Lambaian Kaabah 1429H: Kemudahan Haji Pantai Timur setanding Kompleks Haji Kelana Jaya
Walaupun Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, di sini hanya menjadi kompleks haji sementara, kemudahan disediakan tetap menyamai kompleks haji di Kelana Jaya dan negeri lain yang mengendalikan penerbangan terus haji.
Pengarah Operasi Haji Pantai Timur, Mohamad Mokhzani Mokhtar, berkata walaupun tahun ini kali pertama penerbangan haji dijalankan secara terus, kemudahan sementara disediakan adalah setanding dengan kemudahan di Kompleks Haji.
"Kerjasama yang diberikan kerajaan negeri dalam memastikan kelancaran urusan sangat dihargai. Di kompleks sementara ini semua proses pergerakan bakal jemaah bermula dengan proses pemeriksaan bagasi dan penyimpanan bagasi serta proses lain berjalan lancar dan setanding dengan kompleks haji yang lain.
"Begitu juga dengan kemudahan kaunter tukaran riyal dan kaunter simpanan dan pengeluaran wang akaun Tabung Haji turut disediakan bagi memudahkan bakal jemaah menyimpan wang yang dibawa supaya lebih selamat," katanya ketika ditemui di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, di sini semalam.
Mohamad Mokhzani yang juga Pengarah Tabung Haji negeri berkata, kaunter tukaran wang disediakan dengan kerjasama Bank Islam mendapat sambutan menggalakkan.
Beliau berkata, bakal jemaah digalak melakukan tukaran wang atau menyimpan yang ingin digunakan di Tanah Suci bagi memastikan perjalanan mengerjakan haji menjadi lebih mudah tanpa perlu membuat penukaran setibanya di Makkah.
Beliau berkata, selain itu kompleks sementara turut menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan ahli keluarga yang menghantar termasuk menyediakan gerai makanan dan minuman, skrin layar gergasi untuk kemudahan ahli keluarga melihat perkembangan bakal haji sebelum berlepas dan kemudahan tempat meletak kereta yang luas dan selesa.
Sementara itu, petugas kaunter tukaran wang Bank Islam, Nawawi Ngah, berkata sambutan yang diterima daripada bakal jemaah sangat menggalakkan dan ramai yang menggunakan kemudahan itu untuk membuat tukaran awal sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Seramai 355 bakal jemaah penerbangan KT53 berlepas ke Jeddah kira-kira jam 7.20 malam semalam dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) menaiki pesawat MH5058.