Kemeriahan HAI-Hot FM Party 2008

Sebagai penutup siri persembahan jelajah untuk tahun 2008, majalah HAI, terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) dengan kerjasama stesen radio popular, Hot FM telah menganjurkan HAI-Hot FM Party 2008 di pusat membeli-belah Summit USJ pada 21 Disember lalu.

Selain berhibur dengan persembahan artis-artis popular tempatan, kira-kira 2,000 pembaca dan pengunjung hadir memeriahkan majlis pelancaran wajah baru majalah tersebut.

Terdahulu, siri jelajah majalah ini telah diadakan di Village Mall, Kedah, Dataran Pahlawan Melaka Megamall dan Seremban Parade, Negeri Sembilan.

Majlis pelancaran wajah baru HAI yang menjadi pembuka tirai acara pada petang itu disempurnakan oleh Ketua Pengarang Majalah UKSB, Badrul Azhar Abdul Rahman.

Turut hadir ialah Zurzaliza Bajuri, Pengurus Kanan, Operasi & Pembangunan Perniagaan UKSB, Pengurus Besar Rangkaian Radio Prima Berhad, Seelan Paul dan Pemangku Penolong Pengarang HAI, Hamisma Hassan.

Hamisma berkata, siri jelajah promosi yang dilakukan dengan kerjasama Hot FM itu bertujuan membolehkan para pembaca mengenali imej dan wajah baru majalah HAI dengan lebih dekat.

"Siri jelajah ini sebenarnya mahu mempromosikan imej dan wajah baru HAI. Saiz baru majalah ini mula diperkenalkan pada keluaran 29 Disember 2007 dengan saiz yang lebih kecil manakala logo baru pula mula pada keluaran 15 Ogos 2008.

"Bersesuaian dengan perubahan semasa, majalah HAI kini diterbitkan dua kali sebulan iaitu pada setiap 7 dan 20 haribulan. Bagi memantapkan lagi konsep pemasaran, siri penjelajahan ke seluruh negeri akan diadakan dari semasa ke semasa," katanya.

Majlis pelancaran wajah baru HAI itu dikendalikan oleh penyampai Hot FM, Sharifah Aleya. Artis-artis yang membuat persembahan pula ialah Riz, Alyah, Farawahida, Nadia, Nubhan, Erry Putra, Toi, Mila, Aizat dan kumpulan Sixth Sense.

Persembahan daripada artis-artis jemputan dimulakan dengan Riz melalui lagu berjudul Hanya Sandiwara. Riz kemudiannya berduet dengan Alyah dalam lagu Kupinjam Satu Bintang. Alyah turut menyampaikan lagu daripada single pertamanya, Tak Mungkin Kerana Sayang.

Pentas kemudiannya diambil alih oleh Farawahida melalui lagu Semuanya Ada Di Sini dan Hilangkan Segalanya. Ia diikuti pula Nubhan yang membuatkan ruang legar pusat membeli-belah itu riuh dengan jeritan peminat. Pemenang tempat ketiga AF6 itu menghiburkan para peminat dengan lagu Generasiku dan Terima Kasih Cinta.

Pembaca dan pengunjung pada petang itu cukup bertuah kerana dapat menyaksikan kemunculan pertama kali pelakon remaja popular Liyana Jasmay menyanyi sambil diiringi petikan gitar oleh AG Coco. Dia menyampaikan lagu ciptaan Ajai, untuk single pertamanya berjudul Aku Jatuh Cinta.

Pelakon Erry Putra pula menyanyikan lagu single terbarunya, Cintaku yang turut dijadikan lagu tema drama Sutera Maya.

Persembahan Erry cukup meriah kerana selain pandai berkomunikasi, dia siap mendera peminat menari bersamanya ketika menyanyikan lagu keduanya, Jatuh Cinta Lagi.

Persembahan diteruskan oleh Nadia dengan lagu tema daripada filem Histeria dan If I Ain't Got You. Toi pula menyampaikan lagu Panahan Asmara sementara Mila dengan dua buah lagu iaitu Gila dan Aku Lebih Tahu.

Persembahan seterusnya daripada kumpulan Sixth Sense dengan lagu Tanpa dan Tak Bisa Memiliki. Selepas itu, vokalis Adi berduet dengan Aizat menerusi lagu Cinta Yang Sempurna, dendangan asal bersama vokalis Letto, Noe.

Aizat menutup acara persembahan dengan sorakan para peminat dengan mendendangkan tiga buah lagu popularnya, Fikirkanlah, Hanya Engkau Yang Mampu dan Lagu Kita.

Sementara itu, para pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan sebuah kumpulan bernama Corncake yang dicungkil dari Pertandingan Battle of The Band 1.

Untuk pengetahuan semua, HAI merupakan majalah rasmi bersama Youth '09 yang menganjurkan Pertandingan Battle of The Band 2 bersempena Youth '09 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, pada 9 hingga 11 Januari depan.

Tidak lupa ucapan terima kasih kepada syarikat rakaman Warner Music, Tayangan Unggul Sdn. Bhd. dan 8TV yang telah menaja kek pada majlis tersebut.

Penghargaan juga kepada artis-artis lain yang hadir memeriahkan majlis, antaranya Aleeza Kassim, Ainul Aishah, Talya, Syed Ali, Hafiz Nafiah (Dunia Baru), Sherry Ibrahim, Farah Alya serta pasangan yang sedang hangat bercinta, pelakon Rima Melati Adams dengan penyanyi popular dari Indonesia, Marcell.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url