan mereka benar-benar berada di sana. Pemantauan ini sesungguhnya akan menjengkelkan anak remaja anda, tetapi anda perlu mengingatkan mereka bahawa prestasi mereka pada masa lalu telah menyebabkan hal ini.
Apabila mereka memperoleh semula kepercayaan anda, anda boleh memberhentikan penyiasatan yang terperinci dan meluas ini. Apabila anda memeriksa keadaan mereka, cuba bertindak dengan bijak dan dengan rasa hormat dan tidak perlu memburukkan dan memalukan mereka. Cuba rapatkan diri dengan anak dengan meningkatkan pergaulan harian dan membiasakan mereka dengan rutin memaklumkan apa yang berlaku kepada anda.
Ujian dadah
Ujian dadah boleh menjadi berguna jika anda khuatir anak anda menyembunyikan sesuatu daripada anda. Sebagai contoh, anda boleh membuat ujian yang efektif untuk dadah seperti ganja bagi anak yang pernah mencuba atau dikhuatiri kembali menggunakannya.
Apa yang perlu anda lakukan hanyalah menghubungi pihak berwajib dan mengaturkan supaya sampel air kencing anak anda diambil, dan keputusan makmal dalam masa beberapa hari sahaja. Maklumkan kepada anak anda yang langkah tersebut diambil sebagai tindakan sewajarnya untuk membantu mengubah perlakuan mereka (bagi yang menagih).
Jelaskan kepada mereka bahawa pengambilan dadah secara mudahnya akan menjadi satu tabiat dan mudah menjadi ketagih. Malah jika anak anda secara jujur cuba berhenti mengambil dadah, dia mungkin akan gagal beberapa kali dalam usaha untuk berhenti.
Ujian dadah akan menunjukkan situasi sebenar, dan anak anda boleh bertanggungjawab terhadap perbuatan mereka. Jika mereka tidak mahu mengambil ujian dadah, beritahu mereka yang anda akan memberi andaian bahawa mereka menggunakan dadah dan bakal mengambil tindakan bersesuaian.
Mendapatkan bantuan awal
Jika masalah dadah ini serius, cuba pertimbangkan untuk menggunakan bantuan pihak luar dalam membantu anda dan anak menangani masalah tersebut. Ini merupakan langkah yang sukar diambil bagi kebanyakan ibu bapa, tetapi kadang- kadang anda perlu mendapatkan sokongan daripada pihak lain bagi menentang penyalahgunaan dadah. Dalam beberapa kes, masalah ini mungkin terlampau besar untuk anda hadapi dengan sendiri.
Mengendalikan anak yang merupakan penagih dadah yang serius merupakan situasi yang sangat sukar dan menjadikan rumah anda seperti neraka yang dipenuhi penipuan, mungkir janji, pergaduhan, kebimbangan berterusan dan keganasan tanpa penyelesaian yang jelas. Namun, ketahuilah bahawa terdapat bantuan di luar sana, termasuklah program-program rawatan, kaunseling, kumpulan bantuan persendirian dan agensi penguatkuasaan undang-undang yang boleh meringankan beban anda.
Terdapat ramai lagi ibu bapa lain yang telah berjaya membantu anak mereka dalam situasi serupa. Bukti perubatan kini menunjukkan penagihan dadah merupakan penyakit yang boleh dirawat dan penagih boleh memperoleh kehidupan mereka semula dan meneruskan kehidupan untuk menjadi manusia yang sihat dan bebas pergantungan terhadap dadah .
Seperti juga penyakit-penyakit lain, lebih awal ketagihan dadah dikesan, lebih besar peluang untuk pemulihan dalam jangka masa panjang.