Kesan buruk, baik fenomena YouTube
Giatnya perkembangan laman ini memperlihatkan hanya beberapa tahun ciptaannya sejak 2005 hingga hari ini, statistik menunjukkan penonton video daripada 'YouTube' mencecah sehingga 100 juta video ditonton setiap hari.
'YouTube' sebenarnya diasaskan oleh tiga anak muda iaitu Chad Hurley, Steve Chen dan Jawed Karim yang dulunya pekerja 'PayPal'. 'PayPal' adalah satu sistem ekonomi maya yang membolehkan bayaran dan duit dipindahkan melalui internet. Ia menawarkan alternatif kepada cara pembayaran tradisional seperti cek dan kiriman pos.
Hurley berasal dari Pennyslvania, Amerika Syarikat (AS) dan Chen pula adalah bangsa Taiwan yang kini menetap di AS sejak berusia 10 tahun. Pengasas ketiga yang meninggalkan YouTube sebelum ia menjadi begitu popular, Karim lahir di Jerman dengan bapa berbangsa Pakistan dan ibu dari AS. Kini, Karim masih menuntut di University Stanford pada peringkat pasca siswazah.
Pada 2006, Google Inc mengambil keputusan untuk membeli 'YouTube' dengan harga AS$1.65 bilion. Pembelian ini menjadikan Hurley, Chen dan Karim jutawan berganda dalam usia muda serta masing-masing dikatakan mempunyai saham mencecah daripada AS$60 juta hingga AS$300 juta.
Di bawah kendalian Google Inc, statistik terus menunjukkan peningkatan pengguna serta jumlah video yang dimuat turun. Laporan akhbar USA Today menunjukkan sehingga pertengahan 2006, lebih 50,000 video dimuat turun setiap hari.
Amat menarik ketika saya membuat pemerhatian terhadap impak 'YouTube' kepada seorang penyanyi cilik dari Filipina, Charice Pempengco yang menjadi popular seluruh dunia setelah kehebatannya menyanyi lagu bernada tinggi, dimuat turun oleh orang tidak dikenali ke dalam 'YouTube'.
Charice mendapat jemputan menyanyi ke serata dunia selepas itu seperti ke Korea Selatan, United Kingdom, AS, Itali, Kanada dan Belanda. Terbaru, dia dijemput oleh Oprah Winfrey untuk menyanyi dalam rancangannya yang popular di dunia iaitu The Oprah Winfrey Show, rancangan bual bicara paling tinggi ditonton dalam sejarah televisyen AS.
Selain itu, siri ini juga adalah rancangan bual bicara paling lama siarannya di AS sejak 1986 dengan lebih 3,000 episod sehingga 2006. Khabarnya, siri ini akan dilanjutkan sehingga tahun 2011 nanti.
Oprah mengetahui kehebatan penyanyi berusia 16 tahun ini melalui persembahannya menerusi 'YouTube' dalam pertandingan kecil yang disertainya di Filipina. Video nyanyiannya dalam 'YouTube' ditonton sehingga 15 juta kali seluruh dunia. Hal ini menarik perhatian Oprah sendiri yang turut terpesona dengan kehebatan vokal anak muda ini.
Dikenali dengan jolokan 'penyanyi yang popular kerana YouTube', dalam bulan yang sama ketika Oprah menjemputnya membuat persembahan dalam rancangannya iaitu Mei lalu, David Foster yang juga penerbit album nama-nama besar bidang nyanyian dunia seperti Whithney Houston, Mariah Carey dan Celine Dion, turut berminat mengambil Charice sebagai artis naungannya apabila 'kanak-kanak' itu menjejaki usia 18 tahun.
Alasan Foster, dia sedia menunggu dua tahun lagi kerana tidak mahu memperkenalkan Charice kepada dunia sebagai penyanyi kanak-kanak, tetapi sebagai penyanyi wanita berkaliber. Begitulah kuatnya pengaruh 'YouTube' kepada Charice. Dunianya berubah dalam sekelip mata kerana Oprah menonton persembahan YouTubenya.
Di UK, penyanyi terkenal Leona Lewis turut terkesan dengan pengaruh 'YouTube'. Dia yang popular setelah menjuarai rancangan televisyen realiti Britain, X-Factor ditonton dalam 'YouTube' melebihi 55 juta kali. Laporan akhbar The Sun itu juga memperlihatkan Leona ditonton sehingga 150,000 kali dalam sehari.
Pencapaian ini dilihat seolah-olah satu bentuk 'penaklukan' baru dalam industri nyanyian di Britain kerana setelah sekian lama Britain tidak mempunyai penyanyi wanita yang sebegini hebat, bukan hanya menakluki carta lagu popular, malah juga jumlah tontonan di 'YouTube'. Lagu hit Leona, Bleeding Love bukan hanya menjuarai carta lagu di Britain, malah juga di pasaran AS.
Nyata, 'YouTube' adalah salah satu daripada budaya internet utama di dunia hari ini. Namun, setiap penciptaan memang tidak pernah lari daripada membawa kebaikan dan keburukan dalam satu masa. Persoalan hak cipta misalnya, masih didebatkan sehingga kini. Selain itu, kemudahan memuat turun video di 'YouTube' juga membabitkan salah guna memuat turun video berunsur ganas dan seks oleh pelajar serta kebolehan muat turun video yang tidak sesuai ditonton serta bercanggah dengan polisi 'YouTube'.
Hal ini membuatkan 'YouTube' diharamkan di negara seperti Tunisia, Thailand dan Iran. Beberapa bahagian dalam 'YouTube' turut diharamkan di Arab Saudi. Pakistan mengharamkan 'YouTube' atas dasar memperlekehkan Islam dengan menyiarkan video Nabi Muhammad SAW pada 2006. Namun, tiga hari selepas itu, pengharamannya ditarik semula setelah video itu ditarik balik untuk tayangan umum oleh 'YouTube'.
Namun begitu, 'YouTube' masih boleh digunakan secara optimum oleh semua peringkat. Ia memberi peluang untuk kita menyaksikan pelbagai video menarik yang boleh menyemarakkan proses pengajaran dan pembelajaran.
Misalnya, saya sendiri banyak belajar mengenai seni bina Alhambra di Sepanyol, salah satu istana silam yang mempunyai seni bina canggih di dunia. Bukan mudah untuk memahami seni bina Alhambra jika kita tiada pengetahuan asas seni bina.
'YouTube' memudahkan pemahaman itu dengan membawakan imej tiga dimensi yang membantu kefahaman serta penerangan yang ringkas tetapi jelas. Kemudahan internet yang semakin maju di Malaysia diharapkan akan digunakan semua sebagai peluang untuk menambah ilmu, tidak hanya terbatas kepada ilmu di sekolah atau universiti saja.