Sihir perosak masyarakat
"Percaya atau tidak ilmu hitam kadangkala menjadi punca keruntuhan rumah tangga?
Memang pelik bagaimana kebahagiaan rumah tangga yang disemai dan dipupuk dengan penuh kasih sayang boleh pudar dalam sekelip mata?
Perkataan yang diucapkan membawa kepada perbalahan. Tiada lagi persefahaman, sudah takdir jodoh di sini sahaja agaknya. Begitulah mudah menoktahkan ikatan perkahwinan,” luah seorang pembaca melalui e-mel, baru-baru ini.
Dia menceritakan kisah seorang rakannya dengan lebih lanjut:
“Kebiasaannya setiap tahun dia berkongsi kegembiraan pada hari raya tetapi tidak pada tahun ini. Semuanya berubah sekelip mata, sehingga pendidikan anak terabai, apatah lagi makan pakai, semuanya tidak teratur lagi.
“Bagaimana semua ini sanggup dilakukan oleh bapa yang selama ini cukup bertanggungjawab. Pada mata kasar ia sekadar masalah rumah tangga biasa tetapi apabila diamati ada sesuatu yang mengubah perjalanan dan kebahagiaan rumah tangga ini.”
Dia hairan pada zaman serba canggih ini masih ada manusia sanggup menggunakan ilmu hitam dan kotor untuk mengubah kehidupan orang lain, semata-mata bagi mencapai kepuasan hati.
“Bukanlah saya terlalu percaya kepada ilmu seperti itu, tetapi inilah yang sukar diluahkan. Kenapa pihak yang menganiaya masih bebas tanpa hukuman sedangkan yang teraniaya merana seumur hidup atau yang bertuah dapat pulih daripada trauma atas perbuatan tidak bertanggungjawab itu.”
Pada kaca mata Islam, perbuatan menganiayai orang sangat dilarang sama sekali, lebih-lebih lagi melalui cara halus seperti perbomohan, sihir atau ilmu hitam.
Amalan sihir ditujukan kepada pihak yang dikehendaki disebabkan perasaan tidak puas hati, dengki dan dendam. Dalam masyarakat Melayu, sihir disebut santau atau ilmu guna-guna, untuk menganiaya orang lain.
Ensiklopedia maya menjelaskan, santau dilakukan dengan dua cara iaitu cara fizikal dan cara santau angin.
Santau secara fizikal biasanya meracun seseorang melalui makanan atau minuman, seperti miang buluh, kaca dan bisa besi yang boleh mengakibatkan mangsa muntah darah, pitam, pengsan dan meninggal dunia.
Manakala santau angin dikatakan lebih mistik iaitu dengan jampi tertentu dan dihembuskan ke arah musuh. Bisa santau angin biasanya dihembus agar dibawa angin ke arah mangsa dan dihidu masuk ke dalam paru-paru mangsa.
Penolong Profesor Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abdul Salam Muhammad Shukri, berkata hukum belajar, mengajar dan mengamal sihir adalah haram.
“Pengamal sihir dihukum kufur apabila memuja dan menyeru jin serta syaitan dalam amalan sihirnya. Meminta khidmat pengamal sihir juga haram dan berdosa.
“Sihir menurut Rasulullah, satu daripada dosa besar. Ia merosak dan menghancurkan sesuatu bangsa dan darjat pelakunya jatuh sama ada di dunia atau di akhirat,” katanya.
Nabi Muhammad s.a.w bersabda maksudnya: “Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan. Sahabat bertanya: Apakah tujuh perkara itu? Baginda menjawab: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh orang tanpa hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan baik melakukan maksiat terkutuk.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Haramnya sihir tidak hanya terbatas kepada menjadi tukang sihir malah merangkumi individu yang mempercayai apa saja yang diperkatakan tukang sihir terbabit.
Antara perbuatan tukang sihir yang ketara dalam masyarakat ialah memisahkan hubungan suami isteri, mengganggu seseorang dan menimbulkan suasana tidak tenteram dalam masyarakat.
Orang yang bersahabat, meminta pertolongan dan menggunakan jin seperti tukang sihir tukang tenung tergolong di dalam golongan yang menzalami diri sendiri.
Ini kerana al-Quran menjelaskan perkara ini, maksudnya: “Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain daripada Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu). (Yunus: 106)
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Sesiapa yang menemui tukang tilik atau tukang sihir dan menanyakan sesuatu kepadanya lalu terus mempercayai apa yang dikatakannya, maka sesungguhnya ia telah mengkufurkan apa yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.”
(Riwayat Ahmad dan Hakim)
Sabda baginda lagi, maksudnya: “Bukan dari golongan kami sesiapa yang merasa sial atau meminta diramalkan kesialannya atau merenung nasib atau minta ditenungkan atau mensihirkan atau meminta disihirkan.” (Riwayat al-Tabrani)
Amalan penggunaan azimat atau tangkal sebagai pelindung diri seperti ilmu kebal, ilmu pengasih, ilmu pelemah hati dan ilmu penjauh jin yang dicampuradukkan dengan sihir adalah syirik dan menyeleweng dari ajaran Islam.
Di dalam hadis riwayat Abu Daud dan Iman Ahmad, Rasulullah s.a.w pernah bersabda, maksudnya: “Dari Ibn Mas’ud, katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Sesungguhnya jampi mentera, tangkal dan ilmu pengasih adalah syirik.” (Riwayat Abu Daud dan Ahmad)
Menurut Dr Abdul Salam, walaupun tiada peruntukan undang-undang khusus kepada pengamal ilmu sihir, mereka boleh diambil tindakan apabila melakukan jenayah seperti membunuh.
“Menurut pendapat ahli fekah, hukuman bunuh boleh dikenakan kepada pengamal sihir disebabkan perbuatan mereka yang membahayakan masyarakat.
“Al-Quran mengajar kita berlindung diri kepada Allah daripada kejahatan tukang sihir. Firman-Nya bermaksud: (Dan aku berlindung diri) daripada kejahatan tukang meniup simpul. (al-Falaq: 4).
“Apabila kita mendapati ada orang menggunakan khidmat bomoh yang mengamal ilmu sihir, kita hendaklah berusaha memberi nasihat supaya tidak berbuat demikian. Ini kerana ia haram dan berdosa. Sihir membawa kemudaratan kepada diri dan agama,” katanya.
Pendek kata ilmu dan amalan yang bertentangan dengan Islam, dilarang keras daripada diamalkan, bukan saja memudaratkan dan menzalimi orang lain, malah menyebabkan akidah menyimpang daripada mentauhidkan Allah.
Semua itu termasuk dalam ilmu dan amalan yang dilarang lagi menyesatkan, boleh disimpul dalam satu istilah ilmu hitam. Lawan kepada ilmu hitam adalah ilmu putih, kiasan kepada ilmu yang baik untuk diamalkan dan diredai.
Imam al-Ghazali menulis suatu bab mengenai ilmu terpuji dan ilmu yang keji, bahagian dan hukum kedua-duanya. Beliau menjelaskan apa yang fardu ain dan apa yang fardu kifayah.
Dinyatakan di dalam bab ini di bawah tajuk Penjelasan Mengenai Fardu Kifayah: Ketahuilah bahawa fardu itu tidak dapat dibezakan daripada yang selainnya melainkan dengan disebutkan bahagian-bahagian ilmu.
Ilmu terbahagi kepada ilmu syariah dan ilmu yang bukan syariah. Ilmu syariah diperoleh daripada kalangan nabi. Ia tidak dihasilkan oleh akal seperti ilmu perubatan dan tidak diperoleh melalui pendengaran seperti ilmu bahasa.
Ilmu yang bukan syariah terbahagi kepada ilmu terpuji, ilmu dikeji dan kepada ilmu yang diharuskan. Ilmu yang menjadi fardu kifayah ialah semua ilmu diperlukan untuk membangunkan urusan dunia seperti ilmu perubatan kerana ia adalah suatu keperluan kepada manusia.
Begitu juga dengan ilmu perakaunan kerana ia adalah keperluan di dalam hubungan muamalat, pembahagian wasiat, pewarisan dan sebagainya.
Janganlah pelik bahawa ilmu perubatan dan ilmu perakaunan termasuk dalam fardu kifayah.
Bahkan ilmu bekam dan menjahit juga adalah ilmu fardu kifayah. Sekiranya suatu negeri tidak mempunyai tukang bekam, hancurlah negeri itu dan mereka akan menghadapi kesusahan.
Sesungguhnya Tuhan yang menurunkan penyakit juga menurunkan ubat. Justeru, tidak boleh menyerahkan diri kepada kerosakan dengan mengaibkan ilmu terbabit.
Ilmu yang dibenci ialah seperti ilmu sihir, ilmu hitam dan ilmu guna-guna. Dan ilmu yang diharuskan ialah seperti ilmu syair yang berfaedah dan ilmu sejarah.