UMNO Masih Releven?

Ramai pihak percaya bahawa parti UMNO adalah releven sepanjang zaman sebagai parti pemerintah di negara ini. Ini diakui oleh ahli UMNO sendiri sama ada yang tua mahupun yang muda. Berdasarkan pandangan umum yang disiarkan melalui media massa, UMNO sememangnya masih kuat dan setiap ahlinya sangat setia kepada pemimpin dan parti. Sokongan ahli-ahlinya sangat padu sehingga ada ahlinya menyokong seratus peratus, ada pula yang menyokong tanpa berbelah bagi.

Relevennya UMNO dengan memperkenalkan dan mengembalikan kegemilangan Islam dengan pembinaan masjid, membina replika masjid, hub halal, berbankan Islam, negara Islam dan banyak lagi yang terkumpul dalam Islam Hadhari. Dalam pada masa yang sama sekolah agama dipinggirkan, golongan Ulama disisihkan, aktiviti keagamaan diawasi agar tidak terlalu PAS, golongan Ulama yang mengkritik kerajaan di kotegerikan pembangkang yang perlu dihapuskan. Sebagai menunjukkan bahawa Islam tidak menghalang kebebasan individu, maka pusat hiburan dibuka bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Orang Islam bebas membuat maksiat, berjudi, minum arak dan terlibat dalam rasuah kerana kaki dan tangan golongan agama diikat awal-awal.

Relevennya UMNO kerana berjaya melangkah setapak lagi kehadapan dengan mewujudkan pendidikan berkelas dunia. Bagi memudahkan pelajar belajar ilmu, maka bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa penting di institusi pendidikan. Bahasa Melayu jatuh sebagai bahasa kelas kedua yang tak perlu dikembangkan penggunaannya kerana penuturnya hanyalah masyarakat kampung. Walaupun sudah termaktub dalam perlembagaan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, ia bukan halangan kerana semua pihak menerima bahasa Inggeris sebagai bahasa penting termasuklah UMNO/BN sendiri. Relevennya UMNO menjadikan negara ini lebih maju kehadapan berbanding dengan negara membangun yang lain. Bagi merancakkan lagi pembangunan negara, warga asing dijemput untuk berkongsi kekekayaan negara yang serba maju dan makmur ini. Untuk memudahkan warga asing ini bekerja di negara ini, undang-undang yang longgar dilaksanakan. Pemantauan tidak perlu terlalu kerap. PATI perlu dilayan dengan baik malah lebih baik dari layanan yang diterima oleh rakyat Malaysia sendiri. Kos pengambilan warga asing ini adalah yang paling murah berbanding dengan negara lain. Jika warga asing hendak bekerja di Malaysia, hanya perlu menyusup masuk dari sempadan. Jika mahu masuk secara sah, tidak susah kerana kecekapan proses pendaftaran dan kelulusan dapat dilakukan dengan cepat sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan pentabiran kerajaan adalah cekap, cepat, dan telus. Jika dibandingkan dengan negara lain seperti Singapura, kos pengambilan pekerja asing adalah tinggi dan dikenakan banyak syarat.

Relevennya UMNO kerana bertindak sebagai “security” kepada ketuanan Melayu. Walaupun masa tidurnya lebih banyak dari masa jaganya, yang penting gaji masuk(projek, saham, faedah, kepentingan, kekayaan). Ketuanan Melayu akan kekal tetapi setakat di atas kertas sebaliknya banyak hak-hak Melayu dan bumiputera akan terlepas begitu sahaja. Biasiswa adalah keutamaan untuk Melayu dan bumiputera tetapi diagihkan untuk semua. Sekarang ini ramai Melayu dan bumiputera yang terpaksa berhutang dengan PTPTN dan MARA serta kerajaan negeri. Kebanyakan mereka sekadar mendapat pinjaman walaupun mereka dari keluarga miskin. Dari perkiraan BN/UMNO yang maha bijak, biasiswa hanya diberi kepada mereka yang cemerlang dalam pelajaran tanpa mengira status sosial. Walaupun keluarga kaya, jika anak-anak bijak-bijak belaka jadi mereka layak untuk mendapat biasiswa. Jadi anak-anak golongan miskin akan terus terpinggir dari arus pendidikan tanpa pembelaan yang sewajarnya dari kerajaan (BN/UMNO). Maka yang miskin akan terus miskin dari satu generasi ke satu generasi. Relevennya UMNO kerana berjaya mengekalkan kedaulatan negara ini dari penjajahan luar. Ini dapat ditunjukkan oleh keputusan hak milik Pulau Batu Putih yang dikatakan sebagai “win-win situation”. Malaysia mendapat batu yang boleh tenggelam dan timbul pada masa air surut. Inilah hasil yang telah dilakukan oleh UMNO sejak 50 tahun yang lalu. Sibuk menghancurkan parti pembangkang sedangkan maruah negara sendiri tergadai. Betapa tidak sensitifnya UMNO dengan hak dan maruah negara sedangkan rakyat Malaysia rasa kecewa dengan keputusan ICJ. Isu sempadan ini seharusnya selesai ketika Singapura keluar dari persekutuan Malaysia, namun perikatan/UMNO sibuk menghancurkan parti pembangkang sehinggakan isu sempadan seperti ini tidak dipedulikan.

Relevennya UMNO kerana berjaya mengeratkan hubungan silaturahim dengan Singapura. Pemimpim-pemimpin UMNO/BN menjemput kawan dari Singapura untuk membangunkan wilayah Johor. Betapa ceteknya tahap pemikiran pemimpin kita. Hanya melihat keuntungan sedangkan kesan jangka masa panjang tidak dikaji dengan mendalam. Perjanjian dalam IDR/ Iskandar Malaysia ini tidak begitu jelas jadi ramai rakyat yang tidak mengetahui siapa sebenarnya yang mentadbir IDR. 50 tahun akan datang demografinya pasti akan berubah. Rakyat asing akan mengatasi rakyat tempatan. Pemilikan tanah oleh orang asing juga akan bertambah. Mungkin faktor-faktor seperti ini boleh menjadi hujah penting bahawa wilayah ini boleh dituntut oleh negara luar. Faktor sejarah yang dikemukakan oleh Malaysia di ICJ tidak diterima pakai, bagaimana pula pada masa 50 tahun akan datang?

Relevennya UMNO kerana dari situlah seorang ahlinya akan dilantik sebagai PM. Bakal PM Malaysia tidak perlu bersusah payah seperti bakal Presiden Amerika. Bakal PM perlu menjadi menteri terlebih dahulu, memegang jawatan penting dalam UMNO. Ramainya nak jadi PM maka ramailah yang masuk UMNO. Ada yang ingin menjadi PM yang serba bersih, ada yang ingin menjadi PM pada usia muda. Ada yang ingin terus berkuasa walaupun tidak mampu mentadbir negara dengan baik. Kerana seorang pemerintah yang lemah, sebuah negara boleh hancur.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url