Kerajaan galakkan jual RON95 & RON97 tahun 2009

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Samad hari ini berkata, kerajaan akan menggalakkan semula penjualan dua gred petrol di pam minyak iaitu RON95 dan RON97 pada tahun depan.

"Buat masa ini, terdapat dua gred petrol di pam minyak iaitu RON92 dan RON97 tetapi lebih banyak pam minyak hanya menjual RON97 berbanding dengan RON92 yang lebih sesuai untuk kegunaan motosikal," katanya selepas melancarkan kempen penurunan harga barangan pasaraya 99 Speedmart Sdn Bhd (99 Speedmart) di Banting dekat sini, hari ini.

Beliau berkata petrol gred RON95 akan diperkenalkan kerana ia petrol tanpa plumbum yang sesuai digunakan oleh kebanyakan kereta dan memadai untuk keperluan orang ramai memandangkan petrol RON97 adalah lebih menjurus kepada prestasi dan harganya lebih mahal daripada RON95.

Pengenalan RON95 ini akan memberikan pengguna pilihan untuk menjimatkan penggunaan bahan api kereta masing-masing.

Ditanya sama ada harga RON95 lebih mahal dari RON92, beliau berkata harga RON95 akan sama dengan RON92 jika beliau masih lagi menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Mengenai sama ada harga minyak akan turun lagi, beliau berkata ia tertakluk kepada keputusan mesyuarat Majlis Ekonomi Negara penghujung bulan ini.

Tentang dakwaan sesetengah pihak bahawa harga susu tepung di pasaran masih belum turun lagi, Shahrir berkata setakat ini hanya harga susu berjenama Nugrow sahaja yang turun 15 peratus sementara pengeluar susu lain belum lagi menurunkan harga susu masing-masing.

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url