Keluarga pincang abaikan amalan hidup Islam
Ini semua adalah fenomena hebat menyerang budaya Timur orang Islam yang lama kelamaan menjadi kebiasaan dalam masyarakat, sedangkan, keadaan itu bertentangan dengan fitrah manusia yang mencari keredaan Allah.
Mewujudkan suasana penghayatan Islam dan kedamaian dalam keluarga amat dituntut. Sebagai ibu bapa, mewujudkan suasana itu mesti menjadi keutamaan berbanding perkara lain supaya keharmonian keluarga terjamin.
Oleh itu, beberapa perkara perlu diberi perhatian antaranya membentuk persekitaran selesa, aman, selamat dan tenteram kerana ini asas yang sempurna supaya rumah menjadi tempat bermula kebahagiaan. Suami sebagai ketua keluarga wajib memimpin isteri dan anak melalui kehidupan diredai Allah dengan memberi didikan agama dan menyemai nilai murni kepada mereka. Nafkah yang sempurna mengikut keperluan suami atau bapa perlu diutamakan.
Rumah sebagai syurga perlu kegiatan yang menjadi asas dalam pembentukan rumah tangga seperti menghidupkan solat berjemaah. Amalan pokok ialah solat sama ada fardu atau sunat.
Rumah yang tidak dihiasi amalan ibarat tapak perkuburan usang. Selain itu, digalak membaca al-Quran bersama di rumah kerana boleh mengukuhkan iman, mendekatkan diri kepada Allah serta memberi ketenangan hati. Jangan biar anak menghabiskan masa menonton televisyen tanpa menghiraukan perkara lain. Budaya membaca buku keagamaan perlu digalakkan.
Setiap ibu bapa perlu mengambil langkah awal supaya anak memahami dan menghayati budaya itu. Proses ini boleh dilakukan melalui kaedah pembacaan bergilir antara ibu, bapa dan anak.
Membina budaya pendidikan agama dalam keluarga seperti makan bersama juga adalah ajaran Islam yang perlu dihayati. Hidupkan amalan makan bersama sekurang-kurangnya sekali seminggu iaitu pada cuti hujung minggu. Amalan itu boleh mengeratkan kasih sayang keluarga dengan adab diajarkan Islam seperti membaca 'bismillah' bagi mendapat keberkatan makanan dan minuman.
Daripada Abdullah Amr, daripada Nabi SAW bahawasa Baginda membaca doa apabila dihidangkan makanan kepada mereka dengan doa yang bermaksud: "Ya Allah berkati rezeki yang engkau berikan kepada kami dan jauhkanlah kami daripada azab api neraka, dengan nama Allah." (Hadis riwayat Abu Bakar ibn as-Sunni)
Antara adab lain yang boleh dipraktikkan ketika menikmati makanan seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Apabila kami bersama Rasulullah SAW menghadapi makanan, kami tidak menghulurkan tangan sehingga Baginda memulakan menjamah makanan itu." (Hadis riwayat Muslim)
Disiplin lain boleh diterapkan ketika menikmati juadah ialah tidak banyak bercakap perkara kurang berfaedah, melarang makan di tempat tidak sesuai seperti di ruang tamu, depan televisyen dan di bilik tidur. Memulakan makanan dari sebelah kanan dan tidak gelojoh ketika makan. Antara adab dalam penghayatan nilai Islam dalam keluarga ialah memberi salam ketika masuk atau meninggalkan rumah. Budaya anak atau isteri bersalaman dan mencium tangan bapa atau suami wajar menjadi amalan.
Selain itu, ibu bapa perlu mendoakan keluarga mereka selamat sepanjang berada di luar di bawah rahmat Allah. Disiplin anak meminta keizinan masuk bilik ibu bapa dan adik beradik lelaki atau perempuan perlu dipupuk sejak mereka kecil. Allah menerusi firman-Nya bermaksud: "Wahai orang beriman! Hendaklah hamba kamu dan orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu) dalam tiga masa, (iaitu) sebelum sembahyang Subuh dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kemudian mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa itu, (kerana mereka yang selalu keluar masuk kepada kamu dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah menerangkan kepada kamu ayat-Nya (yang menjelaskan hukum-Nya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana." (Surah An-Nur, ayat 58)
Keluarga yang menghayati nilai Islam dalam diri setiap individu perlu ada sikap tegur menegur (amar makruf nahi mungkar). Seorang bapa perlu berani menyuruh isteri dan anak melakukan amal salih supaya mendapat keberkatan Allah.
Firman Allah bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Surah an-Nahl, ayat 125)