RM50 menjadi RM20,000?

Saya terpanggil untuk mengulas isu skim piramid yang saya kira tidak pernah diambil iktibar oleh orang ramai. Terbaru, Skim Mat Jenin yang hanya memerlukan seseorang melabur RM50 dan kemudian dijanjikan pendapatan lumayan RM20,000 selepas lima bulan. Akibatnya, hampir 4,000 pelabur yang kebanyakannya orang kampung berputih mata apabila 'kepala' skim cabut lari bersama duit mereka.

Bukan saya tidak simpati dengan nasib mangsa yang sesetengahnya sanggup meminjam dan bergolok bergadai untuk menceburi skim berangkai ini. (Kadangkala, tahap keterujaan mereka untuk menyertai skim ini begitu meluap-luap sampai membuatkan saya terfikir, mungkinkah ada unsur-unsur 'mandrem'?) Tetapi, geram pun ada. Suka saya bertanya, kalau ikut pemikiran yang waras, logikkah RM50 boleh jadi RM20,000? Patut-patutlah kalau nak percayapun. Petua saya mudah, kalau rasa teragak-agak dan sangsi, baik jangan teruskan.

Secara umumnya, skim cepat kaya dan seumpamanya berkonsepkan keuntungan hasil jumlah pelaburan 'kaki'. Lebih ramai 'kaki' maka lebih untunglah 'kepala'. Penjualan produk hanyalah untuk mengaburi mata bagi membuktikan kononnya wujud aktiviti jual beli. Kegiatan seperti ini lebih banyak buruk daripada baiknya. Bayangkan apabila penggerak aktiviti ini ghairah mengaut keuntungan dengan mengeksploitasi golongan yang berpendapatan rendah dan para pelajar di menara gading.

Saya sendiri pernah dipujuk memasuki skim seperti ini oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di ibu negara. Syarikat-syarikat begini menawarkan pulangan atau keuntungan dari RM3,000 hingga berpuluh-puluh ribu sebulan. Mereka memperkenalkan pakej-pakej tertentu sama ada pelabur ingin melabur dari RM2,500 hingga RM36,000. Namun asasnya tetap sama. Jika kaki gagal menarik minat pelabur lain, maka rantaian terputus dan hasilnya pasti mengecewakan.

Namun, saya bersyukur punya kekuatan untuk menolaknya dengan baik kerana saya sesungguhnya sedar akan kemampuan kewangan saya. Lagipun saya kurang minat untuk mencari 'kaki' walaupun bakal 'kepala' tidak jadi saya itu beria-ia menyatakan kesanggupannya berkempen untuk saya. "Awak tak pandai cakap tak apa, awak cuma perlu cari orang sahaja. Nanti bawa jumpa saya, biar saya yang cakap."

Malangnya, ada rakan-rakan saya yang termakan dengan segala janji manis dan gambaran molek-molek yang disajikan walau sudah dinasihatkan, mengambil kira pengalaman orang lain yang rugi. Mereka bukanlah berpendapatan tinggi, sekitar RM1,000 tetapi sanggup membuat pinjaman peribadi sehingga RM40,000 semata-mata mahu menyertai skim tersebut. Untuk makluman, saya dan rakan-rakan merupakan kakitangan kerajaan biasa yang baru tiga, empat tahun bekerja.

Akibatnya, rakan-rakan saya itu terpaksa menanggung hutang yang dipotong melalui gaji setiap bulan sebanyak RM600 selama 10 tahun! Tahun 2018 baru nak langsai. Kasihan... Mereka masih muda dan ada antaranya yang baru mendirikan rumah tangga dan sedang menunggu kelahiran zuriat sulung. Ada juga yang baru sahaja menimang cahaya mata. Sekarang hendak beli susu anak pun terpaksa meminjam. Bayangkanlah bebanan yang terpaksa ditanggung selama sedekad itu dalam tempoh anak-anak kian membesar. Jangan kerana keghairahan kita mahu cepat kaya dengan jalan singkat, masa depan anak-anak menjadi taruhan.

'Kepala-kepala' ini pandai menyasarkan penjawat awam kerana kelebihan yang ada pada kami untuk membuat pembiayaan peribadi bank dengan mudah.

Untuk meyakinkan dan menambah sedap cerita, penggerak aktiviti ini juga dengan bangganya menceritakan hasil keuntungan bulanan masing-masing.

Lebih menyedihkan, ada antara lintah darat ini yang mengajar para pelajar institusi pengajian tinggi menggunakan duit pinjaman mahupun biasiswa mereka untuk melabur dengan mereka. Betapa jeleknya sikap 'kepala' pelaburan ini yang tamak haloba dan mementingkan diri sendiri hingga sanggup mempengaruhi anak-anak yang masih menuntut, membuang masa mencari 'kaki' dan mengambil risiko melabur menggunakan wang kerajaan.

'Kepala' kononnya mendakwa tujuan mereka tidak lain dan tidak bukan mahu membantu golongan berpendapatan rendah dan para pelajar. Ironinya, kebanyakan mangsa kini terdedah dengan kegiatan jenayah dan menyalahi undang-undang disebabkan oleh masalah kewangan yang membelenggu setelah menyertai skim ini.

Tambah mengecewakan, yang menjadi mangsa kebanyakannya terdiri dari anak bangsa saya sendiri yang enggan menjadikan kegagalan skim-skim berantai yang telah banyak menimbulkan kontroversi sebelum ini seperti Pak Man Telo dan sebagainya, sebagai satu pengajaran. Besar harapan saya agar pihak kerajaan memantau aktiviti ini secara berterusan sehingga akhirnya ia dapat dihapuskan sama sekali. Saya melihat ia tidak lebih dari satu bentuk penindasan dan penganiayaan secara halus dengan mengambil kesempatan terhadap golongan miskin.

Saya juga ingin menyeru mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa untuk berkongsi pengalaman mereka di sini agar dapat dijadikan iktibar kepada para pembaca yang masih belum terjerumus ataupun mungkin sedang berkira-kira untuk menyertai skim ini. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Akhirnya, semua terpulang kepada diri kita sendiri.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url