White House bakal kembali jadi tumpuan

White House bakal menjadi perhatian sekali lagi pada 20 Januari ini, apabila Barak Obama dijadual mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-44, menggantikan George W. Bush.

Namun, tidak ramai yang mengetahui sejarah pembinaan White House yang menjadi kediaman rasmi Presiden AS dan anggota keluarganya sejak berdekad lalu.

Ia juga berfungsi sebagai pejabat Presiden.

Sebagai pejabat Presiden AS, istilah "White House" digunakan sebagai ganti nama kepada Pejabat Pentadbiran.

White House yang terletak di 1600 Pennsylvania Avenue di Washington DC, dibina antara tahun 1792 hingga 1800.

Ia dibina menggunakan batu pasir Aquia yang dicat putih dengan gaya seni bina era georgian di Britain.

White House direka oleh arkitek berbangsa Irish, James Hoban yang menetap di Charleston, South Carolina, dengan kos pembinaan ketika itu sebanyak AS$232,371.83 (RM831,112.81).

White House telah menjadi kediaman rasmi bagi setiap Presiden AS sejak John Adams iaitu Presiden kedua AS yang memerintah dari 4 Mac 1797 hingga 4 Mac 1801.

Bangunan itu pernah dibakar oleh tentera British dalam satu peperangan pada 1812. White House kemudiannya mengalami beberapa proses pembesaran.

White House merupakan sebuah bangunan setinggi enam tingkat, termasuk dua tingkat bawah tanah, dengan keluasan lantai 55,000 kaki persegi.

Ia mempunyai 132 buah bilik, 35 bilik air, 412 buah pintu, 147 buah tingkat, 28 ruangan pendiangan, lapan buah tangga, tiga buah lif, sebuah gelanggang tenis, sebuah lorong permainan boling, panggung, trak untuk berjoging dan kolam renang.

Ia menempatkan Kediaman Eksekutif (untuk keluarga Presiden), West Wing (Pejabat Presiden, Oval Office dan Pejabat Kabinet), East Wing (Pejabat Wanita Pertama) dan Pejabat Lama Eksekutif (menempatkan Pejabat Presiden dan Naib Presiden).

Bangunan ini menerima kira-kira 5,000 tetamu sehari.

Di awal pembinaannya, White House boleh dikunjungi oleh orang awam, tetapi kemudahan itu kemudiannya ditamatkan kerana bimbang serangan pengganas.

White House dan taman sekitarnya yang mempunyai keluasan 7.8 hektar, dimiliki oleh Perkhidmatan Taman Negara sebagai sebahagian daripada Taman Presiden.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url