Top Ad 728x90

Datuk Razali meninggal ketika main badminton


Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail meninggal dunia secara mengejut ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki (IAB) di Genting Highlands petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, Allahyarham tiba-tiba rebah ketika bermain badminton bersama beberapa kakitangan IAB di pusat rekreasi institut tersebut.

Razali, 59, yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berada di institut itu bagi menghadiri mesyuarat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dan mengambil kesempatan bermain badminton di luar acara rasminya itu.

Jenazah Allahyarham dihantar ke Hospital Bentong (HB) untuk pemeriksaan dan bedah siasat kira-kira pukul 9.30 malam ini.

Bersama mengiringi jenazah ialah isterinya, Datin Noraini Lob Yusoff, 51, dan dua daripada lima anak Allahyarham, Asrul Shah, 27 dan Muhammad Nurazli, 30.

Tiga anaknya yang lain ialah Khairul Amar, 23, Khairul Anuar, 21, dan Khairul Ariff Razali, 15.

Turut berada di IAB membantu menguruskan jenazah ialah Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta para pegawai Kementerian Pelajaran dan IAB.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mokhtar Nong turut berada di samping jenazah di IAB dan HB.

Hishammuddin dalam reaksinya sangat sedih dengan pemergian mengejut Allahyarham.

“Pemergian beliau kehilangan besar kepada saya, Kementerian Pelajaran serta negara. Sukar untuk saya gambarkan rasa sedih atas kehilangan seorang yang cukup ikhlas, jujur, komited dan profesional dalam melaksanakan amanah memimpin Kementerian Pelajaran dan kakitangannya."

Selepas urusan bedah siasat di HB malam ini, jenazah Allahyarham akan dibawa ke rumahnya di Jalan Kenanga, Batu Burok, Kuala Terengganu untuk dikebumikan.

Difahamkan, permainan badminton adalah sukan kegemaran Allahyarham selain beliau juga memegang tali pinggang hitam dalam seni mempertahankan diri ju do.

Razali pernah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selama 10 hari, tiga bulan lalu.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, beliau bertanding di Parlimen Kuala Terengganu mewakili UMNO - Barisan Nasional (BN) memperoleh 32,562 undi mengalahkan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu (31,562) dan calon bebas seorang wanita berusia 89 tahun, Maimun Yusof (685).

Razali sebelum ini merupakan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar, ketika dihubungi berkata pihaknya mengambil tindakan susulan selepas menerima makluman rasmi Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

"Mengikut prosedur, pilihan raya kecil kawasan berkenaan akan dijalankan dalam masa 60 hari daripada tarikh kekosongan kerusi itu," katanya.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90