Media dan remaja

Media sangat penting dalam era kini. Media cetak mahupun elektronik berperanan besar bukan sahaja dalam menyampaikan fakta atau maklumat terkini mengenai sesuatu isu, tetapi juga wadah untuk memperkenalkan sesuatu budaya dan aliran pemikiran yang baru. Kita mengetahui bahawa remaja menjadi aset negara yang paling bernilai dan negara terbentuk berdasarkan acuan yang telah diberi kepada mereka.

Jika acuan itu berbentuk pendidikan, maka remaja yang terhasil adalah remaja yang berpendidikan. Jika acuan yang diterima remaja berdasarkan berhibur tanpa batasan, maka mereka akan terbentuk sebagai remaja yang hanya memikirkan mengenai hiburan dan keseronokan semata-mata.

Peranan Media Dalam Pembentukan Watak Remaja

Remaja mengenal dunia melalui persekitarannya. Apa yang diacu kepada remaja melalui aspek pendidikan, hiburan, sosial, ekonomi dan politik membentuk remaja yang sebegitu.

Bidang komunikasi dan maklumat berkembang daripada hanya penggunaan budaya lisan, iaitu pengucapan dan penyebaran maklumat daripada mulut ke mulut yang kemudian ditambah menjadi senjata yang tajam iaitu melalui tulisan di media cetak.

Terkini, penggunaan audio visual dan komputer seperti televisyen, radio dan Internet menjadi saluran menyampaikan sesuatu isu dan pandangan.

Daripada satu aspek, media sememangnya merupakan agen perubahan masyarakat yang penting melebihi suara-suara lain. Cohen seorang tokoh komunikasi terkemuka menyatakan, "dalam kebanyakan keadaan, media tidak berupaya mempengaruhi orang ramai menentukan bagaimana untuk berfikir tetapi yang mengajaibkan ialah media berjaya mempengaruhi pembacanya untuk menentukan apa yang perlu difikirkan".

Justeru, media mempunyai potensi yang sangat besar dalam menyalurkan nilai-nilai yang positif dan murni kepada remaja. Ini kerana remaja kini menjadikan media massa sebagai wadah untuk mencari maklumat, memahami apa yang tidak didapati di sekolah ataupun rumah dan mencernakan maklumat tersebut menjadi fahaman dan pegangan diri mereka.

Tokoh-tokoh terdahulu menjadikan media sebagai wacana untuk menyebarkan kefahaman mengenai kenegaraan, kekeluargaan, kebudayaan, keagamaan serta banyak lagi. Ini secara tidak langsung bertujuan memupuk nilai-nilai positif dan baik dalam diri pembaca atau pendengarnya.

Misi Nasional menekankan aspek pembangunan modal insan 'minda kelas pertama' dan bina upaya untuk melonjak sebagai status negara maju. Melalui Pelan Integriti Nasional pula, negara menginginkan modal insan yang menekankan penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual termasuk ilmu sains dan teknologi, keusahawanan, pembudayaan sikap progresif, pengamalan nilai etika dan juga menitik beratkan aspek moral yang tinggi.

Oleh itu, media mampu menjadi medium yang luas untuk mendidik masyarakat terutamanya remaja dalam acuan yang didambakan.

Namun, arus globalisasi sememangnya tidak boleh dielak. Ia telah melewati sempadan komunikasi, autonomi ekonomi, politik dan sosial dan telah mewujudkan suatu budaya baru dalam berpandangan dan bersuara. Salah satu arus globalisasi yang popular di kalangan remaja dan masyarakat setempat ialah budaya hiburan yang terhidang dalam bentuk yang pelbagai.

Melalui gajet-gajet yang dihasilkan oleh teknologi, remaja boleh menikmati hiburan dalam apa jua bentuk melalui apa jua jenis media, sebesar skrin wayang gambar sehingga sekecil telefon bimbit.

Selain itu, apa jua bentuk hiburan seperti nyanyian, konsert, filem, drama dan sebagainya boleh dinikmati melalui televisyen yang semakin berkembang isi kandungannya. Melalui komputer atau komputer riba pula, pelbagai jenis bentuk hiburan boleh di muat turun dan dinikmati tanpa mengira masa.

Telefon bimbit yang dahulunya berfungsi sebagai alat perhubungan dan pengerat silaturrahim, kini telah berbagai fungsi, bukan sahaja untuk berbual tetapi juga menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dan gambar (MMS) dan akhirnya menjadi fungsi yang merosakkan apabila digunakan dengan cara yang salah atau tidak terkawal.

Fenomena kebanjiran drama, sinetron dan filem-filem asing yang banyak berunsurkan keganasan, penderaan, dendam, cinta serta sensasi menggusarkan banyak pihak. Watak remaja yang dipaparkan seringkali tidak seimbang dari aspek fizikal dan mental.

Remaja dipaparkan sebagai manusia yang bertenaga (energetik) dan berdaya saing tetapi aspek mental atau rohani pula, remaja yang dipaparkan melalui filem adalah remaja yang lemah dan mudah terpengaruh dengan budaya negatif. Malahan sering dipaparkan perwatakan remaja yang tersalah haluan, tidak bijak memilih atau membuat keputusan dan bertindak melulu seolah-olah tidak memikirkan langsung masa hadapan.

Unsur-unsur negatif yang ditonjolkan barangkali berniat untuk menyedarkan tentang bahaya sesuatu kejahatan dilakukan, tetapi persoalannya adakah remaja mempunyai daya tapis dan mentakrif yang tinggi untuk menghargai mesej di sebalik drama-drama yang ditonjolkan?

Apakah remaja akan lebih terkesan dengan drama yang sebahagian besarnya menonjolkan watak-watak jahat dan kebaikan atau balasan terhadap perbuatan yang jahat itu hanya muncul sedikit di penghujung sesuatu kisah?

Begitu juga halnya dengan bidang penulisan, lebih-lebih lagi yang berbentuk hiburan dan sensasi. Sekiranya remaja banyak dimomokkan dengan cerita sensasi dan hiburan, dikhuatiri ia akan menjejaskan daya pemikiran dan kreatif remaja sebagai pelapis akan datang. Justeru, kebebasan untuk media dalam era teknologi informasi ini memang sangat penting, tetapi kebebasan tentunya harus dilandasi kesedaran penuh untuk bertanggung jawab.

Jika memang benar itu adalah paparan remaja Malaysia masa kini, media seharusnya bertindak sebagai penapis atau wadah yang bertanggungjawab membetulkan apa yang silap dan bertindak sebagai cermin diri yang boleh memberi contoh dan pengajaran kepada masyarakat remaja.

Apa-apa sahaja medium yang bergerak dalam masyarakat mempunya tanggungjawab sosial yang besar dalam membawa masyarakatnya ke arah yang lebih bertamadun dan bukannya menjatuhkan martabat atau merosakkan masyarakat.

Dalam konteks semasa, pengaruh media akan dipengaruhi dari sejauh mana pengguna media memiliki pengetahuan yang cukup dan menghargai dengan baik media itu sendiri. Justeru di samping adanya tuntutan komersialisasi dan upaya mengejar rating yang dilakukan oleh pengamal media, tentunya hal yang penting harus dilakukan juga adalah "bagaimana memperdayakan para penikmat media itu sendiri".

Penggunaan bahasa dan tingkah laku yang sesuai dalam menyampaikan sesuatu pendapat atau rencana harus sentiasa diperhatikan. Justeru, pihak media seharusnya sentiasa menjadikan nilai-nilai murni sebagai pemberat kepada wacana yang mereka ingin sampaikan dan bukan bersifat popular semata-mata.

Penelitian tersebut sangat penting untuk dilaksanakan memandangkan situasi hari ini memberi kesan kepada remaja yang akan datang terutama untuk remaja yang kita dambakan pada tahun 2020 kelak.

Mesej yang ingin ditonjolkan oleh media harus mengambil kira aspek isi kandungan, tema, penggunaan bahasa yang konsisten, adab dan nilai, budaya dan sebagainya kerana media merupakan ejen penggerak kepada pengukuhan perwatakan, emosi dan budaya remaja yang baik demi membina negara pada masa hadapan.

Kesimpulan

Remaja adalah struktur masyarakat yang baru membentuk sebuah tiang seri. Tiang seri itu harus kukuh dengan nilai jati diri yang baik dan sekiranya tiang seri itu rapuh, maka bangunan yang ingin dihasilkan akan runtuh menyembah bumi.

Oleh itu, dalam dunia yang semakin mengecil ini, kita perlu berhati-hati kerana globalisasi memang sukar kita tahan, apatah lagi dengan pendedahan kepada siaran yang tidak membina pemikiran positif dan nilai-nilai murni.

Ini bererti peranan pendidikan informal di rumah yang dimonopoli oleh ibu bapa terpaksa berdaya saing dengan media. Remaja harus menerima maklumat daripada media dan mencernanya mengikut lingkungan yang benar dan mengikut landasan agama dan syariat.

Langkah ini seharusnya memerlukan bimbingan banyak pihak termasuk ibu bapa serta masyarakat. Justeru, media massa sama ada media cetak atau elektronik sememangnya memainkan peranan dalam membentuk pemikiran remaja masa kini.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url