Merokok Punca Perangai Rosak & Membazir Wang

MEROKOK adalah satu tabiat yang digemari sebahagian manusia pada zaman serba moden ini, malah ia menjadi keperluan kepada golongan muda yang beranggapan merokok kononnya melambangkan kedewasaan dan kematangan.

Di Malaysia, berdasarkan maklumat Kementerian Kesihatan, 24 peratus daripada 3.1 juta perokok tegar di kalangan rakyat Malaysia adalah remaja termasuk pelajar sekolah rendah.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendefinisikan merokok sebagai satu aktiviti ketagihan. Merokok secara tidak langsung boleh menyebabkan seseorang itu terbabit dengan najis dadah kerana rokok bunga kepada dadah.

Ia digambarkan sebagai permulaan untuk menjinakkan diri dengan bahan tidak mendatangkan manfaat dalam kehidupan. Oleh itu, amalan menghisap rokok wajar dihentikan segera oleh individu yang menagihnya kerana ada banyak kesan negatif.

Perbuatan membeli rokok jelas satu pembaziran sedangkan wang itu boleh dibelanjakan untuk keperluan keluarga. Ia menunjukkan merokok sebagai punca merosakkan perangai dan membuang harta tanpa kewajarannya.

Mereka tidak sedar tindakan merokok boleh menimbulkan krisis dalaman keluarga kerana masalah kewangan untuk menyara keluarga. Mereka terpaksa memperuntukkan sebahagian besar wang untuk membeli rokok, sedangkan keperluan keluarga dipinggirkan.

Berdasarkan Ahmad Shalabi, rokok bagi golongan miskin tidak mengenyangkan, malah mereka terpaksa menanggung bebanan hutang. Begitu juga golongan pelajar yang sanggup menghabiskan dan membelanjakan wang untuk membeli rokok kerana ketagihan, sedangkan keperluan untuk pelajaran diabaikan.

Merokok boleh menyebabkan masalah kepada sistem peredaran darah. Apabila seseorang itu merokok, pergerakan jantungnya bertambah, lama-kelamaan degupan jantung menjadi tidak teratur dan menyebabkan sakit dada.

Selain itu, merokok boleh menyebabkan perokok kehilangan deria bau dan rasa serta kesan kekuningan pada gigi perokok disebabkan tar tembakau yang ada pada rokok. Tar tembakau juga menyebabkan keadaan mulut perokok berbau busuk, menghilangkan selera makan, menyebabkan ketagihan berpanjangan dan mengalami masalah penghadaman makanan.

Malah, merokok juga akan meninggalkan ketidakselesaan kepada mereka yang berdampingan dengan perokok seperti anak, isteri dan orang awam lain melalui asap rokok dihembus perokok.

Penyelidik mengesahkan merokok menyebabkan barah paru-paru, barah peti suara, mulut dan kerongkong. Malah, asap rokok yang dihembuskan perokok boleh mendatangkan penyakit kepada penghidunya, manakala perokok di kalangan wanita hamil pula boleh mendatangkan masalah kepada bayi dalam kandungannya kerana racun tembakau dan asap rokok akan meresap ke uri. Hal ini menyebabkan anak dalam kandungan kekurangan oksigen dan zat dalam darahnya. Secara tidak langsung, apabila anak itu lahir kemungkinan besar kekurangan berat badan dan mudah terkena jangkitan penyakit.

Kajian sarjana Barat, C Everentt Koop, menjelaskan perokok kebanyakannya mati pada usia muda berbanding mereka yang tidak merokok.

Berdasarkan kepada banyaknya kesan negatif daripada amalan merokok, mereka yang menghisap rokok seolah-olah mahu merosakkan tubuh dan membinasakan diri.

Untuk membanteras tabiat ini, amat wajar kerajaan melancarkan kempen ‘Tak Nak Merokok dan Cara Hidup Sihat’ pada 2005. Malah, baru-baru ini kerajaan dengan tegas menaikkan harga rokok sebagai usaha menghentikan amalan negatif di kalangan rakyat Malaysia.

Namun, kempen itu perlu disusuli kesedaran perokok dan mereka yang ingin merokok kerana setiap perubahan terletak pada diri mereka.

Hal ini dijelaskan Allah menerusi firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Ra’d, ayat 11)
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url