Gempa kuat dijangka berlaku dekat Sumatera

Ahli- ahli sains mengingatkan penduduk Sumatera supaya mengambil langkah berjaga-jaga berikutan ramalan satu gempa bumi kuat dijangka berlaku dalam waktu terdekat ini.

Menurut mereka, ramalan itu berdasarkan kajian yang dijalankan selepas berlaku tsunami di Acheh pada tahun 2004.

Kajian selama empat tahun itu mendapati gempa bumi itu berpotensi menyebabkan gelombang lebih besar serta membawa kemusnahan kepada kehidupan di sekitar kepulauan itu.

Semasa gempa bumi pada 26 Disember 2004 itu, gempa berukuran 9 pada skala Richter telah melanda luar pantai Acheh sehingga ke utara Pulau Andaman di Lautan Hindi yang berlaku pada pukul 7.59 pagi (8.59 pagi waktu Malaysia).

Gegaran kuat itu telah menyebabkan berlaku tsunami yang menyebabkan lebih 220,000 orang terkorban di pesisiran lautan Hindi termasuk 168,000 di kepulauan Sumatera.

Sementara itu, Pengarah Program Pemerhatian Gempa Bumi, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura, Kerry Siah Sieh berkata, pada tahun lepas gegaran berukuran 8.4 pada skala Richter telah berlaku dan dalam tempoh beberapa saat menyebabkan berlaku gempa bumi di sekitar pantai barat Sumatera termasuk di Bandar Padang.

"Gegaran itu akan mewujudkan pergerakan pusingan seismos yang ketara dan menyebabkan berlaku gelinciran dikenali sebagai Mentawai.

"Proses seperti itu telah berlaku sejak kira-kira 700 tahun lalu dan memberi kesan terhadap struktur geologi serta membentuk pergerakan tanah dan menghasilkan gempa bumi di kawasan tersebut," katanya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url